Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LAUREN KAVANAUGH : Budak Perempuan di Dalam Almari.

 

    Di dalam almari kecil inilah seorang budak perempuan yang bernama Lauren Kavanaugh telah dikurung oleh ibu kandung dan bapa tirinya sejak dari usia 3 tahun. Bukan saja setakat dikurung, Lauren juga dibiarkan kelaparan, dibelasah, dirogol dan dipukul. Bayangkan, budak kecil malang tersebut dibenarkan untuk keluar dari almari hanya semata-mata untuk didera oleh kedua-dua orang tuanya itu. 

    Ibu bapa Lauren sanggup membawa rakan masing-masing ke rumah untuk melihat anak perempuan mereka itu dirogol. Tatkala dirogol, Lauren dilarang untuk menjerit kerana perkara itu dianggap sangat memalukan. Selepas dirogol, badan Lauren dilemparkan semula ke dalam almari. Lauren yang sememangnya hidup dalam ketakutan tidak berpeluang untuk mengecapi kehidupan normal seperti enam orang adik beradiknya yang lain. Dia sendiri tidak tahu mengapa dirinya diperlakukan kejam sedemikian rupa. Lauren yang masih kecil ketika itu juga pernah diacu dengan pistol oleh bapa tirinya.

    Penderaan Lauren hanya berakhir pada usianya 8 tahun selepas kewujudannya diketahui oleh jiran rumah mereka iaitu Rita Rivers. Rita yang mengetahui perkara itu daripada mulut bapa tiri Lauren sendiri telah bertindak untuk menghubungi pihak polis. 

    Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka telah menemui Lauren dalam keadaan sungguh menyayat hati di mana beratnya ketika itu hanya 11 kilogram iaitu kira-kira bersamaan dengan budak kecil yang berusia 2 tahun. Selepas dibawa ke hospital, Lauren terpaksa menjalani beberapa pembedahan berikutan kecederaan akibat penderaan yang dialaminya. Paling menyedihkan, Lauren dilaporkan tidak tahu menahu langsung tentang objek atau perkara asas dalam kehidupan.

    Sementara itu, ibu dan bapa tiri Lauren iaitu Barbara dan Kenneth Atkinson telah menerima hukuman penjara seumur hidup atas perbuatan kejam mereka tersebut. Barbara ada memberitahu bahawa dia tidak pernah menyayangi Lauren seperti anak-anaknya yang lain.

    Tentang Lauren pula, dia membesar dengan mengalami masalah trauma dan kemurungan berterusan. Lauren terpaksa bergelut mengalami ketagihan alkohol dan dadah selama bertahun-tahun. Bahkan, Lauren pernah membuat percubaan untuk membunuh diri sebanyak lebih daripada 30 kali. Mujurlah dengan bantuan dan rawatan yang diterimanya, sedikit sebanyak masalah yang dihidapi Lauren dapat ditangani. Lauren akhirnya menyambung pelajaran di kolej dalam bidang psikologi. Pada masa sama, dia turut bergiat aktif dalam membantu mangsa penderaan seksual.

    Bagaimanapun pada tahun 2018, Lauren telah didakwa atas kesalahan melakukan penderaan seksual dengan seorang remaja perempuan bawah umur yang dikenali melalui Facebook Page nya sendiri. Lauren kini masih berada di penjara dan bakal berdepan hukuman penjara 20 tahun untuk setiap daripada tiga pertuduhan yang diterimanya jika disabit kesalahan. Semestinya, pengakhiran yang cukup menyedihkan. Artikel ini diakhiri dengan sedutan wawancara Lauren dalam program bual bersama Dr. Phil.

Catat Ulasan for "KISAH LAUREN KAVANAUGH : Budak Perempuan di Dalam Almari. "