KISAH SUSAN SMITH : Nafsu Luar Biasa Seorang Wanita
Susan Smith atau nama sebenarnya Susan Leigh Vaughan
dilahirkan pada 26 September 1971 di Union, South Carolina, Amerika Syarikat.
Dia merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik. Ibu bapanya
bercerai sewaktu Susan berusia 7 tahun. Tidak lama selepas penceraian itu, bapa
Susan telah membunuh diri. Ibu Susan iaitu Linda pada kemudiannya telah
mengahwini seorang ahli perniagaan yang bernama Bev Russell. Keadaan tersebut
menyebabkan Susan semakin berasa tertekan dan kecewa. Dia pernah melakukan percubaan
untuk membunuh diri pada usianya 13 tahun.
Apabila usia Susan mencecah 16 tahun, dia mula dicabul oleh
Bev. Susan yang enggan untuk mendiamkan diri telah melaporkan perkara itu
kepada Linda dan Jabatan Kerja Sosial. Maka Bev pun dipindahkan dari rumah
tersebut buat sementara waktu. Pada masa sama, Susan ditegur oleh Linda kerana
mendedahkan perkara sedemikian kepada umum. Jelas sekali Linda lebih risau
tentang maruah keluarga mereka daripada maruah anaknya sendiri. Selepas
beberapa sesi kaunseling dilakukan, Bev dibenarkan untuk kembali pulang ke
rumah mereka. Dia yang tidak pernah berasa serik telah mencabul Susan secara
berterusan.
Pada musim panas 1988, Susan yang bekerja di sebuah kedai
runcit ada menjalinkan hubungan secara seksual dengan tiga orang lelaki. Salah
seorang lelaki tersebut termasuklah Bev sendiri. Dua lagi lelaki itu pula
merupakan suami orang dan rakan sekerjanya. Hinggalah satu masa, Susan yang
mengandungkan anak kepada si suami orang tersebut telah mengalami keguguran.
Selepas lelaki itu mengetahui tentang kandungan berkenaan, dia bertindak untuk
memutuskan hubungannya bersama Susan. Maka Susan yang mengalami kemurungan
selepas itu telah cuba untuk membunuh diri dengan menelan serentak aspirin dan
Tylenol. Namun, mujurlah dia sempat diselamatkan.
Susan mendirikan rumah tangga jua dengan mengahwini rakan
sekolahnya yang bernama David Smith. Pasangan tersebut berkahwin pada bulan Mac
1991 sebaik saja Susan mengandungkan anak pertama mereka. Tujuh bulan kemudian,
lahirlah Michael Daniel Smith. Pada mulanya, kehidupan Susan dan David
sangatlah bahagia. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan hubungan mereka berdua
mula berantakan ekoran mengalami pelbagai masalah terutamanya masalah kewangan.
Sewaktu dalam tempoh krisis bersama David, Susan mengambil peluang itu untuk
kembali bersama dengan bekas teman lelakinya. Bulan November 1992, Susan
mengandungkan anak kedua untuk David. Cumanya pada masa ini, giliran David pula
mengambil kesempatan untuk melakukan skandal dengan rakan sekerjanya. Tahun
1993, Susan dan David membuat keputusan untuk berpisah iaitu tidak lama selepas
kelahiran anak kedua mereka yang diberikan nama sebagai Alexander.
Susan seterusnya mula menjalinkan hubungan dengan Tom
Findlay iaitu lelaki kaya raya yang merupakan anak kepada majikannya. Susan
yang sudah memasang angan untuk berkahwin dengan Tom telah tekad untuk
memfailkan penceraian terhadap David. Angan Susan tersebut bagaimanapun tidak
kesampaian apabila Tom langsung tidak berhasrat untuk meneruskan perhubungan
mereka berdua. Ini berikutan Tom enggan untuk menjalankan tanggungjawabnya
dalam membesarkan anak-anak Susan. Selain itu, Tom juga telah melihat sendiri
aksi Susan bercumbu bersama suami orang di dalam tab mandi pada sebuah majlis
parti. Menerusi surat yang dikirimkannya kepada Susan, Tom memberitahu :
“Jika awak ingin bersama dengan lelaki baik seperti saya
satu hari nanti, awak perlu berubah menjadi seorang wanita yang baik. Wanita
yang baik tidak akan tidur dengan suami orang.”
Kenyataan itu sememangnya sukar untuk diterima Susan. Bukan
sebab surat tersebut, tapi sebaliknya kerana dia begitu obses dengan Tom. Demi
meraih simpati Tom, Susan telah membuat pengakuan tentang dirinya yang masih
dicabul oleh Bev. Apabila cerita berkenaan tidak diendahkan oleh Tom, Susan
memberitahu pula bahawa dia ada menjalinkan hubungan sulit dengan bapa Tom. Tom
yang berasa terkejut perkara tersebut bertindak untuk semakin menjauhkan diri
daripada Susan. Menyedari taktiknya tidak menjadi, Susan menukar cerita dengan
mendakwa bahawa pengakuannya itu adalah sekadar pembohongan semata-mata. Tom
bagaimanapun kekal dengan pendiriannya untuk tidak sesekali terpedaya dengan
Susan.
Hinggalah 25 Oktober 1994, Susan yang sudah berusia 21 tahun
ketika itu membuat laporan tentang kehilangan dua orang anak lelakinya akibat
diculik oleh seorang lelaki berkulit hitam. Susulan dakwaan Susan tersebut, pihak
berkuasa terus menjalankan operasi pencarian namun gagal untuk menemui sebarang
petunjuk. Susan hanya mampu untuk menangis di depan pihak media merayu agar
Michael dan Alexander dikembalikan. Bagaimanapun sembilan hari kemudian, pihak
polis mula meragui Susan sendiri susulan mendapati keterangan yang diberikannya
langsung tidak konsisten. Selepas ditekan oleh polis secara berterusan, Susan
akhirnya membuat pengakuan bahawa cerita tentang penculikan lelaki berkulit
hitam tersebut adalah palsu belaka. Apa yang berlaku sebaliknya adalah dia
telah melemaskan anak-anaknya itu dengan menolak keretanya ke dalam sebuah
tasik. Pihak polis pada kemudiannya menemui mayat mangsa di dalam tasik seperti
yang didakwa oleh Susan. Berdasarkan laporan bedah siasat, Michael dan
Alexander dilemaskan secara hidup-hidup oleh Susan. Motif pembunuhan adalah
disebabkan Susan benar-benar berharap agar Tom kembali ke pangkuannya.
Menerusi perbicaraan kes, Susan yang didapati bersalah atas dua kesalahan membunuh telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup bagi setiap pertuduhan. Dia hanya layak untuk parol pada tahun 2025 nanti iaitu pada usianya 53 tahun. Sewaktu Susan meringkuk di penjara, terdapat dua orang pengawal penjara telah dihukum kerana melakukan hubungan seks dengannya. Perkara itu terbongkar selepas Susan dilaporkan mengidap penyakit kelamin
Catat Ulasan for "KISAH SUSAN SMITH : Nafsu Luar Biasa Seorang Wanita"