Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

ENAM FAKTA TENTANG ESTIBALIZ CARRANZA : Wanita Ais Krim


  Estibaliz Carranza merupakan seorang wanita yang digelar sebagai “wanita ais krim” atas pembunuhan kejam berasingan yang dilakukannya terhadap dua orang lelaki pada tahun 2008 dan 2010 di Vienna Austria. Menurut sumber tertentu, dua lelaki berkenaan yang merupakan bekas suami dan teman lelakinya sendiri dibunuh disebabkan tidak mampu untuk menghamilkan Estibaliz. Mayat mereka berdua kemudian dikerat dengan mesin gergaji berantai sebelum disimpan di dalam peti sejuk beku di bilik bawah tanah kedai ais krim Estibaliz.

     Berikut adalah enam fakta tentang kes Estibaliz Carranza.


    DITEMBAK DENGAN JARAK DEKAT

    Estibaliz Carranza membunuh bekas suaminya iaitu Holger Holz pada tahun 2008. Waktu kejadian tersebut, Holger yang sedang bermain komputer telah ditembak Estibaliz dari arah belakang. Menurut laporan, Holger dibunuh atas alasan sikap malasnya dan enggan untuk keluar dari rumah meskipun sudah bercerai dengan Estibaliz. Dua tahun selepas itu, giliran teman lelaki Estibaliz yang bernama Manfred Hinterberger pula menjadi mangsa pembunuhan. Sama seperti Holger, Manfred yang disyaki mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain juga ditembak pada bahagian belakang kepalanya.  

    DIKERAT DAN DISIMEN

   Mayat Holger dan Manfred dikerat Estibaliz menggunakan mesin gergaji berantai. Semasa proses mengerat tersebut, Estibaliz akan memasang mesin ais krim bagi mengaburi telinga jiran-jiran di sekeliling mendengar bunyi mesin gergaji berantai itu. Selesai berbuat sedemikian, mayat tersebut disimpan dalam kontena sebelum disimen dan seterusnya disimpan di dalam peti sejuk beku yang terletak di bilik bawah tanah kedai ais krim milik Estibaliz. Selain itu, Estibaliz telah menggunakan penyegar udara sebagai penyelesaian kepada masalah bau busuk mayat. 


    MELARIKAN DIRI

    Pada tahun 2011, beberapa orang pekerja dikerah untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan paip pecah di bilik bawah tanah kedai ais krim Estibaliz. Di situ tanpa diduga, mereka telah menemui kontena mayat yang disimpan oleh Estibaliz. Selepas menyedari rahsia gelapnya terbongkar, Estibaliz bergegas untuk melarikan diri dengan menuju ke Udine, Itali. Namun, dia yang kemudian tinggal bersama pemuzik jalan telah berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa lalu dihantar semula ke Austria untuk dihadapakan perbicaraan.


    KECELARUAN IDENTITI

    Menurut laporan psikiatri mahkamah, Estibaliz dilaporkan seorang yang berbahaya ekoran mengalami masalah kecelaruan identiti serius dengan jalan cerita bahawa dia adalah seorang puteri yang ingin diselamatkan oleh lelaki idamannya. Apa yang lebih menakutkan, Estibaliz dikhuatiri akan melakukan pembunuhan lain sekiranya dibebaskan. 

Gambar sekadar hiasan

    INGINKAN ANAK

    Berdasarkan buku memoir Estibaliz sendiri, matlamat hidupnya selama ini adalah inginkan anak.  Apa yang diingini oleh Estibaliz itu tercapai selepas dia didapati mengandung pada hari penangkapannya. Bayi yang dikandungnya itu bukan anak Holger mahupun Manfred. Identiti sebenar bapa kandung kepada bayi tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum. Cuma apa yang diketahui, Estibaliz mengahwini lelaki itu selepas tempoh dua bulan bayinya dilahirkan di penjara. Bayi tersebut kini dalam jagaan suami Estibaliz. 

Gambar sekadar hiasan

    SEPENJARA DENGAN BANDUAN LELAKI

    Estibaliz dijatuhkan hukuman penjara seumur pada tahun 2012. Lima tahun kemudian, dia yang pada asalnya meringkut di penjara wanita terpaksa dipindahkan ke penjara khas lelaki kerana dilabel sebagai berbahaya. Hingga tahun 2017, penjara lelaki yang terletak di Asten itu menempatkan 91 banduan lelaki dengan beberapa orang lagi banduan wanita bakal menyusul.

2 ulasan for "ENAM FAKTA TENTANG ESTIBALIZ CARRANZA : Wanita Ais Krim"