Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH RICHARD RAMIREZ : The Night Stalker

   Richard Ramirez atau nama sebenarnya Ricardo Leyva Muñoz Ramíreze merupakan seorang perogol, perompak dan pembunuh bersiri yang telah melakukan pembunuhan berantai di sekitar kawasan Los Angeles serta San Francisco dari bulan Jun 1984 hingga Ogos 1985. Richard yang juga merupakan seorang pemuja syaitan telah digelar oleh pihak media sebagai "The Night Stalker".

    Richard dilahirkan di El Paso, Texas pada tahun 1960. Bapa Richard iaitu Julian Ramirez yang adalah bekas seorang anggota polis yang berasal dari negara Mexico. Sewaktu Richard masih kecil, dia pernah mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala sebanyak dua kali yang telah menyebabkannya kerap diserang penyakit sawan. Selain itu, Richard juga kerap dimarahi dan dipukul oleh Julian yang mempunyai perangai panas baran.

    Menginjak usia remaja, Richard lebih gemar untuk menghabiskan masa bersama sepupu dewasanya bernama Mike Ramirez iaitu veteran tentera yang pernah bertempur dalam peperangan di Vietnam. Mike  bukanlah seorang sepupu yang menunjukkan teladan baik. Dia telah mengajar Richard untuk menghisap ganja. Malah Mike juga sering berkongsi gambar polaroid mangsa yang pernah dirogol dan dibunuhnya kepada Richard. Ini termasuklah sekeping gambar Mike bersama satu mayat yang tidak berkepala. Hinggalah satu ketika, Mike telah menembak mati isterinya betul-betul di depan mata Richard. Mike yang kemudian didakwa atas pembunuhan itu telah didapati tidak bersalah atas alasan kurang waras. Jadi, dia diperintahkan untuk menjalani rawatan di sebuah hospital mental selama empat tahun. Apa yang pasti, pengaruh Mike telah memberikan perubahan besar kepada hidup Richard. Daripada seorang budak penakut, Richard bertukar menjadi seorang yang gemar untuk melakukan keganasan seksual. 


    Kejahatan Richard mula terserlah selepas dia bekerja di sebuah hotel. Di hotel tersebut, Richard telah menggunakan kunci pendua untuk menyelinap masuk ke dalam bilik para tetamu lalu membawa lari barangan yang berharga. Dia bagaimanapun dibuang kerja selepas ditangkap ketika melakukan cubaan merogol seorang tetamu hotel. Insiden itu telah disedari oleh suami tetamu hotel berkenaan yang kebetulan baru pulang bekerja sebelum dia bertindak untuk membelasah Richard. 

    Pembunuhan pertama sekali oleh Richard dipercayai dilakukannya pada bulan Mei tahun 1984 di San Francisco. Identiti mayat budak perempuan berusia 9 tahun yang ditemui di ruang bawah kawasan sebuah hotel tersebut dikenalpasti sebagai Mei Leung. Mangsa dipercayai telah dipukul, dirogol dan ditikam sebelum mayatnya digantung pada batang paip. Seperkara perlu diketahui, Richard diyakini sebagai suspek hasil pemeriksaan DNA yang ditemui di lokasi kejadian yang didapati sepadan dengannya. Namun tiada bukti lanjut untuk mengukuhkan dakwaan itu. Pada tahun 2016, pihak polis mengesahkan kewujudan suspek kedua. Walau bagaimanapun, identiti suspek kedua tersebut tidak pernah didedahkan.

    Bulan Jun 1984, Richard melakukan pembunuhan berantai terawalnya dengan membunuh seorang wanita tua berusia 79 tahun yang bernama Jennie Vincow. Wanita tua berkenaan telah ditikam berkali-kali sewaktu dia sedang tidur. Lagi dahsyat, lehernya juga hampir putus akibat dikelar secara mendalam oleh Richard. Lebih kurang sembilan bulan kemudian, Richard telah menceroboh masuk ke dalam sebuah rumah sebelum menembak mati dua orang wanita. Kira-kira sejam selepas pembunuhan itu, seorang wanita yang sedang berada dalam kereta turut ditembak oleh Richard. Richard yang tidak pernah puas menyambung semula pembunuhan berantainya pada 10 hari berikutnya. Kali ini dia telah membunuh sepasang suami isteri melalui cara tikaman dan tembakan. Sungguh mengerikan apabila Richard bertindak untuk mencungkil keluar kedua-dua mata wanita si isteri itu dengan pisau. Selain itu, Richard ada melakukan perkara kebiasaan seperti yang dilakukan oleh sesetengah pembunuh bersiri iaitu meninggalkan simbolik pembunuhan. Dalam kes Richard, dia akan meninggalkan simbol pentagram di lokasi kejadian. 


    Mengikut statistik laporan polis dari bulan Mac hingga Ogos 1985, Richard dilaporkan telah memecah masuk sebanyak 14 buah rumah dengan niat melakukan rompakan. Berdasarkan data berkenaan, jumlah mangsa yang dirogol oleh Richard adalah seramai 11 orang, manakala mangsa pembunuhannya pula berjumlah 14 orang. Pada kitaran waktu ini, Richard semakin cuai dalam meninggalkan jejaknya. Pihak polis yang giat melakukan operasi pemburuan Night Stalker telah menerima begitu banyak maklumat daripada beberapa orang mangsa yang terselamat. Pada masa sama, polis juga berjaya menemui cap jari milik Richard di salah sebuah lokasi kejadian.

    30 Ogos 1985, Richard telah menaiki bas menuju ke Arizona bagi tujuan melawatnya abangnya. Dia bagaimanapun kembali semula ke bandar pada hari keesokannya selepas dia gagal untuk berjumpa dengan abangnya. Waktu ini, lakaran wajah Richard sudah pun terpampang di merata tempat. Sudah terlambat untuk Richard melarikan diri. Dia yang berjaya dicam telah dikejar oleh sekumpulan orang awam. Malah, Richard sempat dibelasah teruk sebelum diserahkan kepada pihak polis. 

    Selepas dibicarakan, Richard telah didapati bersalah atas kesalahan membunuh, melakukan seksual, merompak dan cubaan untuk membunuh. Maka Richard akhirnya dijatuhkan hukuman mati dengan cara gas beracun. Dia pernah cuba membuat rayuan kes pada tahun 2006 tetapi ditolak. Tahun 2013, Richard menghembuskan nafas terakhirnya di penjara akibat menderita penyakit kanser. 

    Pada bulan Januari 2021, Netflix telah menyiarkan sebuah dokumentari tentang Richard Ramirez yang berjudul Night Stalker : The Hunt For a Serial Killer. 

"Hail Satan!" Laung Richard di mahkamah sambil menunjukkan simbol pentagram yang terukir di tapak tangannya.

Catat Ulasan for "KISAH RICHARD RAMIREZ : The Night Stalker"