Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR THE TERMINAL : Lelaki yang Tinggal di Lapangan Terbang Selama 18 Tahun


    Pernahkah anda menonton filem The Terminal lakonan Tom Hanks? Tahukah anda filem itu adalah inspirasi dari kisah sebenar tentang seorang lelaki Iran bernama Mehran Karimi Nasseri yang tinggal di Lapangan Terbang Paris Charles de Gaulle dari tahun 1988 hingga 2006. Bayangkan, 18 tahun lamanya! Semua itu bermula selepas dia kehilangan dokumen perjalanannya.

    Mehran Karimi Nasseri dilahirkan pada tahun 1946 di Anglo-Persian Oil Company, Masjed Soleiman, Iran. Kedua-dua orang tuanya merupakan kakitangan di sebuah hospital swasta di mana bapanya adalah seorang doktor manakala ibunya yang berdarah Scotland pula bertugas sebagai jururawat. Nasseri telah melanjutkan pelajarannya di United Kingdom pada tahun 1973. Dia kembali semula ke Iran pada tiga tahun kemudian bagi menyertai satu gerakan revolusi untuk menjatuhkan raja Iran waktu tersebut iaitu Mohammad Reza Shah. Disebabkan ideologi politiknya itu, maka Nasseri telah diusir keluar dari negara Iran pada tahun 1977. Nasseri seterusnya bernasib baik apabila dia berjaya mendapatkan status sebagai seorang pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Malah Nasseri juga diberikan kebebasan untuk pergi ke semua negara Eropah. Walau bagaimanapun, pada akhirnya Nasseri memilih kota London sebagai tempat dia untuk bermastautin.

    Pada satu hari iaitu sewaktu Nasseri dalam perjalanan dari Perancis menuju ke England, beg bimbiy miliknya yang mengandungi pelbagai dokumen penting tiba-tiba telah hilang. Biarpun sudah mendarat di Lapangan Terbang Heathrow London, Nasseri dilarang oleh pihak imigresen daripada memasuki England. Perkara ini menyebabkan dia terpaksa dihantar semula ke Paris. Apa yang berlaku selepas itu, Nasseri dilepaskan secara bersyarat dengan diberi kebenaran untuk tinggal di lapangan terbang Paris sehinggalah dia berjaya mendapatkan semula semua dokumennya.


    Tahun 1992, seorang peguam bernama Christian Bourget telah membantu Nasseri untuk menyelesaikan kes tersebut. Selepas melalui proses perbicaraan di mahkamah, Nasseri tetap tidak dibenarkan untuk memasuki Perancis tanpa sebarang dokumen serta pada masa sama juga tidak boleh diusir keluar dari Lapangan Terbang Paris. Sepanjang tinggal di Lapangan Terbang Paris, Nasseri memulakan rutin seawal jam 5.30 pagi dengan memberus gigi dan mencukur jambangnya. Selain itu, Nasseri yang mempunyai kerusi serta meja sendiri menerima bekalan makanan hasil pemberian kakitangan di lapangan terbang tersebut. Setiap hari Nasseri akan memerhatikan gelagat manusia dan juga melihat aksi pesawat mendarat. Malah dia juga menghabiskan masa dengan membaca buku sambil beramah mesra dengan orang di sekelilingnya. 

    Apa yang perlu diketahui, meskipun Nasseri tinggal dalam keadaan sedemikian, dia adalah seorang yang sangat menjaga kebersihan. Setiap malam, Nasseri pasti akan mencuci pakaiannya. Bahkan dia juga adalah seorang yang sangat merendah diri. Seperkara lagi, Nasseri tidak pernah mengambil kesempatan terhadap orang lain atas kesusahannya itu. Perkara ini dibuktikan dengan fakta dia enggan untuk menerima wang dan pakaian yang didermakan kepadanya. Nasseri sebenarnya pernah diberikan peluang untuk keluar dari lapangan terbang tersebut secara bersyarat oleh kerajaan Belgium. Dia bagaimanapun menolak peluang itu selepas dikehendaki untuk tinggal di negara Belgium. Nasseri sekali lagi diberikan peluang sama pada tahun 1999 apabila siap diberikan kelonggaran untuk melancong ke seluruh negara eropah. Namun Nasseri terus enggan untuk keluar dari Perancis kerana dia hanya mahu diiktiraf sebagai warga British dalam passport miliknya. 

Wikimedia Commons

    Hinggalah bulan Julai 2006, Nasseri telah dimasukkan ke hospital akibat jatuh sakit. Dia yang dibenarkan untuk keluar dari hospital hanya selepas enam bulan berikutnya kemudian ditempatkan di sebuah hotel yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Paris. Di situ, Nasseri telah dijaga dengan rapi oleh pasukan perubatan. Bulan Mac 2007, dia dipindahkan ke sebuah rumah perlindungan kebajikan di Paris. Kisah Nasseri ini telah mencetuskan inspirasi kepada filem The Terminal lakonan Tom Hanks. Filem itu diterbitkan pada tahun 2004 di mana waktu berkenaan Nasseri masih lagi tinggal di Lapangan Terbang Paris. Menurut laporan tertentu, Nasseri telah dibayar sebanyak $300 000 sebagai tanda hak cipta kisahnya itu difilemkan. Ada khabar angin yang mengatakan wang tersebut digunakan oleh Nasseri untuk memulakan kehidupan baru sebagai seorang warganegara British.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR THE TERMINAL : Lelaki yang Tinggal di Lapangan Terbang Selama 18 Tahun"