Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN TARA CALICO : Gadis Polaroid


    Pada 20 September tahun 1988, seorang gadis berusia 19 tahun bernama Tara Calico yang berasal dari Amerika Syarikat dilaporkan hilang secara misteri selepas keluar dari rumahnya dengan menaiki basikal. Sampai sekarang, dia masih lagi gagal untuk ditemui dengan satu-satunya petunjuk yang sedia ada adalah sekeping foto polaroid.

    Kisahnya bermula apabila Tara yang juga merupakan seorang penuntut Universiti New Mexico meninggalkan rumah untuk melakukan rutin kebiasaannya iaitu menunggang basikal. Bezanya pada waktu pagi tersebut adalah Tara memakai basikal merah jambu milik ibunya iaitu Patty Doel memandangkan tayar basikalnya sendiri telah pancit. Sebelum memulakan kayuhan, Tara sempat memberitahu Patty bagi keluar mencarinya jika dia tidak pulang ke rumah menjelang waktu tengah hari. Ini adalah kerana Tara mempunyai temujanji bersama teman lelakinya untuk bermain tenis pada pukul 12.30 tengah hari. 

    Tidak lama selepas itu, ternyata apa yang diperkatakan oleh Tara telah benar-benar terjadi. Dia langsung tidak pulang ke rumah. Patty yang berasa bimbang kemudian keluar untuk pergi mencari Tara di laluan kebiasaan yang dilalui oleh anak gadisnya itu. Selepas gagal untuk menemui Tara, tanpa berlengah Patty terus melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

    Keesokan harinya, pihak polis telah berjaya menemui perakam kaset milik Tara di tepi jalan yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya. Patty percaya bahawa perakam kaset itu sengaja dijatuhkan oleh Tara untuk meninggalkan jejaknya. Selain itu, terdapat laporan saksi yang mendakwa ada sebuah trak berwarna kelabu yang mengekori Tara berbasikal pada waktu kejadian. Sejauh mana kebenarannya dakwaan tentang kewujudan trak tersebut adalah tidak dapat dipastikan. Seperkara lagi, ibu bapa Tara memberitahu bahawa Tara merupakan seorang yang baik serta tidak bermasalah. Jadi, mereka menolak sebarang tanggapan bahawa Tara berkemungkinan telah melarikan diri. Hari demi hari berlalu, tetap tiada sebarang perkhabaran berita tentang Tara.

    Hinggalah pada bulan Jun 1989, sekeping foto polaroid telah ditemui di sebuah lot parkir kedai runcit di Port St. Joe, Florida. Dalam foto berkenaan telah menunjukkan seorang gadis dan seorang budak lelaki di mana tangan kedua-dua mereka dalam keadaan diikat, manakala mulut pula dilekat dengan pita pelekat. Foto terbabit dipercayai diambil selepas bulan Mei 1989 berikutan filem polaroid itu hanya wujud selepas tarikh tersebut. Pihak polis juga diberitahu bahawa sebelum penemuan foto, terdapat sebuah van putih jenis Toyota yang dipandu oleh seorang lelaki bermisai dalam lingkungan 30an telah berada di tempat parkir berkenaan. Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis terus segera melakukan sekatan jalan raya di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti. Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan yang dapat dibuat. 

Gadis dalam foto polaroid ini dipercayai sebagai Tara Calico.

    Menerusi penelitian awal secara terperinci terhadap foto polaroid itu, Patty percaya bahawa gadis dalam foto tersebut adalah Tara berdasarkan parut yang terdapat di bahagian pahanya. Apa yang menguatkan lagi naluri Patty adalah novel karya V.C. Andrews berjudul My Sweet Audrina yang terletak bersebelahan dengan Tara. Menurut Patty, V.C. Andrews merupakan novelis kegemaran Tara. Meskipun identiti Tara dalam foto itu turut diperakui oleh pihak Scotland Yard, perkara ini dibantah oleh pihak Los Alamos National Laboratoy dengan akuan gadis tersebut bukanlah Tara. Pihak berkuasa FBI pula tidak dapat memberi kata putus samada benar identiti gadis dalam foto itu adalah Tara ataupun sebaliknya. Berhubung dengan identiti budak lelaki di sebelah Tara, dia pada mulanya disyaki sebagai Michael Henley (9 tahun) iaitu mangsa yang dilaporkan hilang di New Mexico tahun 1988. Namun persoalan terjawab jua selepas mayat Michael berjaya ditemui di sebuah gunung pada bulan Jun 1990 iaitu kira-kira 7 batu jarak dari tempat kehilangannya. Maka dengan penemuan mayat Michael, identiti budak lelaki dalam foto polaroid tersebut masih kekal tidak diketahui.

    Sebenarnya terdapat dua lagi keping foto yang didakwa sebagai Tara turut ditemui selepas penemuan foto percaya. Foto kedua, imej kabur Tara dengan mulutnya dilekat menggunakan pita pelekat. Foto ketiga, Tara dilihat sedang duduk bersebelahan dengan seorang lelaki di dalam sebuah keretapi. Namun, tiada kesahihan yang boleh dibuat dengan kedua-dua foto itu berbanding dengan foto polaroid yang pertama. 

    Pada tahun 2008, seorang Sherif bernama Rene Rivera tampil dengan dakwaan dia telah mempunyai maklumat tentang apa yang berlaku terhadap Tara. Menurut Rene, Tara telah dilanggar secara tidak sengaja oleh sebuah trak dinaiki oleh dua orang remaja lelaki yang dikenalinya. Susulan kemalangan tersebut, remaja lelaki itu yang tiba-tiba panik menjadi terus bertindak untuk membunuh Tara. Namun harus diingatkan, butiran penjelasan daripada Rene ini adalah tanpa sebarang bukti kukuh. Alasan Rene, dia hanya boleh mengemukakan bukti sekiranya mayat Tara dapat ditemui.

Gambaran wajah terkini Tara yang sudah berusia.

    Hingga pada hari ini, Tara Calico masih lagi hilang. Siasatan kes masih lagi berjalan dengan fakta tiada sebarang pengisytiharan kematiannya yang dibuat. Pada tahun 2013, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan Tara. Bagaimanapun sehingga tahun 2017, tiada sebarang petunjuk baru diperolehi mahupun sebarang penangkapan yang berjaya dibuat. Tahun 2019, pihak FBI menawarkan ganjaran sebanyak $20 000 untuk mereka yang dapat memberikan maklumat tentang Tara hingga kesnya dapat diselesaikan. 

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN TARA CALICO : Gadis Polaroid"