Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN SHIORI INO : Dihendap Bekas Teman Lelaki Sampai Mati

Gambar sekadar hiasan (Flickr)

    Pada bulan Januari 1999, seorang pelajar wanita universiti bernama Shiori Ino yang berusia 21 tahun mula berkenalan dengan Kazuhito Komatsu, 26 tahun. Sewaktu perkenalan tersebut, Kazuhito melakukan pembohongan dengan membuat dakwaan bahawa dia adalah usahawan muda berusia 23 tahun yang menjalankan beberapa perusahaan bisnes besar seperti hartanah dan jualan kereta. Pada hakikat sebenar, Kazuhito merupakan tauke sebuah rumah urut yang dimiliki bersama adiknya iaitu Takeshi. 

    Selepas beberapa kali keluar bersama, Kazuhito mula menghadiahkan Shiori dengan beberapa barangan mewah seperti tas tangan dan pakaian berjenama. Apa yang perlu diketahui adalah Kazuhito menghadiahkan barangan itu kepada Shiori di khalayak orang ramai. Perkara tersebut ternyata kurang disenangi oleh Shiori memandangkan dia sememangnya tidak pernah meminta apa-apa pun daripada Kazuhito. Walau bagaimanapun, Shiori menerima jua pemberian hadiah itu selepas dipaksa oleh Kazuhito. Seperkara lagi, Shiori dilayan dengan buruk sepanjang perhubungan mereka. Dalam erti kata lain, Kazuhito bukanlah seorang lelaki yang baik. 

Shiori Ino

    Hubungan toksik tersebut tidak bertahan lama setelah Shiori membuat keputusan untuk memutuskan hubungannya dengan Kazuhito. Kazuhito yang enggan menerima kenyataan merayu agar Shiori kembali ke pangkuannya, namun ditolak. Disebabkan berasa sangat marah, Kazuhito telah bertindak untuk mengajak beberapa orang lagi rakannya bagi menghendap dan mengganggu Shiori secara berterusan samada di dalam atau luar rumah. Bukan Shiori saja yang diganggu bahkan semua anggota keluarganya. Selama berbulan-bulan mereka sekeluarga menerima panggilan telefon bernada ugutan daripada Kazuhito. Malah keluarga Shiori juga dimalukan dengan edaran surat dan poster berbaur fitnah yang telah disebarkan oleh Kazuhito dan rakan-rakannya. 

    Tidak tahan diganggu, Shiori pun membuat laporan polis bersama ibu bapanya. Bukan sekali dua Shiroi turun ke balai polis Saitama Prefecture tetapi berkali-kali. Laporan yang dibuat pula bukan sekadar tangan kosong. Ini termasuklah Shiori ada memberikan bukti rakaman suara sewaktu insiden gangguan berlaku. Malangnya bukti itu dianggap oleh pihak polis hanya sekadar bukti remeh. Lagi malang, tiada sebarang siasatan susulan yang dijalankan. Lebih menyakitkan hati Shiori, dia pula yang dipersalahkan kerana telah menerima hadiah daripada Kazuhito. Apa yang jelas, pihak polis yang dilihat sengaja enggan untuk tidak menangani kes ini menjadi punca utama keluarga Shiori terus hidup dalam ketakutan. 

Kazuhito Komatsu

    Selepas Shiori mengembalikan semua hadiah yang diberikan Kazuhito melalui perkhidmatan pos kurier, Kazuhito dan Takeshi telah mengupah seorang pembunuh upahan bernama Yoshifumi Kubota untuk membunuh Shiori. Yoshifumi yang bersetuju kemudian mengajak lagi dua orang kenalannya iaitu Akira Kawakami dan Yoshitaka Ito untuk turut serta melakukan pembunuhan itu. 

    Hinggalah 26 Oktober 1999, Shiori meninggalkan rumahnya untuk pergi ke stesen kereta api dengan menaiki basikal. Tanpa Shiori sedari, dia telah diperhatikan oleh Akira yang kemudian memberitahu Yoshitaka. Yoshitaka seterusnya menaiki kereta bersama dengan Kazuhito untuk menuju ke stesen kereta api. Sampai saja di lokasi, Kazuhito terus bertindak menikam Shiori tepat pada bahagian jantung. Shiori yang cedera parah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

    Selepas kematian Shiori, pihak polis  yang mula menggelabah telah menyiarkan beberapa maklumat palsu. Ini termasuklah kononnya Shiori adalah mata duitan dan juga seorang wanita "escort". 

    Sementara itu, Kazuhito dan suspek lain yang terlibat pula langsung tidak ditangkap. Perkara ini mendorong seorang wartawan bernama Kiyoshi Shimizu yang mengikuti perkembangan kes Shiori telah bertindak untuk menjalankan penyiasatannya tersendiri. Laporan siasatan Kiyoshi yang lengkap dengan maklumat awal hingga akhir kes termasuk foto penghendap Shiori telah disiarkan di dalam sebuah majalah sekaligus membawa kepada penangkapan Takeshi, Yoshifumi, Akira dan Yoshitaka. Kazuhito yang sempat melarikan diri pula ditemui mati di dalam sebuah tasik akibat bunuh diri. Menerusi nota bertulis yang ditinggalkan oleh Kazuhito, dia memang berniat untuk membunuh diri selepas pembunuhan Shiori. 

Ibu bapa Shiori

    Susulan kejayaan Kiyoshi mendedahkan maklumat suspek, pihak polis Saitama telah dikecam dan dikritik oleh ramai pihak. Ketua polis yang terbabit memberi respon dengan memohon maaf kepada keluarga Shiori. Selepas siasatan dalaman dibuat, seramai tiga anggota polis Saitama telah dipecat manakala enam orang lagi dikenakan tindakan disiplin. Pihak polis Saitama turut diperintahkan  untuk membayar sejumlah wang pampasan kepada keluarga Shiori yang pada sebelumnya memfailkan saman. Biarpun keputusan saman tersebut berpihak kepada keluarga Shiori, namun pihak mahkamah menafikan terdapat kecuaian oleh pihak polis dalam menyiasat kes Shiori. Akibat kes ini juga, kerajaan Jepun akhirnya terus meluluskan undang-undang Anti-Stalker Act pada bulan November 2000. 

    Berkenaan dengan pembunuh Shiori, Yoshifumi telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun. Akira dan Yoshitaka pula terpaksa meringkuk di penjara 15 tahun. Takeshi dipenjarakan untuk seumur hidup. Kiyoshi yang dianggap sebagai wira sebenar dalam menegakkan keadilan untuk Shiori telah menerima anugerah berprestij Editors' Choice Magazine Journalism Award dan National Association of Commercial Broadcasters in Japan Reporting Award. Dia menerima anugerah yang sama rentetan kejayaannya membebaskan seorang lelaki teraniaya yang telah dituduh sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan di Ashikaga.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN SHIORI INO : Dihendap Bekas Teman Lelaki Sampai Mati"

  1. nsib baik lah wartawan tu berani bongkar. pihak berkuasa pon tau nk lepas tgn n nak salahkan mangse je. ape punya system la.

    BalasPadam