Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH DIANE DOWNS : Ibu dari Neraka


    Pada 19 Mei 1983, seorang wanita bernama Diane Downs bersama tiga orang lagi anaknya yang dalam keadaan berlumuran darah telah tiba di hospital McKenzie-Willamette bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Bagaimanapun semuanya sudah terlambat apabila anak kedua Diane iaitu Cheryl yang berusia 7 tahun disahkan meninggal dunia. Dua orang lagi anak Diane yang bernama Christie (8 tahun) dan Danny (3 tahun) pula telah cedera parah. Sementara itu, Diane sendiri pula mengalami kecederaan pada bahagian lengan kirinya. 

    Berdasarkan keterangan awal daripada Diane, dia mendakwa bahawa mereka semua telah menjadi mangsa serangan tembakan. Kejadian tersebut berlaku apabila Diane memberhentikan kereta yang sedang dipandunya untuk memberi tumpangan kepada seorang lelaki tidak dikenali. Lelaki itu kemudian cuba untuk merampas kereta tetapi dihalang oleh Diane. Namun tanpa diduga, lelaki tersebut kemudian melepaskan das tembakan ke arah tiga orang anak Diane yang berada di tempat duduk belakang. Begitu juga dengan Diane, cumanya tembakan berkenaan terkena pada lengan kirinya. Pada saat-saat genting sedemikian, Diane berjaya jua melepaskan diri lalu terus memecut laju keretanya untuk pergi ke hospital.


   Timbul keraguan oleh pihak polis serta kakitangan hospital dengan keterangan yang diberikan oleh Diane. Perkara ini berikutan Diane yang kelihatan begitu tenang sewaktu menceritakan segala-galanya. Dia tidak menunjukkan sebarang kesan trauma. Tiada reaksi sedih, apatah lagi untuk menangis. Diane juga enggan untuk mengambil tahu tentang keadaan semasa anak-anaknya. Pada masa sama, dia ada menghubungi seseorang. Orang yang Diane hubungi itu bukan bekas suaminya, tetapi sebaliknya seorang lelaki yang bergelar sebagai suami orang.

    Hasil siasatan polis mendapati begitu banyak lompong dalam keterangan Diane. Ini termasuklah bukti forensik di dalam kereta yang didapati bercanggah dengan penceritaan Diane. Seperkara lagi, Diane sempat untuk membalut luka di tangan kirinya sebelum tiba di hospital. Pihak polis juga semakin berasa curiga apabila mereka telah menerima maklumat tentang pistol yang digunakan untuk menembak Christie, Cheryl dan Danny adalah sama dengan pistol milik Diane. Selain itu, seorang saksi lelaki telah tampil bagi membantu siasatan dengan dakwaan dia melihat kereta yang dipandu oleh Diane bergerak begitu perlahan pada malam kejadian. Dakwaan ini adalah berbeza daripada dakwaan asal Diane yang mendakwa keretanya dipandu laju menuju ke hospital. 

    Berhubung dengan motif pembunuhan, persoalan itu terjawab selepas pihak polis berjaya menemui diari Diane di rumahnya. Dalam diari tersebut, Diane ada menulis tentang keobsesannya terhadap seorang lelaki bernama Robert Knickerbocker. Robert merupakan suami orang yang telah dihubungi oleh Diane di hospital pada malam kejadian. Apa yang perlu diketahui, Robert enggan untuk meneruskan hubungan dengan Diane adalah atas satu alasan. Alasannya tidak lain tidak bukan disebabkan anak-anak Diane. Robert tidak mahu menjaga dan membesarkan mereka.

  Seperti yang diberitahu, Cheryl telah mati akibat tembakan tersebut. Christie pula koma dalam keadaan strok manakala Danny pula lumpuh separuh badan. Kemuncak sebenar dalam kes ini adalah apabila Christie tersedar dari komanya. Dia dapat membuka mulut untuk memberitahu bahawa Diane merupakan pembunuh sebenar. Lelaki jahat seperti yang diceritakan oleh Diane adalah tidak wujud sama sekali. Maka Diane akhirnya ditahan pada 28 Februari 1984 iaitu sembilan bulan selepas tempoh kejadian. Dia yang ketika itu hamil anak keempatnya telah didakwa atas kesalahan membunuh, percubaan membunuh dan serangan jenayah terhadap anak-anaknya.


  Pada waktu beberapa bulan sebelum perbicaraannya, kes Diane ini telah mendapat publisiti yang meluas daripada pihak media. Jadi Diane kerap menjadi tumpuan oleh para wartawan. Pada mulanya, cerita yang keluar daripada mulut Diane mengundang simpati orang ramai. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan rasa simpati itu bertukar menjadi rasa menyampah selepas Diane dilihat bersifat narsis, apati dan pelik sewaktu menjawab soalan daripada wartawan.

    Menyingkap secara ringkas tentang sejarah hidup Diane, dia yang dilahirkan pada 7 Ogos 1955 merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik. Pada tahun 1973, Diane telah mengahwini seorang lelaki yang dikenalinya sejak dari bangku persekolahan lagi iaitu Steven Downs. Hasil perkahwinan tersebut, maka lahirlah Christie (1974), Cheryl (1976) dan Daniel atau Danny (1979). Rumah tangga antara Steve dan Diane mampu bertahan selama tujuh tahun apabila mereka berdua akhirnya bercerai pada tahun 1980. Punca penceraian itu dikatakan berpunca daripada dakwaan Steven yang mengesyaki Danny adalah anak hasil hubungan intim Diane bersama lelaki lain. Selepas bercerai, Diane dilaporkan ada menjalinkan hubungan bersama beberapa orang lelaki termasuk suami orang serta pada masa sama cuba untuk kembali bersama Steven.

    Berbalik dengan dakwaan yang dikenakan terhadap Diane, dia yang didiagnos ada mengidap beberapa penyakit mental telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tambahan 50 tahun. Tiga tahun selepas dipenjarakan, Diane berjaya melarikan diri untuk seketika sebelum berjaya ditangkap semula pada seminggu kemudian. Susulan insiden berkenaan, Diane telah dipindahkan ke penjara yang lebih ketat. Rayuan parolnya pada tahun 2008 dan 2010 telah ditolak. Mengenai anak-anak Diane, Christie dan Danny telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang pendakwa raya yang terlibat dengan pendakwaan kes. Seorang lagi anak Diane iaitu Becky yang dilahirkan pada tahun 1984 juga dijaga oleh keluarga angkat yang lain.

1 ulasan for "KISAH DIANE DOWNS : Ibu dari Neraka"