KISAH JAYCEE DUGARD : Diculik Lelaki Pedo Selama 18 Tahun.
Nama budak perempuan dalam gambar di atas adalah Jaycee Lee
Dugard. Kisah malang Jaycee ini bermula pada tarikh 10 Jun 1991 di mana dia
yang berusia 11 tahun waktu tersebut sedang dalam perjalanan ke stesen bas bagi
menaiki bas untuk pergi ke sekolahnya. Tidak lama selepas itu, datang sebuah
kereta mendekati Jaycee. Jaycee kemudian ditembak dengan pistol perenjat
elektrik lalu diheret masuk ke dalam kereta itu oleh dua individu. Individu
berkenaan adalah Phillip Garrido iaitu seorang pesalah laku seksual yang masih
lagi berada dalam pemantauan pihak berkuasa. Seorang lagi individu pula
merupakan isteri Phillip sendiri yang bernama Nancy. Penculikan Jaycee tersebut
sebenarnya hasil intipan Nancy pada sebelum itu sebagai hadiah untuk Phillip.
Selepas mengheret masuk badan Jaycee ke dalam kereta, Philip pun terus memecut
laju beredar dari lokasi kejadian. Pada masa sama, bapa tiri Jaycee iaitu Carl
Probyn yang melihat insiden tersebut cuba untuk mengejar kereta Phillips dengan
basikal. Walau bagaimanapun, segala-galanya sudah pun terlambat.
Sejurus selepas Jaycee terjaga daripada pengsan, perkara pertama yang diberitahunya kepada Phillip dan Nancy adalah “ibu bapa saya tak mampu nak bayar wang tebusan.” Hari pertama penculikannya, Jacyee yang digari dipaksa untuk mandi bersama Phillip. Jaycee yang seterusnya dirogol telah dikurung di dalam sebuah bilik kalis bunyi yang terletak di belakang rumah Phillip. Di dalam bilik yang tidak mempunyai sebarang keperluan asas itulah tempat Jaycee menjadi hamba seks Philip setiap hari. Bayangkanlah cuma ada sebuah baldi sebagai tempat Jaycee untuk kencing dan buang air besar. Hari demi hari Jaycee terus tinggal dalam kesedihan dan kesunyian. Hanya wajah Phillip dan Nancy yang ditatapnya. Biarpun pada akhirnya Jaycee diberikan sebuah televisyen sebagai hiburan, dia tidak dibenarkan menonton sebarang siaran berita. Selain itu, Jaycee berasa takut untuk melarikan diri kerana berasa bimbang akan dikejar oleh anjing di belakang rumah seperti yang diberitahu oleh Phillip. Ada kalanya Phillip yang merupakan penghisap tegar dadah jenis syabu akan memakaikan baju-baju pelik kepada Jaycee mengikut selera nafsu seksnya. Phillip juga ada membuat pengakuan bahawa Jaycee terpaksa dirogol adalah atas perintah Tuhan. Bahkan Nancy turut memohon maaf kepada Jacyee atas perbuatan suaminya itu. Pada hakikat sebenar, Phillip dan Nancy adalah syaitan yang bertopengkan manusia. Lihat sendiri sedutan video di bawah iaitu aksi Phillip bermain gitar dengan Nancy merakam gelagat kanak-kanak yang berpotensi untuk dijadikan sebagai mangsa.
Sementara itu, ibu Jaycee iaitu Terry Probyn terus berusaha
untuk mencari anak perempuan kesayangannya. Walaupun operasi pencarian Jaycee
kekal menemui jalan buntu, dia tidak pernah sesekali berputus asa. Malah Terry
juga mendapat sokongan daripada rakan-rakan di sekeliling yang sanggup berhenti
kerja demi membantunya mencari Jaycee. Pada masa sama, golongan sukarelawan
menghulurkan bantuan mereka dengan menyebarkan poster dan risalah tentang
Jaycee di serata tempat Amerika Syarikat.
Hinggalah bulan April 1994, Jaycee yang sudah mencecah usia 13 tahun waktu itu diberitahu oleh Phillip bahawa dia telah mengandung. Pada waktu tersebut, Jaycee masih tidak memahami kaitan antara hubungan seks dengan kehamilan. Dia diarahkan Phillip untuk membuat persediaan melahirkan anak hanya berpandukan maklumat daripada televisyen. Beberapa bulan kemudian, Jaycee selamat melahirkan anak perempuan pertamanya tanpa bantuan sesiapapun pada usia 14 tahun. Meskipun anaknya itu adalah darah daging Phillip, Jaycee tetap berasa gembira kerana dia akhirnya tidak lagi berada dalam kesunyian. Pada tahun 1997, anak perempuan kedua Jaycee pula selamat dilahirkan. Jaycee membesarkan kedua-dua perempuannya dengan penuh rasa kasih sayang dan memberikan mereka berdua pendidikan asas biarpun dia sendiri hanya belajar setakat darjah lima. Saat yang menyedihkan buat Jaycee apabila dia disuruh oleh Phillips untuk mengajar anak-anaknya memanggil Nancy sebagai ibu. Jaycee sendiri pula yang ditukarkan namanya sebagai Alyssa terpaksa memegang peranan sebagai seorang “kakak”. Perkara ini adalah berikutan Nancy yang cemburukan hubungan Jaycee bersama anak-anaknya.
Sepanjang tempoh penculikan Jaycee, pernah ada beberapa
situasi yang mungkin dapat menyelamatkannya lebih awal. Bagaimanapun, perkara
tersebut tidak berlaku ekoran daripada kecuaian pihak berkuasa sendiri. Pegawai
parol pernah mengunjungi rumah Phillip bagi tujuan pemeriksaan namun mereka
gagal untuk mengesan kewujudan Jaycee dan anak-anaknya. Lagi mengejutkan
apabila pegawai parol berkenaan pernah berborak dengan Jaycee. Harus
diingatkan, Phillip adalah pesalah laku seksual yang masih lagi berada dalam
pemantauan. Apa yang dipertikaikan, bagaimana perkara sebegini boleh terlepas
pandang? Tak cukup dengan itu, salah seorang jiran Phillip ada memberi maklumat
kepada pihak polis tentang khemah di belakang rumah Phillip. Namun cukup
mengecewakan apabilah laporan tersebut seolah-olah dipandang remeh oleh polis.
Tindakan susulan yang dibuat cukup ala kadar.
Jaycee pernah mempunyai beberapa peluang untuk melarikan diri sewaktu dia diberikan peluang untuk bekerja dengan Phillip. Satu ketika, Phillip telah membuka kedai perniagaan percetakan. Jadi, Jaycee diberikan tugas menjawab telefon serta membalas e-mel. Sukar untuk dijelaskan apabila Jaycee langsung tidak mengambil kesempatan itu bagi meminta bantuan. Dalam situasi sedemikian, ramai pihak yang berpendapat bahawa Jaycee sebenarnya sangat takut untuk melarikan diri kerana sudah dikawal oleh Phillip dari sudut mental. Tidak kurang juga ada yang mempercayai bahawa Jaycee ketika itu telah pun mengidap penyakit Stockholm Syndrome.
Pada tarikh 24 Ogos 2009, Phillip pergi
ke sebuah balai polis Universiti of California bersama anak-anak Jaycee bagi
memohon kebenaran untuk menganjurkan program keagamaannya dalam kawasan kampus
tersebut. Phillip kemudian disuruh oleh salah seorang kakitangan di situ untuk
datang semula pada keesokan harinya sebagai proses temu janji. Seterusnya, ada
anggota polis telah membuat semakan latar belakang Phillip selepas mendapati
budak perempuan bersama Phillip itu agak mencurigakan iaitu berada dalam
keadaan tidak terurus. Menerusi semakan yang dibuat, ternyata Phillip adalah
pesalah laku seksual dalam pemantauan akibat kesalahan menculik dan merogol.
Apabila tiba hari temu janji, Phillip dan Jaycee selaku Alyssa telah disoal
siasat secara berasingan. Pada mulanya, Jaycee enggan untuk bekerjasama bagi
memberitahu perkara yang sepatutnya. Namun pada akhirnya, dia akur jua untuk
mendedahkan identiti sebenar dengan menulis namanya pada sehelai kertas.
Phillip pula membuat pengakuan tentang penculikan Jaycee selepas ditekan oleh
anggota polis secara berterusan. Menerusi penangkapan Phillip, maka penderitaan
Jaycee bersama dua orang anaknya yang berusia 15 dan 11 tahun ketika itu
berakhir. Jaycee kembali bersua dengan ibunya selepas 18 tahun terpisah.
Berhubung dengan Phillip dan Nancy, mereka berdua telah didapati bersalah di mahkamah atas kesalahan menculik dan merogol. Sebagai hukuman, Phillip menerima hukuman penjara 431 tahun hingga seumur hidup manakala Nancy pula dipenjarakan selama 36 tahun hingga seumur hidup. Jaycee juga diberikan pampasan sebanyak RM80 juta daripada kerajaan California akibat kecuaian mereka dalam menangani kes penculikannya. Walau bagaimanapun, wang tersebut tidak sesekali akan dapat mengembalikan masa 18 tahun yang hilang dari hidup Jaycee.
Kesian nya
BalasPadam