KISAH KEHILANGAN MADELEINE MCCANN : Siapa ambil Madeleine?
Artikel dimulakan dengan pengenalan keluarga McCann. Gerry dan Kate McCann adalah pasangan bergelar doktor yang telah mula berkenalan pada tahun 1993. Lima tahun selepas itu, mereka berdua berkahwin jua. Kehidupan pasangan McCann diserikan lagi dengan kelahiran Madeleine pada tahun 2003 dan disusuli pasangan kembar lelaki perempuan pada dua tahun kemudian.
Diringkaskan cerita iaitu pada 28 April 2007, keluarga McCann telah pergi bercuti ke Portugal bersama tujuh orang lagi rakan mereka yang rata-ratanya terdiri daripada anggota perubatan. Destinasi percutian mereka adalah di Praia da Luz di mana tempat berkenaan merupakan tempat yang memang sangat sesuai untuk percutian keluarga. Di situ, mereka semua telah menginap di satu bangunan apartment yang sama namun berlainan bilik dengan keluarga McCann tinggal dalam bilik apartment bernombor 5A.
Sepanjang waktu malam tempoh percutian tersebut, Gerry dan Kate akan menidurkan anak-anak mereka terlebih sebelum keluar untuk pergi makan malam di restoran tapas yang jaraknya hanya 55 meter dari bangunan apartment. Perkara sama juga dilakukan oleh tujuh orang rakan pasangan McCann yang digelar media sebagai Tapas Seven. Rutin biasa yang dilakukan pasangan McCann dan Tapas Seven sewaktu meninggalkan anak-anak mereka dekat apartment masing-masing adalah dengan membiarkan pintu masuk dalam keadaan tidak berkunci. Selesai menidurkan anak, barulah mereka akan pergi berhibur di restoran tapas itu. Lebih kurang setiap 30 minit, salah seorang daripada mereka akan pergi secara bergilir ke apartment untuk memeriksa serta memantau keadaan. Sewaktu awal percutian, cara penggiliran tersebut telah berjalan dengan baik tanpa mempunyai sebarang masalah.
Hinggalah malam 3 Mei 2007, mimpi ngeri yang sebenar untuk pasangan McCann. Seperti biasa pada pukul 8.30 malam, Gerry dan Kate telah meninggalkan tiga orang anak mereka di apartment untuk pergi bersantai di restoran. Setengah jam kemudian, pemantauan pertama dilakukan oleh salah seorang daripada Tapas Seven iaitu Matthew Oldfield. Selepas itu, seorang demi seorang demi pergi memeriksa di apartment. Tepat jam 10 malam, tibalah giliran Kate untuk memeriksa aparment. Sebaik saja tiba di apartmentnya, dia mula berasa cuak apabila mendapati pintu bilik, tirai serta tingkap dalam keadaan sedikit terbuka luas. Disebabkan berasa tidak sedap hati, Kate pun bergegas masuk ke dalam bilik tidur anak-anaknya. Dia kemudian berasa sedikit lega bila melihat anak kembarnya masih lagi tidur nyenyak. Bagaimanapun, rasa panik terus menyelubungi Kate selepas mendapati Madeleine tiada dalam bilik tersebut. Puas dia mencari di apartment termasuklah dalam almari, dapur dan bilik mandi. Namun, Madeleine langsung tidak kelihatan. Waktu tersebut, barulah Kate menyedari bahawa Madeleine telah pun hilang.
Kate lekas berpatah balik ke restoran untuk memberitahu tentang kehilangan Madeleine. Keadaan pun terus menjadi kelam-kabut. Hampir kesemua kakitangan di resort berkenaan dikerah untuk mencari Madeleine.
Pihak polis tempatan tiba pada jam 11 malam untuk mendapatkan keterangan awal daripada pasangan McCann. Siasatan penuh hanya dilancarkan oleh polis pada keesokan paginya dengan diketuai oleh Inspektor Goncalo Amaral yang menumpukan kerja-kerja pemeriksaan di kawasan apartment terlebih dahulu. Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah seperti tanda pecah masuk, pergelutan, kehilangan barangan berharga dan lain-lain. Jadi, kesimpulan awal yang boleh dibuat adalah tiada sebarang elemen penculikan.
Sementara itu, pasangan McCann pula memang mengesyaki bahawa Madeleine telah menjadi mangsa penculikan. Pada masa yang sama, Gerry dan Kate tidak berpuas hati dengan progres siasatan oleh polis tempatan yang dianggap mereka sebagai sangat lembap. Sepertinya, polis tempatan tersebut tidak bersedia untuk menangani kes berprofil tinggi sedemikian. Maka sebagai langkah awal, pasangan McCann mengambil jalan tersendiri dengan menghubungi saudara mara mereka yang berada di Britain. Saudara mara mereka itu pula menghubungi stesen media. Bermula saat tersebut, kes Madeleine terus mendapat liputan yang meluas di seluruh dunia.
Berdasarkan siasatan awal polis tempatan, satu-satunya petunjuk penting dalam kes ini adalah tentang kelibat seorang lelaki misteri. Saksi pertama iaitu Jane Tanner daripada Tapas Seven mendakwa ada berselisih dengan lelaki misteri berkenaan pada jam 9.15 malam kejadian sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke apartment. Lelaki misteri berambut gelap serta memakai jaket itu berjalan dalam keadaannya mendukung seorang kanak-kanak perempuan yang seakan-akan menyerupai Madeleine. Saksi kedua pula merupakan keluarga Smith iaitu pelancong dari Ireland. Pada jam sekitar 10 malam waktu kejadian, mereka mendakwa turut melihat seorang lelaki misteri sedang mendukung kanak-kanak perempuan berambut perang yang dianggarkan berusia 3 ke 4 tahun. Apa yang membezakan kelibat lelaki misteri yang dilihat oleh Jane dan keluarga Smith adalah gambaran wajahnya. Menerusi risikan serta siasatan dibuat, polis tempatan berjaya mengenal pasti lelaki misteri yang digambarkan oleh Jane Tanner adalah Robert Murat iaitu seorang perunding hartanah berusia 34 tahun. Robert Murat yang kemudiannya ditahan telah disoal siasat oleh pihak polis tempatan selama 19 jam. Namun, tiada sebarang bukti untuk mengaitkannya dengan kehilangan Madeleine. Biarpun dibebaskan, Robert tetap diyakini sebagai salah seorang suspek.
Pasangan McCann kekal dengan pendirian mereka bahawa Madeleine telah diculik. Susulan masih berasa tidak berpuas hati dengan siasatan polis tempatan Portugal, Gerry dan Kate pun melancarkan kempen tersendiri. Salah satu daripada kempen tersebut adalah meminta derma. Ternyata, tindakan mereka tersebut telah dikritik oleh ramai pihak. Seperkara lagi, Gerry dan Kate juga ada melancarkan satu laman web khas untuk mencari Madeleine iaitu www.findmadeleine.com. Sejak terciptanya laman web itu, pasangan McCann telah menerima begitu banyak mesej tentang maklumat Madeleine. Namun, semua maklumat tersebut sia-sia kerana tiada satupun yang membantu perkembangan kes.
Kemuncak kes ini sebenarnya adalah dengan kehadiran dua ekor anjing pengesan khas terlatih dari Britain bernama Eddie dan Keela. Eddie dan Keela yang dibawa masuk ke dalam apartment 5A telah menyalak pada kawasan lantai sofa yang berdekatan dengan tingkap ruang tamu. Seterusnya, dua ekor anjing itu ada mengesan bau di bahagian but kereta yang disewa oleh pasangan McCann pada tiga minggu selepas kehilangan Madeleine. Inspektor Goncalo Amaral kemudian mengemukakan teori awal bahawa Madeleine telah mati akibat satu insiden yang tidak disengajakan iaitu terjatuh di bahagian lantai sofa ruang tamu. Jadi, pasangan McCann yang panik bertindak melupuskan mayat Madeleine di tempat lain. Gerry dan Kate kemudian ditahan untuk disoal siasat. Namun atas nasihat peguam, mereka berdua tidak menjawab sebarang soalan meskipun sesi soal siasat berjalan tersebut berjam-jam lamanya.
Satu lagi teori lain adalah pasangan McCann dan Tapas Seven sengaja menutupi kematian Madeleine. Semua tindakan sudah dirancang dari awal. Semua daripada mereika ingin melepaskan tengkuk masing-masing memandangkan mereka semua merupakan golongan pekerja professional.
Pada bulan Oktober 2007, Inspektor Goncalo Amaral telah diberhentikan daripada mengetuai siasatan kes kehilangan Madeleine tanpa sebab. Pemecatan ini ternyata begitu mengecewakan Goncalo kerana dia sudah bekerja keras dari awal lagi. Inspektor Paulo Rebelo kemudian dinamakan sebagai pengganti Goncalo. Seterusnya, pasangan McCann dan Robert Murat digugurkan sebagai suspek berikutan tiada sebarang bukti forensik yang kukuh untuk mengaitkan pembabitan mereka terhadap kehilangan Madeleine.
Bulan Mei 2011, pihak berkuasa UK telah mengumumkan satu kertas siasatan baru kes Madeleine akan dijalankan. Siasatan yang dinamakan sebagai Operasi Grange itu dianggotai oleh rata-rata detektif yang berpengalaman. Perkara pertama sekali yang mereka lakukan adalah dengan meneliti semula fail siasatan polis tempatan Portugal yang didapati mempunyai banyak butiran maklumat mengelirukan. Dipendekkan cerita, pasukan penyiasat tersebut berjaya memperolehi maklumat tentang seorang individu misteri yang berada di luar blok apartment 5A sepanjang minggu kejadian. Apa yang perlu diketahui, kes rompakan sering berlaku di kawasan resort tersebut. Maka, tercetuslah teori rompakan. Berkemungkinan besar, Madeleine terbangun dalam satu kejadian rompakan. Sesuatu telah berlaku hingga menyebabkan perompak itu diserang rasa panik. Jadi, dia pun membawa Madeleine pergi.
Hingga pada ini, apa sebenarnya yang berlaku terhadap Madeleine masih lagi kekal sebagai misteri. Adakah benar dia diculik atau sekadar konspirasi pasangan McCann untuk menutup jenayah yang diaorang telah buat? Satu bukti penting yang masih lagi gagal untuk ditemui menyebabkan kes ini dianggap paling kontroversi serta sukar untuk diselesaikan.
Kemas kini 2020 : Menerusi perkembangan terkini kes kehilangan Madeleine McCann, pihak polis Jerman semalam telah menemui bilik kurungan rahsia di kawasan bekas sebuah rumah yang pernah dihuni oleh seorang suspek iaitu hanya dinamakan sebagai Christian B. Polis mengesyaki berkemungkinan Madeleine telah mati dan siasatan masih lagi dijalankan. Suspek yang kini berada dalam penjara atas kesalahan mengedar dadah itu dipercayai berada di resort kejadian sewaktu Madeleine diculik. Suspek pernah didakwa atas kesalahan merogol wanita berusia 72 tahun dan turut disyaki sebagai suspek utama dalam kes kehilangan seorang budak perempuan warganegara Jerman yang berusia 5 tahun pada tahun 2015. Teori ringkas, suspek menculik Madeleine dan terus membawanya ke Jerman pada masa 24 jam.
Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN MADELEINE MCCANN : Siapa ambil Madeleine?"