KISAH PENCULIKAN ELIZABETH SHOAF : Gadis di dalam Bunker
Pada petang 6 September 2006, seorang gadis remaja berusia 14 bernama Elizabeth Shoaf turun di sebuah tempat perhentian bas seperti kebiasaannya untuk pulang ke rumah. Semasa dalam perjalanan, dia tiba-tiba telah didekati oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis. Peliknya, polis terbabit muncul tanpa ada sebarang kereta polis pun yang diparkir berdekatan. Lagi mengejutkan Elizabeth adalah dia ditahan secara mengejut oleh anggota polis itu adalah atas kesalahan memiliki ganja. Biarpun menafikan tentang perkara tersebut, Elizabeth terpaksa akur jua dengan penahanannya. Hanya selepas dia dibawa masuk ke dalam hutan, barulah Elizabeth menyedari bahawa dirinya telah menjadi mangsa penculikan. Jadi sebagai langkah awal, Elizabeth sempat untuk menanggalkan kasut lalu menjatuhkannya supaya menjadi petunjuk penting terhadap sebarang operasi pencariannya kelak.
Sementara itu, ibu Elizabeth iaitu Madeline yang berada di tempat kerja pada waktu kejadian mula berasa risau selepas diberitahu oleh anak lelakinya bahawa Elizabeth masih lagi tidak pulang ke rumah. Mendengar perkara tersebut, Madeline tanpa berlengah segera untuk mencari Elizabeth. Naluri seorang ibu, Madeline tahu ada sesuatu buruk yang menimpa terhadap anak perempuannya itu. Biarpun pada kemudiannya laporan polis tentang kehilangan Elizabeth telah dibuat, namun sistem amaran Amber Alert tidak dipakai kerana Elizabeth dikhuatiri melarikan diri dari rumah. Operasi pencarian bagaimanapun dijalankan juga oleh keluarga Elizabeth dengan bantuan penduduk setempat, saudara mara, rakan-rakan dan termasuk pihak polis sendiri.
Berbalik dengan keadaan Elizabeth, dia telah dibawa masuk ke dalam sebuah bunker bawah tanah binaan penculik tersebut yang mempunyai katil, tandas dan tempat memasak. Di situlah Elizabeth telah ditelanjangkan sebelum dirogol sebanyak dua hingga lima kali sekali. Sukar untuk Elizabeth melarikan diri memandangkan dia dirantai serta pada masa sama lehernya digantung dengan sejenis alat letupan. Dalam bunker itu, Elizabeth jelas dapat mendengar bunyi tapak kaki dan helikopter yang terlibat dalam operasi pencariannya.
Apa yang perlu diketahui dalam kes ini, Elizabeth dilaporkan begitu tenang sepanjang dalam tempoh penculikannya. Ketenangannya itu adalah bagi memperdayakan penculiknya. Elizabeth menggunakan pendekatan secara psikologi terbalik sebagai kaedah yang paling terbaik untuk dia menyelamatkan diri. Caranya adalah dengan berpura-pura untuk jatuh cinta terhadap si penculik. Mereka berdua bertentangan mata dan saling bercerita antara satu sama lain.Ternyata, taktik Elizabeth tersebut benar-benar berkesan apabila si penculik mula mempercayainya. Tahap kepercayaan itu adalah sampai ke tahap Elizabeth tidak lagi dirantai dan dibenarkan keluar dari bunker untuk beberapa minit. Hari kesepuluh penculikannya, Elizabeth telah meminjam telefon bimbit daripada penculik dengan alasan untuk bermain permainan. Si penculik yang bersetuju kemudiannya tertidur. Jadi, Elizabeth pun menggunakan kesempatan tersebut untuk menghantar teks mesej kepada ibunya.
Selepas hampir berputus asa untuk mencari Elizabeth, Madeline telah dikejutkan dengan satu teks mesej daripada sebuah nombor telefon yang tidak diketahui. Mesej itu bertulis,
"Hey mom, it's Lizzy. I'm in hole down by the road or by Charm Hill. The road where the big trucks go in and out."
Sebaik membaca mesej tersebut, Madeline dengan segera melaporkan tentang perkara itu kepada pihak polis. Pihak polis seterusnya tidak mengambil masa lama untuk mengesan pemilik nombor telefon itu yang dikenalpasti sebagai Vinson Filyaw iaitu bekas buruh binaan berusia 31 tahun. Vinson juga merupakan individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa berkaitan dengan kes tuduhan merogol seorang gadis di bawah umur. Maklumat lain, dia tinggal di sebuah trailer. Namun, Vinson dilaporkan berjaya menghilangkan diri setiap kali pihak polis melakukan serbuan pada trailernya.
Berita tentang Vinson yang mula tersebar di media telah menyebabkannya mula menjadi tidak tentu arah dan ketakutan. Disebabkan berasa bimbang dirinya akan ditangkap, dia pun meminta pendapat daripada Elizabeth tentang bagaimana untuk menangani situasi tersebut. Maka Elizabeth memberi cadangan agar Vinson patut melarikan diri. Tidak lama selepas Vinson meninggalkan bunker itu, Elizabeth terus keluar sebelum menjerit meminta pertolongan. Dia akhirnya berjaya ditemui dan diselamatkan oleh salah seorang anggota pasukan pencarian.
Vinson yang kemudian berjaya ditangkap telah didapati bersalah atas beberapa jenis pertuduhan. Dia menerima hukuman penjara selama 421 tahun tanpa sebarang peluang parol. Sebelum kejadian penculikan, Vinson sudah lama memerhatikan gerak-geri Elizabeth. Bahkan, terdapat beberapa lubang ditemui di kawasan rumahnya yang disyaki untuk dijadikan sebagai bunker.
Kisah Elizabeth ini telah diadaptasi ke dalam filem Lifetime berjudul Girl in the Bunker (2018).
Girl in the Bunker |
Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN ELIZABETH SHOAF : Gadis di dalam Bunker"