KISAH NANNIE DOSS : Nenek yang Suka Ketawa
Sekali pandang, Nannie Doss dilihat seperti wanita yang baik. Raut wajahnya yang tidak lekang daripada senyuman sudah cukup untuk menggambarkan bahawa dia adalah seorang yang begitu peramah. Nannie juga menjalani kehidupan yang normal seperti wanita lain dengan berkahwin dan mempunyai anak. Malah ada kala dia meluangkan masa untuk bermain bersama cucunya. Namun di sebalik keriangan kehidupan Nannie, tiada siapa pun yang menyangka bahawa dia sebenarnya adalah seorang pembunuh bersiri.
Nannie Doss atau nama
sebenarnya iaitu Nancy dilahirkan pada 4 November 1905 bertempat di Blue
Mountain, Alabama, Amerika Syarikat. Dia mempunyai tiga orang adik beradik
perempuan dan juga seorang abang. Sewaktu masih kecil, Nannie dikatakan begitu
membenci bapanya yang bernama James kerana mengongkong kehidupan mereka
sekeluarga. Kadang-kadang Nannie serta adik beradiknya yang lain telah dipaksa
oleh James untuk bekerja di ladang berbanding berbanding menyuruh mereka pergi ke
sekolah. Nannie juga tidak dibenarkan untuk berfesyen, apatah lagi berkawan
mahupun keluar dengan mana-mana lelaki. Selain itu, Nannie pernah terlibat
dengan kemalangan kereta api pada usianya 7 tahun. Kemalangan tersebut telah
menyebabkan kepala Nannie mengalami kecederaan teruk hingga memberi kesan
terhadap kesihatannya selama bertahun-tahun. Menginjak usia remajanya, masa
lapang Nannie dihabiskan dengan membaca novel-novel romantik. Maka tidak
hairanlah dia mengimpikan satu kehidupan bahagia dan sempurna bersama bakal
suaminya.
Nannie berkahwin muda iaitu pada usianya 16 tahun dengan mengahwini seorang lelaki bernama Charley Bragg yang juga merupakan rakan sekerjanya di sebuah kilang. Mereka berdua terus membuat keputusan untuk berkahwin biarpun baru empat bulan berkenalan. Sepanjang tempoh perkahwinan itu, Nannie dan Charley mempunyai empat orang anak bersama. Walau bagaimanapun, dua orang daripada anak mereka tersebut telah mati akibat keracunan makanan. Pada masa sama, Nannie yang bergelar sebagai ibu muda terus bergelut dengan kehidupan rumah tangganya sendiri. Ditambah lagi dengan tekanan daripada ibu mentuanya, Nannie mula kerap mengunjungi bar dan akhirnya menjadi seorang kaki pemabuk. Berikutan rumah tangga mereka yang kian berantakan, Nannie dan Charley akhirnya berpisah pada tahun 1928. Charley mempercayai bahawa dua orang anak mereka yang mati sebelum ini adalah akibat diracun oleh Nannie.
Selepas penceraian dengan Charley, Nannie telah berkahwin
sebanyak empat kali di mana keempat-empat suaminya itu mati dalam keadaan
misteri dan mengejut. Suami kedua Nannie iaitu Frank Harrelson yang juga
merupakan seorang pemabuk dilaporkan mati akibat keracunan tidak lama selepas
pertengkaran mereka di sebuah parti. Begitu juga dengan suami ketiga Nannie
yang bernama Arnie Lanning telah menemui ajalnya akibat serangan jantung
selepas mengalami gejala demam, muntah dan sakit perut. Sama seperti Frank,
Arnie juga adalah kaki botol. Richard Morton, suami keempat Nannie pula mati
selepas turut mengalami keracunan makanan. Richard dilaporkan adalah seorang
kaki perempuan. Berbeza dengan Frank, Arnie, dan Richard, suami kelima Nannie
iaitu Samuel Doss merupakan seorang yang sangat warak dan kerap pergi ke gereja
untuk beribadat. Cumanya, Samuel yang dikatakan mengongkong hidup Nannie juga
telah mati ekoran keracunan makanan. Susulan kematian Samuel, Nannie terus ditahan
oleh pihak polis selepas laporan dibuat oleh doktor peribadi Samuel yang
mengesyaki bahawa kematian majikannya itu adalah disebabkan perbuatan khianat.
Seperkara lagi yang perlu diketahui, Nannie pernah mendapat wang insurans nyawa
atas kematian salah seorang cucunya sebelum ini.
Maka dengan penangkapan Nannie tersebut, dia pun membuat pengakuan tentang pembunuhan keempat-empat suaminya. Namun apa yang lagi mengejutkan adalah dakwaan susulan Nannie yang mengaku telah membunuh darah daging sendiri termasuklah kakak, cucu lelaki dan ibunya. Berdasarkan siasatan, rata-rata daripada mangsa Nannie mati akibat keracunan arsenik. Biarpun Nannite disyaki melakukan 11 pembunuhan, dia hanya didapati bersalah atas pembunuhan Samuel berdasarkan bukti yang sedia ada. Berkenaan dengan hukumannya, Nannie telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Cara pembunuhan Nannie ini mungkinlah tidak sekejam pembunuh
bersiri yang lain. Tiada tikam menikam, tiada tembak menembak, tiada kerat mengerat
dan sebagainya. Namun dia tetap dikira sebagai psiko kerana gelagatnya yang
suka ketawa ketika menceritakan apa yang telah dilakukan terhadap
mangsa-mangsanya dan juga ketika menghadapi perbicaraan di mahkamah. Disebabkan
itulah Nannie dijolok dengan gelaran Giggling Granny yang bermaksud “Nenek
Ketawa” .
Nannie pernah memberitahu bahawa motif sebenar pembunuhannya adalah kerana untuk mencari pasangan paling sempurna dan cinta sejati dalam kehidupan. Mungkin maksud kata-kata Nannie itu merupakan pasangan seperti dalam karakter novel cinta yang sering dibacanya. Dakwa Nannie lagi, kecederaan di kepalanya adalah salah satu punca yang telah menjadikan dia sebagai pembunuh. Pada tahun 1965, Nannie akhirnya meninggal dunia di dalam penjara sewaktu berusia 59 tahun kerana menderita penyakit leukimia.
Catat Ulasan for "KISAH NANNIE DOSS : Nenek yang Suka Ketawa"