Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA MIYAZAWA : Pembunuh Tanpa Wajah


    "The Setagaya Family Murder" adalah merujuk kepada kejadian pembunuhan kejam sekeluarga yangq berlaku pada 30 Disember 2000 di Setagaya, Jepun. Hingga pada hari ini, suspek masih lagi belum berjaya dikenal pasti dan ditangkap. 


    Mangsa merangkap si suami iaitu Mikio Miyazawa merupakan seorang pekerja di Interbrand, iaitu sebuah syarikat firma konsultan. Manakala isterinya pula yang bernama Yasuko adalah seorang guru sekolah. Mereka berdua mempunyai dua orang anak iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Si lelaki bernama Rei (6 tahun) dan perempuan pula adalah Niina (8 tahun).

    Pada tahun 1990, keluarga Miyazawa telah berpindah ke sebuah kawasan perumahan yang agak terpencil dari bandar. Pada asalnya, kawasan tersebut dianggarkan dihuni oleh kira-kira 200 buah keluarga. Namun, lama-kelamaan kebanyakan daripada mereka telah berpindah. Hingga tahun 2000, hanya tinggal empat buah keluarga yang menduduki di kawasan perumahan itu. Jumlah tersebut termasuklah kakak ipar Mikio yang tinggal bersebelahan dengan rumah Mikio sendiri. Dua lagi buah keluarga tinggal di rumah yang terletak di seberang jalan. 

    Pada malam kejadian, ibu Yasuko yang tinggal bersama kakak Yasuko ni telah terdengar satu bunyi bising di rumah Mikio. Walau bagaimanapun, ibu Yasuko langsung tidak mengesyaki apa-apa waktu itu. Keesokan harinya, ibu Yasuko cuba untuk menelefon Yasuko. Namun, panggilan tersebut tidak bersahut. Disebabkan rasa curiga, maka ibu Yasuko pun pergi ke depan pintu rumah Mikio. Selepas loceng pintu ditekan berkali-kali tetapi tetap tiada sebarang respon, maka ibu Yasuko pun membuka pintu rumah Mikio menggunakan kunci pendua yang disimpannya. Sebaik pintu itu dibuka, ibu Yasuko telah menemui mayat semua keluarga Miyazawa dan kemudian terus menghubungi pihak polis.


    Waktu sebelum kejadian, keluarga Miyazawa sering rasa terganggu dengan suasana bising di taman permainan papar luncur yang terletak berdekatan dengan taman perumahan mereka. Malah keluarga Miyazawa ada merancang untuk berpindah ke kawasan lain pada bulan Mac 2001. Bagaimanapun sayangnya, hajat mereka tersebut tidak kesampaian akibat menemui ajal. Selain itu, ada saksi mendakwa pernah melihat Mikio bertelingkah dengan pemain papan luncur. Saksi lain pula menceritakan insiden pergaduhan antara Mikio dengan kumpulan penunggang motosikal. 

    Hari terakhir keluarga Miyazawa dilihat hidup, Mikio dilihat sedang membeli belah di Stesen Seijogakuenmae yang jaraknya hanya sebatu dari rumah mereka pada pukul 6 petang. Perkara disahkan oleh salah seorang jiran keluarga Miyazawa memandangkan pada jam 6.30 petang hari tersebut, kereta keluarga Miyazawa tidak diparkir di halaman rumah mereka. Pukul 7 petang, Yasuko ada memanggil ibunya. Pada petang itu juga Niina sempat melawat nenek kesayangannya. Dia kemudian bermain komputer hingga jam 9.30 malam untuk menonton rakaman program televisyen kegemarannya.

    Dari jam sekitar 10:38 hingga 10:45 malam, komputer keluarga Miyazawa menerima e-mel yang memerlukan kata laluan untuk dibuka. Waktu inilah diyakini saat-saat terakhir keluarga Miyazawa masih hidup.

    Kejadian pembunuhan keluarga Miyazawa dianggarkan berlaku sekitar jam 11.30 malam. Suspek dipercayai menceroboh rumah mangsa melalui tingkap bilik mandi. Mangsa pertama dibunuh adalah Rei yang dipercayai dicekik di dalam bilik tidurnya sendiri. Mikio yang kebetulan sedang menyiapkan kerjanya di tingkat bawah telah terdengar bunyi bising di tingkat atas. Ekoran berasa curiga, Mikio pun naik ke tingkat atas. Sewaktu menaiki tangga, Mikio dan pembunuh saling bersemuka antara satu sama lain. Jadi, berlaku sedikit pergelutan. Nasib tidak menyebelahi Mikio apabila badannya ditikam oleh suspek dengan pisau. Jasad Mikio yang tidak bernyawa terbaring di atas anak tangga paling bawah. Suspek seterusnya menyerang Yasuko dan Niina yang sedang tidur bersama di loteng rumah. Pada awalnya, cubaan suspek untuk membunuh pasangan anak beranak itu gagal. Suspek yang tidak berpuas hati turun balik ke tingkat dua untuk mengambil pisau di dapur. Seterusnya dia kembali ke loteng dan kemudian bertindak menikam Yasuko dan Niina hingga mati.

    Suspek ada mengalami kecederaan semasa dalam percubaannya untuk membunuh mangsa. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kecederaan yang dialaminya itu terjadi sewaktu dia sedang bergelut dengan Mikio ataupun Yasuko mahupun Niina.


    Ada anehnya dengan suspek itu. Selesai membunuh, suspek tidak melarikan diri sebaliknya tinggal di rumah mangsa selama hampir sepuluh jam lamanya! Lagi pelik, apabila tiada wang ataupun barangan berharga yang hilang di rumah mangsa. Suspek seolah-olah duduk bersantai. Dia membalut lukanya di dapur. Malah, makanan yang disimpan dalam peti sejuk dimakannya. Bagaimanapun tin bir langsung tidak diusik. Suspek juga dikesan ada menggunakan komputer mangsa pada sekitar jam 1 pagi melayari internet selama 5 minit 18 saat. Dia cuba untuk membeli tiket pertunjukan menerusi laman web Shiki Theater Company. Menjelang keesokan paginya, suspek sekali lagi melayari internet dengan durasi masa 4 minit 16 saat. Kali ini, dia cuba mencari maklumat di laman web sekolah Yasuko. Suspek yang gagal dalam percubaannya untuk membeli tiket pertunjukan pada laman Shiki Theater Company telah bertindak untuk menggeledah rumah bagi mencari segala maklumat mangsa. Dia berjaya menemui beberapa dokumen peribadi seperti kad kredit, buku bank, lesen memandu dan dokumen lain-lain. Dokumen itu kemudian disusunnya di ruang tamu. Satu ketika, suspek yang keletihan akhirnya tidur di atas sofa ruang tamu.

    Petunjuk penting sebelum kejadian iaitu bersamaan 25 Disember 2000, Yasuko sempat memberitahu bapa mentuanya tentang kehadiran seorang individu tidak dikenaIi yang kerap memarkir kereta di depan rumah mereka. Dua hari berikutnya, seorang lelaki yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 40an ada berkeliaran di sekitar rumah keluarga Miyazawa. 29 Disember 2000, seorang lelaki dilihat berada di stesen Seijogakuenmae berpakaian sama seperti pakaian yang ditinggalkan di tempat kejadian. Lelaki berkenaan juga menggalas sebuah beg kecil. Sehari selepas itu, seorang lelaki berusia dalam sekitar 30 an berada di stesen Sengawa yang terletak hanya sebatu jauhnya dari rumah Mikio. Penampilan lelaki tersebut menyamai penampilan suspek yang digambarkan oleh pihak berkuasa.

    Sebenarnya pada waktu enam jam selepas penemuan mayat mangsa, seorang lelaki telah dirawat di stesen Tobunikko, iaitu kira-kira 70 batu ke arah utara dari tempat kejadian pembunuhan. Lelaki yang dianggarkan berusia sekitar 30an itu memakai jaket hitam serta berseluar jeans. Dia dirawat ekoran mengalami kecederaan pada tubuh badannya. Lelaki tersebut bagaimana pun langsung tidak mendedahkan butiran nama serta menberitahu punca kecederaan yang dialaminya. Selepas dirawat oleh kakitangan stesen, lelaki tu akhirnya dilepaskan begitu saja. Sekali lagi diingatkan, pihak polis menyangka bahawa suspek telah meninggalkan tempat kejadian sejurus sahaja semua mangsa dibunuh. Hinggalah beberapa bulan kemudian, barulah polis menyedari bahawa suspek sebenarnya masih lagi berada di rumah mangsa selepas kejadian pembunuhan., Namun, semua itu sudah terlambat. Kerja-kerja pemburuan suspek pasti menjadi lebih sukar.


    Kini, sudah hampir dua dekad kes ini berlaku. Pembunuh itu masih lagi bebas. Jika suspek masih hidup sekarang, dia dianggarkan telah pun berusia dalam sekitar 50an. Motif sebenar pembunuhannya kekal meninggalkan seribu satu persoalan.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA MIYAZAWA : Pembunuh Tanpa Wajah"