Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KELUARGA KHACHATURYAN : Tiga Adik Beradik Perempuan Cantik yang Tersakiti


    Pada petang 25 Julai 2018, mayat seorang ketua mafia bernama Mikhail Khachaturyan telah ditemui di kawasan tangga pangsapuri tempat kediamannya sendiri. Berdasarkan puluhan kesan tikaman pada bahagian dada dan lehernya, dia dipercayai mati akibat dibunuh. Pihak polis pada kemudiannya tidak mengambil masa yang lama untuk mengesan suspek. Namun apa yang benar-benar mengejutkan adalah pembunuhan tersebut sebenarnya dilakukan oleh tiga orang anak perempuan Mikhail sendiri iaitu Krestina (19 tahun), Angelina (18 tahun) dan Maria (17 tahun). Tiga orang adik beradik perempuan yang cantik itu dilaporkan bertindak sedemikian kerana telah menjadi mangsa penderaan Mikhail secara emosi dan fizikal sejak perpisahan ibu bapa mereka.


    Sepanjang tempoh Krestina, Angelina dan Maria tinggal bersama Mikhail, mereka bertiga tidak pernah mendapat kasih sayang sebenar. Selain itu, tiga adik beradik tersebut yang dilayan seperti hamba adi telah didera dan dipukul secara berterusan. Hamba yang dimaksudkan bukan setakat sebagai orang gaji, malah menjadi hamba seks untuk memuaskan nafsu Mikhail. Ini termasuklah dicabul secara berterusan. Salah seorang daripada adik-beradik Khachaturyan juga pernah cuba untuk membunuh diri dengan cara menelan pil berlebihan selepas dipaksa untuk melakukan seks oral bersama bapanya. Mujur sajalah dia sempat untuk diselamatkan oleh doktor. Sukar juga untuk adik-beradik Khachaturyan melarikan diri dari rumah kerana pergerakan mereka sentiasa dipantau dengan kamera litar tertutup. Pernah sekali, Mikhail membawa Krestina, Angelina dan Maria ke dalam hutan sebagai tanda ugutan untuk membunuh mereka.

    Mikhail ingin dilayan seperti seorang raja. Dia mempunyai loceng khas untuk memanggil anak-anaknya. Apabila Mikhail menginginkan sesuatu, maka dia akan menekan loceng itu untuk memanggil samada Krestina, Angelina atau Maria. Arahan Mikhail hanyalah untuk perkara yang remeh seperti membawa makanan atau membuka tingkap. Tentang apa yang berlaku terhadap adik-beradik Khachaturyan turut disedari oleh jiran dan guru mereka. Walau bagaimanapun, mereka yang berkenaan enggan untuk masuk campur.

    Mengenai isteri Mikhail iaitu Aurelia Dunduk, dia telah menjadi mangsa penderaan suaminya itu sejak dari awal perkahwinan mereka. Begitu juga dengan nasib anak lelaki sulung Mikhail bersama Aurelia yang bernama Sergei di mana dia turut kerap dibelasah. Hinggalah satu ketika, Aurelia dan Sergei telah dihalau Mikhail untuk keluar dari rumah. Namun mereka berdua tetap berhubung dengan Krestina, Angelina dan Maria secara diam-diam biarpun pada sebelumnya telah dilarang keras oleh Mikhail. Pada masa sama, tiga adik-beradik Khachaturyan tersebut memilih untuk mendiamkan diri tentang penderaan yang mereka alami daripada pengetahuan Aurelia.

    Berbalik pada hari kejadian iaitu pada beberapa jam sebelum kematiannya, Mikhail telah pergi ke sebuah klinik psikiatri. Selepas urusannya selesai, dia pun kembali pulang ke rumah. Apabila mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak, Mikhail pun mula naik angin. Dia terus memanggil anak-anaknya seorang demi seorang untuk masuk ke dalam biliknya. Seperti biasa, Krestina, Angelina dan Maria dimaki oleh dengan kata-kata yang begitu kesat sambil muka mereka bertiga disembur menggunakan penyembur lada. Akibat semburan itu, Krestina yang mengidap penyakit asma telah jatuh pengsan. Berikutan tidak dapat lagi bertahan dengan penderaan sedemikian, adik-beradik Khachaturyan tekad untuk membunuh bapa mereka.

    Apa yang berlaku pada seterusnya adalah Mikhail telah diserang oleh Krestina, Angelina dan Maria dengan tukul, pisau dan penyembur lada. Mikhail cuba untuk melarikan diri dengan berlari keluar dari rumah, namun berjaya dikejar semula sebelum dia mati berdekatan dengan lif. Beberapa minit berikutnya, salah seorang daripada adik beradik Khachaturyan telah menghubungi pihak polis. Krestina, Angelina dan Maria kemudiannya ditahan biarpun mereka bertiga mendakwa pembunuhan tersebut adalah sebagai tindakan untuk mempertahankan diri daripada diserang Mikhail.

    Berita kematian Mikhail ternyata telah mendapat publisiti meluas di negara Rusia. Ada sesetengah pihak bersimpati dengan nasib badik-beradik Khacaturyan yang berkemungkinan memang benar-benar untuk mempertahankan diri mereka. Ada juga yang berpendapat sebaliknya bahawa Krestina, Angelina dan Maria telah membunuh bapa mereka dengan niat jahat yang tertentu. Sebagai contoh dakwaan daripada adik-beradik Mikhail yang mendakwa pembunuhan itu adalah bermotifkan wang. Terdapat juga kritikan terhadap mereka bertiga yang tidak menunjukkan sebarang rasa penyesalan.

    Selepas penangkapan adik-beradik Khachaturyan, aktivis hak manusia di Rusia yang menyokong tindakan mereka menyelar perbuatan Mikhail. Peranan seorang bapa adalah untuk melindungi anak, bukan untuk mendera. Salah satu petisyen yang menuntut pembebasan Krestina, Angelina dan Maria telah berjaya mendapatkan lebih daripada 300 ribu tandatangan. Antara artis terkenal turut lantang mempertahankan adik-beradik Khachaturyan adalah Serj Tankian yang merupakan vokalis kumpulan metal System of a Down.

    Hingga artikel ini disiarkan, perbicaraan serta siaatan terhadap kes yang hangat diperdebatkan ini masih lagi berjalan. Krestina, Angelina dan Maria berdepan dengan dakwaan melakukan pembunuhan terancang yang membawa kepada hukuman penjara. Pihak peguam pembelaan sedang berusaha sebaik yang mungkin untuk membela anak buah mereka. Berkenaan dengan Krestina, Angelina dan Maria, mereka bertiga kini yang dilaporkan tinggal secara berasingan dilarang untuk berhubung sesama sendiri termasuklah dengan pihak media atau mana-mana individu yang mempunyai kaitan dalam kes.

Catat Ulasan for "KISAH KELUARGA KHACHATURYAN : Tiga Adik Beradik Perempuan Cantik yang Tersakiti"