Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH DOKTOR YANG HILANG SEMULA SELEPAS DITEMUI


    Pada tahun 2015, sepasang kekasih telah berjalan kaki untuk mencari cendawan di kawasan hutan Maremma yang terletak di bahagian utara Tuscany, Itali. Sewaktu berada dalam hutan itu, pasangan kekasih berkenaan tiba-tiba menemui beberapa buah botol plastik dan tabung air. Mereka berdua kemudian berjalan mengikut jejak barang tersebut. Apa yang berlaku kemudiannya adalah mereka menemui sebuah khemah yang dihuni oleh seorang lelaki berjambang lebat dalam umur sekitar 40an. Wajahnya pula kelihatan begitu kotor sekali. Dia seolah-olah adalah seorang pertapa di kawasan situ. Disebabkan berasa ketakutan, pasangan kekasih itu bertindak untuk melarikan diri. Namun selepas beberapa jam kemudian, mereka berdua kembali semula ke kawasan khemah tersebut dengan ditemani oleh seorang renjer hutan.

    Kehadiran semula mereka itu ternyata telah disambut oleh lelaki berjambang tadi. Dia berkata,

    “Aku adalah orang Sepanyol, nama aku Carlos dan aku sudah tinggal dekat sini sejak dari tahun 1997. Aku tak suka tinggal bersama orang lain. Memandangkan kamu semua sudah menemui aku, maka aku perlu meninggalkan tempat ini.”

    Sebelum lelaki tersebut beredar pergi, dia sempat untuk menunjukkan pasport sebagai bukti tentang apa yang telah diperkatakannya. 

    Pasangan kekasih dan renjer hutan tersebut kemudian membuat laporan berhubung insiden berkenaan dengan pihak berkuasa di Itali yang seterusnya merujuk kes itu kepada pihak berkuasa Sepanyol. Hasil semakan mendapati lelaki pertapa tersebut adalah individu yang sudah pun diisytiharkan mati pada tahun 2010. Nama sebenarnya adalah Carlos Sanchez Ortiz de Salazar iaitu seorang doktor perubatan yang telah hilang di Sevilla, Sepanyol sejak dari tahun 1998. Pada waktu kehilangan tersebut, Carlos yang berusia 26 tahun dilaporkan mengalami masalah kemurungan. 

    Terdapat beberapa laporan yang memberitahu bahawa Carlos ada kalanya dilihat berada di bandar berdekatan. Tiada siapa pun yang pernah berborak secara serius dengan Carlos memandangkan dia adalah seorang lelaki yang sangat pendiam. Tidak dapat dipastikan juga bagaimana dia boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam hutan itu selama ini.

    Sejurus selepas Carlos ditemui, pihak berkuasa terus cuba untuk menghubungi ibu bapanya. Namun sebaik saja mereka tiba di lokasi penemuan Carlos, dia didapati telah hilang sekali lagi tanpa meninggalkan sebarang jejak. Bagaimanapun, ibu Carlos tetap berasa bersyukur selepas mendapat tahu anak lelakinya itu masih lagi hidup. Dia memberitahu dengan nada yang sebak,

    “Kami hormati niat dan kebebasannya, namun kami tidak akan pernah berehat untuk mencarinya hingga dapat memeluknya walaupun untuk seketika.”

Catat Ulasan for "KISAH DOKTOR YANG HILANG SEMULA SELEPAS DITEMUI"