Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MISTERI KEHILANGAN ANAK-ANAK SODDER - Lesap Tanpa Jasad Dalam Kebakaran


     Kisah "The Missing Sodder Children" merupakan salah satu kes orang hilang yang begitu popular di  Amerika Syarikat. Kisahnya bermula pada hujung tahun 1945 di mana sebuah rumah yang didiami oleh keluarga Sodder bertempat di Fayetteville, West Virginia telah dilanda kebakaran. Selepas api terpadam, lima orang anak George Sodder yang dikatakan terperangkap dalam kebakaran tersebut telah gagal untuk ditemui samada dalam bentuk jasad mahupun tulang. Adakah tubuh badan mereka benar-benar dijilat api hingga hancur menjadi debu atau kejadian kebakaran itu sekadar sebuah konspirasi penculikan yang terancang?

    Imbas kembali malam kejadian iaitu pada perayaan Krismas tahun 1945 di mana pasangan suami isteri bernama George dan Jennie serta sembilan orang anak mereka yang sedang tidur di dalam bilik tidur masing-masing terbangun pada jam sekitar 1.00 pagi ekoran terhidu bau asap kebakaran. Pada sebelum itu, Jennie ada menjawab panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali. Malah, Jennie juga ada mendengar bunyi sesuatu yang menghempap bumbung rumah mereka diikuti dengan bunyi benda bergolek. Apa yang berlaku kemudian api kebakaran yang marak telah melanda rumah keluarga Sodder itu. Mujurlah George, Jennie bersama empat orang anak mereka iaitu John, George Jr, Marion dan Sylvia sempat berlari keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun, lima orang lagi anak George iaitu Maurice, Martha, Louis, Jennie dan Betty dikatakan terperangkap di tingkat atas rumah. George bukan sekadar duduk tercegat. Memandangkan keadaan api yang sudah terlalu marak, maka satu-satunya cara yang didapat difikir George untuk menyelamatkan anak-anaknya adalah dengan memasuki bahagian loteng. Bermula dengan cara penggunaan tangga hingga trak, semuanya menemui jalan buntu. Kebuntuan itu bukannya daripada kegagalan mahupun kesilapan George. Sebaliknya kebuntuan yang berkemungkinan berlaku atas faktor kebetulan atau disengajakan. Pertama, tangga hilang. Saat situasi genting sebegitu, tangga yang dicari-cari langsung tidak dijumpai. Kedua, trak. Idea asal George, dia akan memanjat ke loteng dengan memanjat trak. Malangnya, idea itu terus terbantut selepas kedua-dua trak kepunyaannya gagal untuk dihidupkan. Perkara ini agak pelik memandangkan trak bersebut berfungsi elok pada hari-hari sebelumnya. Cubaan Marion untuk menghubungi pihak bomba Fayetteville melalui telefon rumah jirannya pula gagal untuk mencapai pihak operator.

    Pihak bomba yang diketuai oleh F. J. Morris di tiba tempat kejadian pada jam 8.00 pagi keesokan harinya. Kelewatan bomba tersebut dikatakan berpunca daripada masalah kegagalan komunikasi. Selepas dua jam melakukan pemeriksaan di tapak kebakaran, tiada sebarang mayat mahupun tulang yang ditemui. Menurut Morris, perkara itu berlaku ekoran api yang terlalu panas hingga menyebabkan tulang anak-anak George hancur menjadi debu biarpun tiada sebarang bukti ditemui untuk mendukung kenyataan berkenaan. Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut sukar untuk diterima George dan Jennie. Mereka berdua yang percaya bahawa Maurice, Martha, Louis, Jennie dan Betty masih hidup berkemungkinan besar telah menjadi mangsa penculikan oleh kumpulan mafia. Seperkara lagi yang perlu diketahui adalah fakta George yang berasal dari Itali merupakan seorang yang begitu terkenal dengan kelantangan suaranya dalam menentang pemerintahan diktator Benito Mussolini. Jadi, hidup George dikelilingi oleh musuh-musuh yang berdendam dengannya.

    Menerusi satu laporan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, pihak bomba dilaporkan ada  menjumpai beberapa serpihan tulang dan organ manusia. Namun, mereka memilih untuk tidak memaklumkan penemuan tersebut kepada George dan isterinya kerana enggan mereka berdua tidak dapat menerima kenyataan. Sijil lahir kematian anak-anak George dikeluarkan pada 30 Disember 1945. Malah, George turut menukar tapak kebakaran itu menjadi sebuah tugu peringatan bagi memperingati anak-anaknya yang telah hilang. 

    Hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa juga banyak kali dipertikaikan George. Salah satu daripadanya adalah kebakaran tersebut berlaku disebabkan masalah pendawaian. Dakwa George, rumusan itu tidak tepat kerana lampu pokok Krismas yang dipasang pada malam kejadian tidak terpadam sebelum berlakunya kebakaran. George juga telah mendapati keputusan juri meletakkan punca kebakaran atas faktor masalah pendawaian sebenarnya banyak dipengaruhi oleh ejen insurans yang pernah melakukan ugutan terhadap George pada sebelumnya. Dua bulan sebelum kejadian, seorang ejen insurans telah datang ke rumah George untuk menawarkan polisi insurans. Namun, tawaran yang ditolak oleh George itu menyebabkan ejen insuran berkenaan memberi amaran tentang petanda rumah George akan dilanda kebakaran. Petunjuk lain sebelum kejadian, terdapat laporan mendakwa ada individu yang dikatakan berpura pura mencari kerja telah melakukan satu tinjauan di belakang rumah George. Individu tersebut kemudian memberitahu bahawa kotak fius utama rumah George akan menjadi punca utama kebakaran. Perkara lain yang mencurigakan, George ada menyedari bahawa gerak-geri anak-anaknya sewaktu mereka dalam perjalanan pulang dari sekolah telah diperhatikan oleh individu tertentu yang duduk menunggu di dalam kereta.

    Seterusnya, terdapat beberapa orang saksi tampil memberi keterangan bahawa mereka ada melihat lima orang anak George pada waktu sebelum dan selepas kejadian berlaku. Antaranya adalah keterangan daripada seorang wanita yang mendakwa telah melihat dengan matanya sendiri bagaimana anak anak George melintas di jalan raya. Seorang lagi saksi memberitahu bahawa dia pernah menyediakan sarapan kepada anak-anak George di satu perhentian rehat. Pada masa sama, wanita itu menyedari kewujudan sebuah kereta yang bernombor pendaftaran Florida terletak di kawasan parkir. Ada juga saksi melaporkan telah melihat Maurice, Martha, Louis, Jennie dan Betty sambil ditemani oleh dua orang lelaki serta dua wanita yang digambarkan berpenampilan seperti warga Itali. 

    Kebenaran demi kebenaran terbongkar. Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh penyiasat persendirian upahan George mendapati ketua bomba iaitu Morris telah melakukan satu penipuan. Penipuan tersebut adalah berhubung dengan khabar angin yang tersebar luas di mana Morris dikatakan ada menemui jantung manusia di tapak kebakaran. Namun pada kemudiannya Morris membuat pengakuan bahawa jantung itu sebenarnya adalah hati lembu. Dia akhirnya berterus terang cerita jantung tersebut terpaksa direka dengan harapan George akan menerima hakikat bahawa semua anak-anaknya itu telah pun meninggal dunia.

George dan Jennie

    George dan Jennie tidak pernah berputus asa untuk mencari anak-anak mereka. George sendiri pernah cuba meminta bantuan Pengarah FBI dengan memberi hujah tentang penculikan anak-anaknya. Pengarah FBI ketika itu bersetuju untuk membantu dengan syarat pihak berkuasa tempatan harus memberikan kuasa autoriti terlebih dahulu. Walau bagaimanapun, pihak polis dan bomba daerah Fatyeteville enggan memberikan kerjasama. 

Louis

    Sebenarnya, keyakinan George dan Jennie tentang teori bahawa anak-anak mereka itu masih hidup bukan serkap jarang. George pernah melihat seorang budak perempuan yang menyerupai Betty menerusi sebuah gambar di dalam surat khabar. Jadi, George telah memandu keretanya ke bandar New York bagi memastikan kesahihan gambar itu. Malangnya apabila ibu bapa budak perempuan tersebut enggan untuk berbual dengan George. Selain itu, Jennie juga pernah menerima satu kiriman surat yang tidak mempunyai alamat pengirim. Dalam surat tersebut, terdapat sekeping foto seorang lelaki yang usianya dianggarkan dalam lingkungan 30an. Jika diperhatikan, lelaki dalam foto tersebut dipercayai sebagai Louis yang telah pun dewasa. Kesahihan tentang perkara ini tidak dapat dimuktamadkan. 

    George akhirnya meninggal dunia pada tahun 1969. 20 tahun kemudian, giliran Jennie menghembuskan nafas terakhirnya. Siasatan diteruskan oleh satu-satunya anak George yang masih hidup sekarang iaitu Sylvia yang berusia 2 tahun sewaktu insiden kebakaran itu berlaku. Sylvia berharap dia akan dapat merungkai misteri yang menimpa terhadap adik-beradiknya sebelum terlambat.

Catat Ulasan for "MISTERI KEHILANGAN ANAK-ANAK SODDER - Lesap Tanpa Jasad Dalam Kebakaran "