KISAH KEHILANGAN JENNIFER KESSE : Penculik & Pembunuh yang Paling Bernasib Baik?
Jennifer Kesse (lahir tahun 1981) digambarkan sebagai seorang wanita berkerjaya yang begitu ramah dan periang. Dia yang bekerja sebagai pengurus bahagian kewangan di sebuah syarikat telah dilaporkan hilang pada bulan Januari 2006 dan masih belum berjaya ditemui hingga pada hari ini. Samada Jennifer diculik atau dibunuh, apa yang pasti semua itu mungkin akan terus kekal menjadi persoalan.
Kisahnya bermula pada 23 Januari 2006 apabila Jennifer bersama teman lelakinya yang bernama Rob Allen telah kembali pulang selepas pergi bercuti di Virgin Islands. Pagi itu, Jennifer terus bergerak dari rumah Rob untuk menuju ke tempat kerjanya. Kali terakhir Jennifer dilihat adalah pada pukul 6 petang. Malah dia sempat untuk menghubungi keluarga dan rakan-rakannya. Individu terakhir yang mendengar suara Jennifer menerusi panggilan telefon adalah Rob iaitu sekitar pada jam 10.00 malam.
Keesokan hari, Jennifer gagal untuk muncul di tempat kerjanya. Lagipun, hari berkenaan terdapat mesyuarat penting yang perlu dihadiri oleh Jennifer. Situasi bertambah pelik apabila Jennifer langsung tidak dapat untuk dihubungi. Jadi majikan Jennifer memaklumkan perkara tersebut kepada ibu bapanya. Ibu bapa Jennifer yang mula berasa risau kemudian bergegas menuju ke rumah kondo milik anak mereka itu. Berdasarkan pemeriksaan dalam kondominium tersebut, jelas tiada sebarang unsur jenayah. Tanpa berlengah, ibu bapa Jennifer segera membuat laporan polis.
Teori terawal yang boleh difikirkan oleh pasukan penyiasat adalah Jennifer diculik sejurus selepas dia keluar dari rumah untuk pergi bekerja samada semasa dalam perjalanan menuju ke tempat parkir kereta atau ketika baru cuba memasuki kereta.
Kereta milik Jennifer |
Dua hari selepas kehilangan Jennifer, pihak polis telah menerima maklumat daripada seorang individu berhubung dengan sebuah kereta hitam jenis Chevrolet Malibu diparkir di sebuah bangunan apartment yang terletak tidak jauh dari rumahnya sendiri. Hasil siasatan kemudiannya mendapati kereta itu adalah milik Jennifer. Menerusi semakan imej daripada kamera litar tertutup di kawasan tersebut, kereta Jennifer telah dipandu oleh seseorang. Selepas memberhentikan kereta, individu berkenaan keluar dari kereta sebelum beredar dengan berjalan kaki. Individu itu dilabel sebagai orang disyaki paling bernasib baik kerana imej rakaman wajahnya yang kabur sekaligus menyukarkan kerja-kerja pengecaman biarpun dengan bantuan teknologi tinggi daripada pihak FBI serta NASA (National Aeronautics and Space Administration). Jadi memang tidak dapat dipastikan samada individu terbabit adalah seorang lelaki ataupun wanita.
Imej rakaman orang paling disyaki terlibat dalam kehilangan Jennifer |
Seperkara lagi yang perlu diketahui, pihak polis menolak sebarang kemungkinan bahawa kehilangan Jennifer adalah bermotifkan rompakan kerana tiada bukti yang menunjukkan ke arah tersebut. Selain itu, anjing pengesan yang dibawa ke lokasi penemuan kereta telah berpatah balik menuju kawasan kondominium Jennifer. Perkara ini begitu ketara menunjukkan bahawa si pelaku kembali semula ke tempat parkir kediaman Jennifer selepas meninggalkan kereta tersebut.
Terdapat beberapa orang yang disyaki menjadi dalang utama kehilangan Jennifer. Salah seorang daripadanya termasuklah Rob sendiri. Namun selepas siasatan dijalankan, Rob diyakini bukan suspek. Begitu juga dengan buruh binaan yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di kawasan bangunan kondominium biarpun terdapat aduan tentang gangguan serta usikan yang mereka pernah lakukan kepada Jennifer.
Seorang lagi yang dikhuatiri sebagai suspek adalah bekas teman lelaki Jennifer dengan motif cemburu. Walau bagaimanapun, dia sama saja seperti Rob. Tiada apa bukti yang mengaitkannya untuk melakukan sedemikian. Dalam ramai-ramai suspek, paling mencuri perhatian adalah Johnny Campos yang juga merupakan rakan sekerja Jennifer. Dia yang sudah berkahwin dikatakan sudah lama menyimpan perasaan terhadap Jennifer. Malah Johnny dilaporkan lewat pergi ke tempat kerja pada hari kejadian. Alasan kelewatannya adalah susulan berdepan dengan masalah trafik yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Paling mencurigakan apabila ada saksi mendakwa Johnny pernah bertengkar dengan Jennifer kerana telah keluar bersama Rob. Namun semua petunjuk itu tidak cukup bagi menjadikan Johnny sebagai suspek sebenar.
Hingga sekarang, kes Jennifer masih lagi disenaraikan dalam kategori kes berprofil tinggi oleh pihak FBI. Sejak kehilangan Jennifer, pelbagai usaha pencariannya telah dijalankan termasuklah mencari di dalam tasik. Namun semua usaha tersebut gagal membuahkan hasil. Ibu bapa Jessica masih lagi tidak berputus asa mengesan anak kesayangan mereka itu.
Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN JENNIFER KESSE : Penculik & Pembunuh yang Paling Bernasib Baik?"