KISAH DARLIE ROUTIER : Lakonan Seorang Ibu Psiko?
Pada pagi 6 Jun 1996, seorang wanita bernama Darlie Routier telah menghubungi pihak talian kecemasan untuk memberitahu bahawa rumah dua tingkat yang didiaminya diceroboh masuk oleh seorang lelaki. Sewaktu kejadian tersebut, dua orang anak lelaki Darlie iaitu Devon (6 tahun) dan Damon (5 tahun) telah ditikam dengan pisau. Devon mati serta merta di tempat kejadian manakala Damon pula menghembuskan nafas terakhirnya semasa dikejarkan ke hospital. Sementara itu, Darlie sendiri pula mengalami kecederaan parah akibat dikelar pada bahagian leher dan tangannya. Mujur sajalah dia berjaya diselamatkan. Suami Darlie bernama Darin yang sedang tidur tingkat di atas bersama anak bongsu mereka telah terselamat. Mereka berdua dilaporkan dalam tidur dalam keadaan nyenyak pada waktu tersebut berlaku.
Menurut keterangan daripada Darlie, dia yang pada awalnya
tertidur pada sofa ruang tamu terus terbangun sebaik saja mendengar suara Damon
memanggil namanya dengan nada suara yang lemah. Tidak lama kemudian, Darlie ada terlihat kelibat seorang lelaki memasuki bahagian dapur. Belum sempat membuka
lampu dapur, dia telah diserang oleh penceroboh itu. Biarpun mengalami kecederaan parah,
Darlie masih lagi berupaya untuk melawan hingga menyebabkan penceroboh tersebut
melarikan diri. Pada masa sama, jasad Devon didapati sudah lagi tidak bernyawa.
Damon pula yang hanya tinggal nyawa-nyawa ikan gagal untuk diselamatkan.
Selepas pihak polis menjalankan siasatan, mereka telah menahan Darlie sendiri yang disyaki sebagai dalang utama kejadian berikutan keterangannya yang tidak konsisten. Malah, barang bukti yang ditemui di tempat kejadian sangat tidak selari dengan cerita Darlie daripada mula sampai akhir. Perkara ini termasuklah penemuan pisau yang digunakan oleh "penceroboh" dengan faktanya pisau itu adalah dari dapur rumah Darlie sendiri. Bahkan polis mendapati salah satu tingkap di rumah Darlie diumpil dari dalam, bukan luar rumah. Tempat percikan dan tompokan darah adalah berlainan dengan versi penceritaan Darlie. Penceroboh juga diyakini sempat untuk membersihkan sebahagian darah yang terpercik di dapur. Bila difikir secara logik, mengapa penceroboh berkenaan sanggup membuang masa untuk melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut? Seperkara lagi, ada stoking berdarah ditemui tidak jauh dari rumah Darlie. Ujian DNA yang dibuat pada kemudiannya membuktikan stoking itu adalah milik salah seorang daripada anak Darlie. Jadi, bukti stoking ini mengukuhkan lagi teori bahawa Darlie adalah pembunuh sebenar. Berhubung dengan motif pencerobohan, memang tidak jelas sama sekali memandangkan tiada sebarang barangan berharga yang didapati hilang.
Motif sebenar pembunuhan anak-anak Darlie? Tidak diketahui. Cumanya
pada waktu sebelum kejadian, Darlie dilaporkan mengalami masalah kewangan
susulan pendapatan Darin yang semakin terjejas. Darin pernah cuba mencari serta
mengupah mana-mana individu bagi untuk melakukan rompakan di rumahnya bagi
tujuan tuntutan wang insurans. Namun menurut Darin, rancangan rompakan tersebut
hanya akan dilakukan sewaktu ketiadaan keluarganya di rumah. Persoalan samada pembunuhan
Devon dan Damon juga termasuk dalam rancangannya, Darin memberi jawapan
penafian terhadap perkara itu. Berbalik dengan Darlie, dia merupakan seorang
wanita yang begitu materialistik. Berkemungkinan besar Darlie membunuh Devon
dan Damon kerana gagal untuk menerima hakikat bahawa kehidupan mewah yang
dimilikinya sebelum ini hilang dalam sekelip mata. Dakwaan Darlie sebagai
seorang wanita yang benar-benar psiko dikukuhkan lagi dengan videonya sedang
bergembira sewaktu menyambut hari jadi Devon di tanah perkuburan anaknya itu
tidak lama waktu selepas kejadian. Berdasarkan satu lagi bukti iaitu diari tulisan
Darlie sendiri, dia telah disyaki mengidap penyakit kemurungan Postpartum
Depression selepas kelahiran anak bongsunya. Kemurungan tersebut sampai ke
tahap mendengar bisikan halus yang menyuruhnya untuk membunuh diri.
Walaupun Darlie tetap menafikan bahawa kejadian pencerobohan itu adalah cerita rekaannya, dia akhirnya tetap didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati. Ramai pihak yang mempercayai bahawa keputusan juri itu telah dipengaruhi video Darlie yang sedang bergembira di tapak kubur Devon. Darin telah memfailkan penceraian ke atas Darlie pada tahun 2011. Hingga pada hari ini, penyokong Darlie termasuklah anggota keluarga dan Darin sendiri masih kekal dengan pendirian mereka menyatakan bahawa Darlie tidak bersalah. Bagi mereka, dia hanyalah mangsa yang benar-benar teraniaya. Darlie kini masih lagi menunggu pelaksanaan hukuman mati tersebut.
Tahun 1998, Darin sebenarnya pernah meminta bantuan daripada seorang jutawan yang bernama Brian Pardo untuk menyelesaikan kes ini. Brian sudi untuk membantu dengan menghulurkan dana kewangan bagi mengembangkan siasatan. Bagaimanapun berlakunya satu plot twist di mana Darin kemudiannya telah gagal dalam ujian poligraf seperti yang dikehendaki oleh Brian. Disebabkan itu, Brian mengemukakan teori bahawa Darin adalah pembunuh sebenar. Malah, Darin ada berniat untuk membunuh Darlie sendiri demi insurans nyawa yang bernilai $250 000. Teori Brian bagaimanapun terus kekal menjadi cerita yang tidak mempunyai penghujungnya.
Catat Ulasan for "KISAH DARLIE ROUTIER : Lakonan Seorang Ibu Psiko? "