KISAH MARY BELL : Psikopat Kejam yang Berusia 11 Tahun
Cuba ingat kembali apa yang anda lakukan sewaktu berusia 11 tahun? Adakah bermain bersama rakan di taman permainan? Mengayuh basikal di jalanan? Paling tidak pun, menghabiskan masa lapang dengan melakukan aktiviti sukan. Lain pula dengan cerita seorang budak perempuan yang bernama Mary Bell. Dari segi luaran fizikalnya, dia dilihat seperti budak normal. Namun apa yang membezakan Mary berbanding budak-budak lain adalah karakternya sebagai pembunuh bersiri muda yang begitu kejam.
Mary Bell atau nama sebenarnya iaitu Mary Flora Bell dilahirkan pada 26 Mei 1957 bertempat di Newcastle upon Tyne, England. Dia merupakan anak kepada seorang perempuan pel**cur yang bernama Betty. Beberapa bulan selepas kelahiran Mary, Betty telah mengahwini Billy yang juga merupakan seorang penjenayah. Berkenaan tentang bapa kandung Mary, identitinya masih lagi kekal tidak diketahui hingga pada hari ini.
Mary meniti zaman kanak-kanaknya dengan penuh gelap. Dia dilahirkan sewaktu Betty baru berusia 16 tahun. Bergelar sebagai ibu pada usia muda ternyata bukan perkara yang mudah untuk Betty. Semasa Mary berusia sekitar 2 ke 3 tahun, dia dilaporkan pernah ditimpa beberapa insiden yang hampir menyebabkannya menemui ajal. Semuanya gara-gara angkara Betty. Ini termasuklah insiden Mary dicekik, dibuang melalui tingkap, dipaksa untuk menelan pil tidur secara berlebihan. Biarpun semua insiden tersebut didakwa sebagai insiden yang kononnya tidak disengajakan, namun apa yang pasti semua itu adalah percubaan Betty untuk membunuh Mary. Mujur sajalah umur Mary panjang. Seperkara lagi, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa Mary telah dilacurkan Betty seawal usianya 4 tahun. Walau bagaimanapun, sejauh mana kebenaran tentang perkara ini adalah tidak dapat disahihkan.
Pada 25 Mei tahun 1968 iaitu bersamaan dengan sehari sebelum ulang tahun Mary yang kesebelas, dia telah pergi bermain dengan seorang rakan perempuan sebayanya bernama Norma Jean Bell. Hari berkenaan, Mary dan Norma ada mengajak seorang budak lelaki berusia 4 tahun iaitu Martin Brown untuk pergi ke sebuah rumah tidak berpenghuni yang terletak berhampiran. Di situ, Mary telah bertindak untuk mencekik Martin sampai mati.
Menyedari Martin yang langsung tidak pulang ke rumah, ibu bapanya terus membuat laporan polis tentang hal itu. Tidak lama selepas laporan tersebut dibuat, mayat Martin akhirnya ditemui. Berdasarkan pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pihak polis, kematian Martin adalah berpunca daripada kemalangan tertentu. Lagipun tiada sebarang unsur keganasan di tempat kejadian. Menerusi satu cerita lain iaitu beberapa hari selepas penemuan mayat Martin, ibunya telah dikejutkan dengan kehadiran Mary di depan pintu rumah. Apabila Mary diberitahu tentang kematian Martin, dia cuma membalas kedatangannya adalah untuk melihat mayat Martin dalam keranda.
Beberapa minggu berikutnya, Mary dan Norma sekali lagi menimbulkan masalah dengan menyelinap masup ke dalam sebuah tadika bertujuan untuk melakukan perbuatan vandalisme. Malah dua sekawan itu turut meninggalkan nota bertulis tentang pembunuhan Martin. Nota tersebut pada kemudiannya hanya disangka oleh pihak polis sebagai satu bentuk gurauan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Nota tulisan Mary
Bulan Julai 1968, Mary telah melakukan pembunuhan keduanya. Kali ini, dia menjadikan seorang budak lelaki berusia 3 tahun yang bernama Brian Howe. Nasib malang untuk Brian apabila dia dibunuh oleh Mary secara kejam. Dadanya telah digores dengan lakaran huruf berbentuk “M” menggunakan gunting. Lagi ngilu untuk didengari, Mary juga memotong zakar Brian. Tidak lama selepas mayat Brian ditemui, pihak polis mendapati kematiannya ada berkait rapat dengan kes Martin. Jadi, mereka mula mengesyaki bahawa kematian Martin dan Brian adalah satu pembunuhan berantai. Melalui bukti yang sedia ada, pihak polis memberi kesimpulan awal bahawa si pelaku berkemungkinan tinggi adalah dalam kalangan budak-budak. Lebih kurang sebulan siasatan, Mary dan Norma berjaya jua ditangkap. Susulan penangkapan mereka, pihak berkuasa telah memerintahkan Mary untuk menjalani ujian psikiatri. Hasil penilaian, Mary bukan seorang budak perempuan yang biasa. Dia adalah psikopat muda yang harus dijauhkan daripada kanak-kanak lain. Berhubung motif pembunuhan Mary terhadap Martin dan Brian, tiada jawapan yang jelas. Hanya Mary sendiri saja yang tahu punca sebenarnya membunuh.
Mary pada akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh pihak juri mahkamah sebelum dia dibebaskan semula pada tahun 1980 iaitu sewaktunya berusia 23 tahun. Empat tahun selepas pembebasannya itu, Mary yang diberikan satu identiti baru telah selamat melahirkan seorang anak perempuan. Pernah seketika tahun 1998, identiti Mary telah terdedah kepada pihak wartawan. Bagi mengelakkan daripada diterjah, Mary dan anaknya bergegas untuk pergi meninggalkan rumah mereka dalam keadaan wajah dua anak beranak tersebut ditutup dengan cadar. Pada perkembangan lain tahun 2009, Mary dilaporkan telah pun bergelar menjadi seorang nenek.
Hingga sekarang, Mary Bell masih lagi hidup dalam perlindungan pihak berkuasa British. Tiada siapa pun yang tahu tempat tinggal sebenarnya. Apa yang diketahui, dia kini dikatakan hidup dalam keadaan gembira bersama anak dan cucunya. Terdapat juga laporan mendakwa bahawa masih ada beberapa gerakan yang berusaha untuk menjejaki lokasi Mary. Sementara itu, ibu kepada Martin Brown pernah memberitahu bahawa orang psiko seperti Mary Bell tidak layak untuk dilindungi.
Done read #neo
BalasPadam