KISAH SABRINA AISENBERG : Bayi yang Lesap Dari Buaian
Pada 24 November tahun 1997 iaitu pukul 6 pagi, seorang wanita bernama Marlene Aisenberg yang tinggal di kawasan perumahan Valrico, Florida telah terjaga daripada tidur. Dia yang kemudiannya pergi ke dapur terus berasa terkejut apabila mendapati pintu masuk ke bahagian garaj rumah mereka berada dalam keadaan terbuka. Melihat keadaan tersebut, Marlene pun bergegas untuk pergi memeriksa anak-anaknya. Suasana bertukar menjadi panik selepas Marlene mendapati anak perempuannya, Sabrina yang berusia 5 bulan telah hilang dari buaian. Tanpa berlengah, Marlene bersama suaminya iaitu Steve bertindak segera dengan menghubungi pihak talian kecemasan.
Biarpun operasi pencarian Sabrina dijalankan secara besar-besaran, pihak polis tetap gagal untuk menemui petunjuk kehilangannya. Pada masa sama, Steve dan Marlene mempercayai bahawa anak bongsu mereka itu telah diculik. Namun berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, mereka mendapati pintu garaj rumah keluarga Aisenberg tidak ditutup sepanjang waktu malam kejadian. Selain itu, tiada juga sebarang unsur jenayah seperti tanda pecah masuk atau pencerobohan. Jadi, pihak polis mula menuding jari ke arah Steve dan Marlene sendiri yang disyaki sebagai dalang utama kejadian. Cumanya seperkara perlu diketahui tentang kes ini adalah tentang penemuan kesan cap jari, tapak kasut dan beberapa helaian rambut perang dalam rumah Sabrina yang gagal untuk dikenal pasti identiti pemiliknya. Menurut laporan daripada salah seorang jiran keluarga Aisenberg, dia mendakwa telah mendengar anjing peliharaannya menyalak pada pukul 1 pagi waktu kejadian. Tidak lama kemudian, jiran tersebut mendengar pula bunyi seorang bayi menangis. Pihak polis juga ada menerima maklumat bahawa kawasan perumahan berkenaan pernah beberapa kali dilanda dengan beberapa insiden cubaan untuk pecah masuk ke dalam rumah yang dihuni oleh keluarga yang mempunyai anak kecil.
Berbalik dengan Steve dan Marlene, kedua-duanya telah menafikan sebarang penglibatan mereka terhadap kehilangan Sabrina. Beberapa barangan di rumah mereka termasuklah buaian Sabrina dirampas oleh pihak berkuasa untuk kerja-kerja pemeriksaan. Di mata pihak polis, ada beberapa lagi perkara yang mencurigakan tentang ibu bapa Sabrina. Antaranya reaksi mereka berdua yang kelihatan tenang semasa merayu kepulangan Sabrina dalam satu sidang media. Malah, terdapat juga satu rakaman video pada sehari selepas kehilangan Sabrina yang menunjukkan pasangan itu tersenyum sewaktu berada di luar rumah mereka. Menerusi video lain, pasukan penyiasat turut berjaya mengesan kesan lebam pada muka Sabrina serta sebahagian rambut belakangnya hilang. Bagi membantu siasatan, Steve dan Marlene telah bersetuju untuk mengambil ujian poligraf. Selepas ujian tersebut dijalankan, Steve lulus dengan jayanya manakala keputusan Marlene pula adalah tidak meyakinkan. Tidak jelas samada Marlene sebenanya lulus atau gagal dalam konteks jawapan“tidak meyakinkan” itu. Apabila Marlene diarahkan untuk menjalani ujian poligraf yang kedua, dia diasak dengan soalan yang lebih agresif. Menyedari situasi mereka berdua yang semakin ditekan oleh pihak polis secara berterusan, maka Steve dan Marlene pun mengupah peguam hebat untuk mempertahankan mereka.
Hinggalah tahun 1999, Steve dan Marlene telah didakwa atas pertuduhan membuat dan melakukan konspirasi berhubung keterangan palsu terhadap pihak berkuasa. Pihak polis sebelumnya pernah membuat pengintipan di rumah Aisenberg dengan memasang alat perakam suara pada tempoh tiga minggu selepas kehilangan Sabrina. Menerusi transkrip rakaman perbualan tersebut, Steve dan Marlene ada berborak tentang pembunuhan Sabrina. Bagaimanapun, pertuduhan itu digugurkan berikutan terdapat ralat pada pita rakaman dan pasukan penyiasat telah didapati berbohong tentang kebenaran yang mereka perolehi untuk melakukan pengintipan di rumah keluarga Aisenberg. Mahkamah juga memerintahkan pihak berkuasa yang berkenaan untuk membayar wang kepada Steve dan Marlene sebanyak $1.5 juta.
Tahun 2003, ada sinar untuk kes Sabrina ini diselesaikan selepas pihak polis menerima maklumat tentang seorang budak perempuan yang hanya dikenali sebagai “Paloma Unknown”. Lima tahun sebelum itu, Paloma yang masih bayi telah dibawa oleh seorang wanita muda merentasi sempadan Mexico untuk dibawa masuk ke Texas. Dia kemudian diserahkan kepada seorang jururawat sebelum diserahkan lagi kepada orang lain. Namun selepas ujian DNA dijalankan, Paloma disahkan bukan Sabrina. Bahkan, identiti sebenar Paloma kini masih lagi kekal menjadi misteri. Pada perkembangan terkini, terdapat dua orang wanita telah tampil ke hadapan untuk membuat pengakuan bahawa mereka adalah Sabrina. Susulan ketiadaan sebarang foto mahupun dokumen bagi membuktikan dakwaan tersebut, maka ujian DNA telah dijalankan terhadap wanita itu. Setakat ini, keputusan untuk ujian DNA tersebut masih lagi belum didedahkan.
Sementara itu, Steve dan Marlene yang telah berpindah ke Maryland sejurus selepas kehilangan Sabrina kini bekerja sebagai ejen hartanah. Hingga sekarang, kedua-duanya tetap menafikan segala dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka sebelum ini. Usaha pencarian Sabrina masih lagi giat dijalankan dengan Steve dan Marlene berpendapat bahawa anak mereka yang merupakan mangsa penculikan tersebut sebenarnya masih lagi hidup dan kini menetap bersama “keluarganya” di tempat tertentu Amerika Syarikat. Sesetengah pihak juga mempercayai bahawa Sabrina telah menjadi mangsa pembunuhan. Samada benar atau sebaliknya dengan dakwaan itu, hanya Steve dan Marlene saja yang tahu.
Catat Ulasan for "KISAH SABRINA AISENBERG : Bayi yang Lesap Dari Buaian"