KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA DUPONT DE LIGONNES : Rumah Berdarah
Pada bulan April tahun 2011, negara Perancis dikejutkan dengan penemuan mayat lima orang sekeluarga yang ditemui di bawah ruang patio rumah mereka sendiri. Pada masa sama, ketua keluarga tersebut iaitu Xavier Dupont de Ligonnes yang juga merupakan berketurunan bangsawan telah menghilangkan diri. Disebabkan itu, Xavier dikhuatiri sebagai satu-satunya suspek utama pembunuhan. Hingga pada hari ini, dia masih lagi menjadi buruan pihak berkuasa Perancis. Kes ini terus menjadi bualan orang ramai selepas dokumentari mengenainya telah disiarkan ke dalam episod Netflix’s Unsolved Mysteries yang berjudul House of Terror.
Ceritanya bermula pada tarikh 11 April 2011 apabila salah seorang jiran keluarga Dupont de Ligonnes mula berasa curiga selepas mendapati rumah keluarga tersebut dalam keadaan sunyi sepi. Kelibat mereka semua langsung tidak kelihatan. Dia tahu situasi berkenaan bukanlah satu perkara biasa. Beberapa hari kemudian, si jiran itu pun menghubungi talian kecemasan. Selepas pihak polis melakukan pemeriksaan di rumah tersebut, mereka mendapati tiada sebarang pencerobohan atau mana-mana unsur jenayah. Walau bagaimanapun, keberadaan keluarga Dupont de Ligonnes kekal menjadi tanda tanya.
Tidak lama selepas itu, beberapa orang rakan dan saudara kepada keluarga Dupont de Ligonnes telah menerima surat yang memberitahu bahawa Xavier adalah seorang pengintip untuk negara Amerika Syarikat. Xavier ada tugasan khas untuk dilakukan. Berhubung dengan keluarganya, mereka semua terpaksa menghilangkan diri kerana berlindung di bawah Program Perlindungan Saksi. Timbul rasa keraguan dengan perkara tersebut, maka pihak polis telah melakukan pencarian dan pemeriksaan di rumah keluarga Dupont de Ligonnes secara berulang kali. Usaha itu tidak sia-sia apabila mayat Agnes, Arthur (20 tahun), Thomas (18 tahun), Anne (16 tahun) dan Benoit (13 tahun) akhirnya ditemui ditanam bersama dua ekor lagi anjing peliharaan mereka di halaman belakang rumah. Mereka semua dipercayai telah diberikan ubat dadah terlebih dahulu sebelum masing-masing ditembak dengan senapang pada bahagian kepala. Senapang tersebut adalah milik Xavier yang diwarisi daripada mendiang bapanya.
Memandangkan Xavier gagal untuk dikesan, maka dia diyakini sebagai satu-satunya suspek utama dalam kes ini. Memang tiada sebarang bukti darah untuk mengaitkan sebarang pembabitan Xavier, namun apa yang perlu diketahui adalah rekod yang mendapati dia ada pergi ke tempat latihan menembak pada beberapa bulan sebelum kejadian. Selain itu, Xavier juga ada membeli simen, plastik sampah, penyedok dan beberapa lagi peralatan lain yang menunjukkan dia seolah-olah melakukan persediaan rapi dengan kerja-kerja penanaman. Jika benar sekalipun Xavier melakukan pembunuhan tersebut, apa yang terus menjadi persoalan adalah motif sebenarnya. Terdapat sesetengah pihak yang berpendapat, dia bertindak kejam sedemikian ekoran masalah kewangan yang dialaminya meskipun telah menjalankan beberapa jenis perniagaan. Kegagalan itu dilihat sesuatu yang agak memalukan untuk keturunan bangsawan sepertinya. Seperkara lagi yang perlu diketahui, bapa Xavier sendiri meninggal dunia dalam keadaan tidak berharta. Jadi memang tiada sebarang aset bernilai untuk Xavier warisi.
Berdasarkan siasatan pihak berkuasa, kad kredit milik Xavier dikesan aktif pada beberapa hari selepas waktu pembunuhan. Lokasi terakhirnya dilihat adalah di Roquebrune-sur-Argens yang terletak di selatan Perancis. Dia disyaki telah membunuh diri di sekitar kawasan pergunungan. Namun setelah polis menjalankan operasi pencarian di tempat yang berpotensi, mayat Xavier gagal untuk ditemui. Sukar untuk diperjelaskan, dia hilang tanpa meninggalkan sebarang jejak. Terdapat juga pelbagai teori tentang tempat persembunyian Xavier masa kini. Ada yang berpendapat dia sudah melarikan diri ke negara Croatia atau Itali. Tidak kurang juga ada pihak mendakwa Xavier yang melakukan pembedahan plastik telah pun menetap di negara Amerika Latin atau Scotland dengan menggunakan identiti baru.
Sejak kehilangan Xavier, pihak berkuasa ada menerima begitu banyak maklumat tentangnya. Ini termasuklah nota serta foto yang kononnya dikirim oleh Xavier kepada seorang wartawan Perancis. Bagaimanapun, nota yang bertulis “I am still alive” tersebut tidak dipastikan kesahihan sumbernya. Tahun 2018, pihak berkuasa Perancis telah menyerbu sebuah biara di Roquebrune-sur-Argens susulan menerima maklumat tentang seorang sami yang dilihat menyerupai Xavier. Mengecewakan apabila hakikat sebenarnya sami itu hanyalah pelanduk dua serupa. Setahun kemudian, media dikejutkan dengan berita penangkapan Xavier di Lapangan Terbang Glasgow, Scotland. Malangnya, individu yang ditangkap tersebut didapati bukanlah Xavier.
Hari ini, persoalan samada Xavier adalah pembunuh sebenar atau sebaliknya, hanya dia sendiri dan Tuhan saja yang tahu. Ingat kisah John List iaitu lelaki yang telah berjaya ditangkap semula selepas 18 tahun menyembunyikan diri kerana membunuh lima anggota keluarganya sendiri. Penangkapannya berlaku sejurus selepas episod kisah pembunuhannya disiarkan menerusi rancangan America’s Most Wanted. Jadi, tidak mustahil dengan siaran dokumentari Netflix Unsolved Mysteries : House of Terror (2020), Xavier akan dapat ditemui. Cepat atau lambat, cuma masa yang akan menentukan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA DUPONT DE LIGONNES : Rumah Berdarah"