Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN PASANGAN KEKASIH DI KNOXVILLE : Cinta Sampai Mati


  Hugh Christopher Newsom (23 tahun) dan Channon Christian (21 tahun) hidup sebagai pasangan kekasih yang saling mencintai antara satu sama lain. Channon yang menuntut jurusan sosiologi di Universiti Tennessee sangat disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Begitu juga dengan Chris yang bekerja sebagai pemotong kayu di sebuah sekolah. Dia dikatakan mempunyai minat mendalam terhadap sukan besbol. Pada malam 26 Januari 2007, Chris dan Channon telah meninggalkan apartment yang didiami bersama untuk pergi berparti di rumah kawan mereka. Malang tidak berbau apabila pada kemudiannya mereka berdua telah diculik oleh sekumpulan penculik di kawasan parkir kereta apartment tersebut. 

    Kumpulan penculik itu dianggotai oleh George Geovonni Thomas, Letalvis Darnell Cobbins, Lemaricus Devall Davidson, Eric Dewayne Boyd dan Vanessa L. Coleman. Tidak begitu banyak maklumat yang diketahui tentang mereka berlima. Cumanya, mereka semua yang datang dari keluarga bermasalah ini saling mengenali dan mempunyai kaitan antara satu sama lain.


    Sepanjang 48 jam penculikan Chris dan Channon, mereka berdua telah dibelasah, dirogol dan didera dengan begitu kejam secara berterusan. Selepas puas menyeksa, kumpulan penculik tersebut kemudian bertindak untuk membunuh Chris dengan menembak pada bahagian belakang kepala dan lehernya. Seterusnya, mayat Chris dibakar terlebih dahulu sebelum dibuang ke landasan kereta api. Sementara itu, Channon yang didera tanpa henti dibiarkan mati di dalam plastik sampah dengan keadaan matanya terbeliak. 

    Laporan polis tentang kehilangan Channon kemudian dibuat oleh ibu bapanya selepas gagal untuk menghubungi anak perempuan kesayangan mereka itu. Menerusi pencarian yang dijalankan oleh pihak polis, mereka telah berjaya menemui kereta milik Channon di sebuah jalan. Penemuan sampul surat yang mempunyai kesan DNA dalam kereta tersebut telah membawa kepada penangkapan kelima-lima suspek. 

    Hasil laporan bedah siasat terhadap mayat Chris dan Channon mendapati bahawa mereka berdua dipukul dengan teruk pada bahagian kemaluan masing-masing. Lagi kejam, Chris diliwat dengan objek tertentu. Selain itu, Channon juga mengalami kecederaan parah pada bahagian mulut dan faraj akibat serangan seksual. Malah pada saat-saat akhir hidup Channon, mulutnya dituang serta seluruh badan digosok dengan peluntur bagi menghapuskan DNA suspek. Motif sebenar penculikan awal Chris dan Channon dilihat bermotifkan rompakan. Seperkara lagi tidak dapat dipastikan kesahihannya adalah tentang berita kematian mereka berdua ketika itu yang kurang mendapat liputan meluas ekoran kebimbangan pihak berkuasa akan tercetusnya rusuhan kaum memandangkan semua suspek adalah berkulit hitam. 


    George Geovonni Thomas, Letalvis Darnell Cobbins, Lemaricus Devall Davidson, Eric Dewayne Boyd dan Vanessa L. Coleman yang dibicarakan secara berasingan telah dijatuhkan hukuman mengikut sejauh mana pembabitan mereka semua dalam kes tersebut. Eric yang didakwa bersubahat menerima hukuman penjara selama 18 tahun. George dan Letalvis yang disabit atas kesalahan mencuri, menculik dan merogol pula meringkuk di penjara seumur hidup. Vanessa dipenjarakan selama 53 tahun. Namun selepas rayuan dibuat oleh Vanessa, hukuman penjaranya dikurangkan kepada 35 tahun. Lemaricus merupakan satu-satunya suspek yang dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN PASANGAN KEKASIH DI KNOXVILLE : Cinta Sampai Mati"