Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PENCULIKAN JAYME CLOSS : 88 Hari Penculikan Jayme


    Pernah mendengar tentang kisah penculikan seorang gadis bernama Jayme Closs yang berlaku pada tahun 2018? Kisahnya mungkin tidaklah sepopular seperti kes penculikan Cleveland, Jaycee Dugard, Natascha Kampusch atau Elizabeth Smart. Namun apa yang sadis tentang kisah penculikan Jayme yang baru berusia 13 tahun sewaktu kejadian adalah bagaimana kedua ibu bapanya telah dibunuh dengan kejam oleh si penculik. Lagi malang apabila Jayme dikurung selama 88 hari sebelum pada akhirnya dia berjaya melarikan diri.

    Kisah bermula pada 15 Oktober 2018 iaitu waktu tengah malam buta di mana pihak talian kecemasan telah menerima satu panggilan dari sebuah kawasan kediaman yang terletak di Barron, Winconsin, Amerika Syarikat. Semasa panggilan tersebut, pihak operator hanya sempat untuk mendengar bunyi jeritan dan teriakan sebelum talian terputus. Pihak operator cuba untuk menghubungi semula pemanggil namun gagal berikutan hanya mampu mencapai peti pesanan suara. 

James dan Denis

    Setibanya pihak polis tiba di lokasi kejadian, pintu rumah pemanggil didapati berada dalam keadaan pecah seolah-olah telah berlakunya satu pencerobohan. Sebaik memasuki rumah tersebut, pihak polis menemui dua mayat pasangan suami isteri yang dikenali sebagai James Closs (56 tahun) dan Denise Closs (46 tahun). Mayat James telah ditemui berdekatan dengan pintu masuk manakala Denise pula terbaring di dalam bilik mandi. Berdasarkan siasatan awal terhadap mayat mereka berdua mendapati kedua-duanya ditembak secara dekat pada bahagian kepala menggunakan senapang. Selepas pemeriksaan menyeluruh di kawasan rumah itu, anak perempuan kepada James dan Denise iaitu Jayme yang juga merupakan anak tunggal kepada mereka gagal untuk dikesan. Maka pihak polis mengemukakan dua pendapat awal samada dia telah melarikan diri atau telah pun diculik.

    Operasi pencarian Jayme yang digambarkan sebagai seorang gadis periang telah dijalankan secara besar-besaran dengan disertai oleh ratusan anggota sukarelawan. Usaha untuk mengesan Jayme ini termasuklah penggunaan dron dan kuasa tular di media sosial. Meskipun pada kemudiannya pihak polis ada menerima begitu banyak maklumat daripada orang awam, namun tiada satu pun yang dapat membantu siasatan. Kehilangan Jayme terus menjadi tajuk utama akhbar dan televisyen secara berterusan. 

Jayme

    Hinggalah 10 Januari 2019, seorang wanita bekas pekerja kebajikan sosial yang bernama Jeanne Nutter sedang berjalan di jalan raya bersama anjing peliharaannya. Tidak lama kemudian, Jeanne tiba-tiba didekati oleh seorang gadis yang muncul entah dari mana. Gadis berpakaian baju sejuk dan berseluar panjang ketat tersebut telah memperkenalkan dirinya sebagai Jayme. Pada masa sama, Jeanne dapat mengecam gadis tenang serta pendiam yang berada betul-betul di depannya itu adalah mangsa hilang dari tahun 2018. Tanpa berlengah, Jeanne pun bergegas ke rumah jiran yang berdekatan sebelum menghubungi pihak polis. Tidak lama selepas Jayme diselamatkan, identiti penculik yang juga merupakan pembunuh ibu bapanya telah dikenal pasti sebagai Jake Peterson, 21 tahun. 

    Sejurus selepas penangkapannya, Jake membuat pengakuan tentang melakukan pembunuhan terhadap ibu bapa Jayme. Berkenaan dengan kehidupan peribadinya, dia yang dikatakan seorang tidak bermasalah langsung tidak mempunyai rekod jenayah lampau.  Jake juga dilaporkan pernah menyertai latihan tentera laut Amerika Syarikat selama sebulan. Kurang jelas samada dia berhenti atau diberhentikan. Selain itu, Jake juga pernah bekerja di satu tempat kerja dengan James dan Denise, namun hanya untuk sehari. 

Jake Peterson

    Berbalik pada malam kejadian, Jake telah menaiki kereta untuk menuju ke rumah Jayme dengan niat melakukan penculikan. Dia tekad untuk menculik Jayme selepas melihat gadis mentah itu buat kali pertama semasa mereka berdua berada dalam sebuah bas yang sama. Sampai di rumah Jayme, Jake terus menembak James yang pada sebelumnya menyangka dia adalah seorang anggota polis. Mendengar bunyi tembakan tersebut, Denise bergegas membawa Jayme untuk bersembunyi di dalam bilik mandi. Denise sempat menghubungi pihak talian kecemasan sebelum ditembak mati oleh Jake. Jayme yang kemudian diikat telah diletakkan di dalam but kereta, lalu dibawa pergi ke rumah Jake terletak iaitu kira-kira 110 kilometer jauhnya. 

    Tidak banyak sebenarnya maklumat atau butiran terperinci tentang nasib Jayme sepanjang 88 hari menjadi mangsa penculikan Jake. Cumanya apa yang diketahui, Jayme telah dikurung di bawah katil Jake. Jayme dikhuatiri enggan untuk melarikan diri pada mulanya kerana begitu takut dengan Jake. Lagipun, Jake telah meletakkan beg, bakul sampah dan barangan berat di kawasan katil bagi menutup ruang. Jadi, Jake akan dapat mengesan sebarang usaha Jayme untuk melarikan diri jika barang berkenaan bergerak dari kawasan asal. Pernah sekali sewaktu perayaan Krismas bersama keluarganya, Jake telah mengugut untuk membunuh Jayme jika dia keluar dari bawah katil. Samada sahih atau sebaliknya, Jake bagaimanapun tidak pernah memperlakukan Jayme dengan sebarang tindakan seksual. Ini adalah kerana Jake diselubungi dengan rasa bersalah atas pembunuhan yang dilakukannya terhadap ibu bapa Jayme. 

    Hanya pada 10 Januari 2019, barulah Jayme mempunyai keberanian untuk menyelamatkan diri. Tiada sumber jelas bagaimana dia berjaya melakukan perkara itu. Apa yang pasti, Jayme melarikan diri sewaktu ketiadaan Jake di rumah. Berhubung dengan kesalahan Jake, dia yang didapati bersalah dijatuhkan dua hukuman penjara seumur hidup atas dua kesalahan membunuh dan tambahan 40 tahun penjara kerana melakukan penculikan. Jake yang dilaporkan menyesal atas perbuatannya telah disenaraikan sebagai pesalah laku seksual. Sementara itu, Jayme kini tinggal bersama bapa beserta ibu saudaranya.

Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN JAYME CLOSS : 88 Hari Penculikan Jayme"