Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN JAMES BULGER : Pembunuh Termuda yang Paling Dibenci di Dunia

Rakaman kamera yang menunjukkan James dibawa pergi oleh Robert Thompson dan Jon Venables

    
Pada tarikh 12 Februari 1993, dua orang budak lelaki berusia 10 tahun iaitu Robert Thompson serta Jon Venables telah menculik, menyeksa dan membunuh seorang kanak-kanak lelaki bernama James Bulger yang baru berusia 2 tahun. Diulangi, 2 tahun. Pembunuhan kejam yang ternyata menggemparkan dunia ini telah menjadikan Robert dan Jon sebagai pembunuh paling termuda di Britain. Sukar untuk difikirkan bagaimana hati mereka berdua boleh terdetik melakukan pembunuhan sadis pada umur sedemikian terhadap seorang kanak-kanak yang tidak berdosa. Adakah Robert dan Jon sememangnya dilahirkan dengan jiwa iblis atau ada faktor lain yang menyebabkan mereka cenderung untuk menjadi pembunuh. 

    Kisahnya bermula apabila seorang wanita bernama Denise Fergus pergi ke sebuah pusat membeli belah bersama anak kecilnya, James Bulger. Tanpa disedari, gelagat dua anak beranak itu telah diperhatikan oleh Robert dan Jon yang sedang ponteng sekolah dengan memasang niat untuk menculik James. Pada waktu sebelum itu, Robert dan Jon ada mencuri beberapa barangan di pusat membeli belah tersebut seperti gula-gula, bateri, anak patung dan setin cat biru. Malah mereka berdua juga cuba untuk menculik seorang kanak-kanak. Walau bagaimanapun, niat jahat Robert dan Jon itu terus terbantut selepas perbuatan mereka mendekati kanak-kanak tersebut telah disedari oleh ibunya. 

James Bulger

    James seterusnya dibawa pergi oleh Robert dan Jon sewaktu dia berada di dalam sebuah kedai bersama Denise. Kejadian itu berlaku dengan pantas tanpa disedari oleh Denise. Namun sebaik menyedari kehilangan James, Denise yang panik serta menggelabah terus bergegas membuat laporan kepada pihak pengurusan pusat membeli beli tersebut. Bagaimanapun semuanya sudah terlambat, James gagal dikesan. 

    Sepanjang perjalanan James bersama Robert dan Jon, dia dibelasah dengan teruk oleh dua orang budak itu. Pada masa sama, ada beberapa orang saksi telah melihat James dalam keadaan menangis, menjerit dan terdapat luka di bahagian mukanya. Malangnya, kebanyakan saksi-saksi tersebut hanya diam seribu bahasa biarpun ada antara mereka yang cuba menegur Robert dan Jon. Namun, dua orang budak nakal tersebut berbohong dengan mendakwa bahawa James adalah adik mereka. Alasan lain, mereka berdua kononnya dalam perjalanan membawa James ke balai polis berdekatan. James pasti akan masih hidup jika saksi-saksi tadi melakukan tindakan bantuan dengan segera. 

    Lokasi terakhir James dibawa adalah ke sebuah stesen kereta api. Di situ, dia diseksa dengan begitu kejam. Bayangkanlah, mata James disimbah dengan cat biru yang dicuri oleh Robert dan Jon. Selain itu, dia dibelasah serta dipukul berkali-kali dengan batu bata. Entah apa yang merasuki Robert dan Jon sehingga mereka berdua sanggup untuk menyumbat bateri ke dalam mulut James. Tak cukup dengan itu, kepala James juga dipukul menggunakan besi landasan kereta api seberat 10 kilogram! Secara keseluruhannya, kanak-kanak malang tersebut mengalami 42 kecederaan pada tubuh badannya. Akhir sekali, jasad James yang sudah tidak lagi bernyawa sengaja diletakkan di tengah landasan untuk dilanggar kereta api supaya kematiannya dilihat berpunca daripada kemalangan. Menyedihkan apabila mayat James berjaya ditemui pada dua hari kemudian dalam keadaan badannya terbelah dua. 

    Selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup yang ada di pusat membeli belah serta menerima laporan daripada para saksi, pihak polis tidak mengambil masa lama untuk menangkap Robert dan Jon. Penangkapan tersebut ternyata mengejutkan ramai pihak memandangkan umur mereka yang masih lagi begitu mentah. Sewaktu sesi soal siasat, Robert dan Jon telah saling menyalahkan antara satu sama lain atas kematian James. Berhubung dengan motif pembunuhan, ia masih lagi kekal menjadi persoalan hingga pada hari ini. Namun yang pasti, Robert dan Jon berada dalam keadaan sedar tentang apa yang mereka berdua telah lakukan terhadap James. 


    Mengambil kira bukti forensik yang sedia ada, Robert dan Jon akhirnya  dibicarakan sebagai orang dewasa. Mereka berdua dijatuhkan hukuman untuk menjalani tahanan di sebuah lokasi rahsia selama lapan tahun. Tahun 2001, Robert dan Jon yang sudah berusia 18 tahun ketika itu telah dibebaskan sepenuhnya dengan diberikan perlindungan dan identiti baru. Perkara ini jelas menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ibu bapa James serta mengundang kemarahan orang ramai. Selepas dibebaskan, Robert dilaporkan tidak pernah menimbulkan masalah. Lain pula ceritanya dengan Jon apabila dia pernah dihukum penjara pada tahun 2010 dan 2018 atas kesalahan memiliki gambar pornografi kanak-kanak. Samada benar atau tidak, ada beberapa pihak yang menyimpan dendam dikatakan masih lagi giat  berusaha untuk mencari Robert dan Jon. 


    Bulan Januari tahun 2019, filem pendek berjudul Detaintment yang diadaptasi dari kisah James Bulger telah tercalon dalam senarai Filem Pendek Terbaik di Anugerah Akademi ke-91. Filem yang berkisarkan tentang pembunuhan James itu adalah berdasarkan transkrip keterangan dan rekod  siasatan rasmi oleh polis. Walau bagaimanapun, filem tersebut telah dikecam oleh Denise kerana dibuat tanpa kebenaran daripada pihak keluarganya. Vincent Lambe yang juga merupakan pengarah filem Detaintment kemudian memohon maaf serta bersimpati kepada pihak keluarga James. Enggan melepaskan tangan, Vincent telah menawarkan sumbangan berbentuk kewangan untuk disalurkan ke dalam Tabung Peringatan James Bulger.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN JAMES BULGER : Pembunuh Termuda yang Paling Dibenci di Dunia"