Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN TIM MCLEAN : Bas Kanibal Nombor 1170

    Pada tengah hari 30 Julai tahun 2008, seorang lelaki muda warga Kanada berusia 22 tahun iaitu Tim McLean yang baru selesai bekerja di sebuah karnival telah menaiki sebuah bas Greyhound bernombor 1170 untuk pulang ke rumahnya. Memandangkan perjalanan bas itu akan memakan masa selama 20 jam untuk tiba ke destinasi, maka Tim pun memilih tempat duduk yang paling belakang sekali demi keselesaannya. 

    Lebih kurang pukul 7.00 petang kemudian, bas tersebut dinaiki pula oleh seorang lelaki berwajah asia tinggi serta bersusuk tubuh tinggi yang berada dalam lingkungan usia 40an. Namanya adalah Vince Weiguang Li. Pada asalnya, Vince yang dilihat begitu gelisah telah duduk di bahagian depan bas. Selepas bas itu singgah untuk berehat, kegelisahan Vince semakin menjadi-jadi serta pada masa sama dia menukar tempat duduk untuk duduk bersebelahan dengan Tim.

Tim McLean

    Tim yang memakai fon telinga sempat untuk menegur ramah dengan Vince sebelum dia tertidur dengan posisi kepalanya bersandar pada cermin tingkap bas. Tidak lama kemudian, Tim tiba-tiba ditikam oleh Vince secara bertubi-tubi dengan pisau besar tepat pada bahagian leher dan dadanya. Percikan darah dan jeritan suara Tim telah menyebabkan situasi panik dalam bas tersebut. Menyedari insiden dahsyat berkenaan, pemandu bas itu terus bergegas untuk memberhentikan kenderaan di tepi jalan. Sebaik bas tersebut diberhentikan, para penumpang yang takut pun bergegas keluar.

    Jangan difikir semua orang hanya berdiri kaku waktu kejadian itu. Pemandu bas bersama dua orang lagi penumpang telah memberanikan diri untuk cuba menyelamatkan Tim. Walau bagaimanapun, hasrat mereka terbantut apabila dikejar oleh Vince yang memegang pisau. Jadi, setakat apa yang boleh dilakukan sebelum kedatangan pihak polis adalah dengan mengunci bas dari luar.

    Biarpun bas telah dikunci, Vince yang kelihatan tenang mula melakukan lagak kanibalnya dengan mengerat telinga, lidah, lengan dan kaki Tim. Biasa melihat bagaimana ayam mentah dipotong? Begitulah keadaannya. Selain itu, mata Tim telah dicungkil keluar. Lebih mengerikan, organ dalaman Tim juga dikeluarkan. Paling jijik adalah apabila Vince telah memakan semua organ itu termasuklah mata serta bahagian jantung Tim. Malah, Vince juga ada menunjukkan kepala Tim yang sudah pun dikeratnya kepada penumpang di luar melalui tingkap. 

    Pada jam sekitar 8.00 malam, pihak polis yang diiringi dengan pasukan SWAT akhirnya tiba di lokasi kejadian. Sementara itu, Vince masih lagi menjamah daging mayat Tim. Tidak terlintas langsung pun dalam fikirannya untuk menyerah diri walaupun sudah puas dipujuk. Riak wajahnya pula begitu bangga. Mereka semua yang menjadi saksi aksi ngeri Vince pada malam tersebut sudah pasti tidak akan melupakan kejadian tersebut buat selama-lamanya.

    Vince bagaimanapun berjaya jua ditangkap selepas dia cuba untuk melarikan diri menerusi cermin tingkap yang telah dipecahkannya. Mayat Tim ditemui oleh pasukan forensik dalam keadaan yang tidak sempurna. Daging pada tubuh badannya hancur. Tiada mata, jantung dan beberapa lagi organ. Telinga dan hidung Tim pula ditemui dalam poket pakaian Vince. Alasan Vince menyimpan telinga serta hidung itu adalah untuk dijadikannya sebagai makanan ringan! 

    Menyingkap tentang sejarah hidup Vince, dia yang dilahirkan pada tahun 1968 merupakan seorang lulusan ijazah dalam bidang komputer dari Institut Teknologi Wuhan, China dan mula bekerja sebagai jurutera komputer dari tahun 1994 hingga 1998. Vince seterusnya berhijrah ke Kanada pada tahun 2001. Enam tahun berikutnya, dia berjaya mendapatkan status sebagai rakyat tetap di Kanada. Bagaimanapun, Vince telah menghadapi kesukaran untuk memperolehi kerja mengikut bidang ijazahnya. Disebabkan itu, dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan dari bekerja dalam pasar raya hinggalah menjadi penghantar surat khabar. Vince turut digambarkan sebagai seorang yang baik dan tidak bermasalah. Namun apa yang perlu diketahui iaitu pada empat minggu sebelum kejadian pembunuhan Tim, Vince telah dipecat dari bekerja di pasar raya akibat berselisih faham dengan pekerja yang lain.

Vince Weiguang Li

    Berhubung dengan perbicaraan kes tahun 2009, Vince telah disahkan mengidap penyakit mental skizofrenia. Menurut laporan pakar psikiatri, Vince melakukan pembunuhan tersebut susulan mendengar suara dari Tuhan yang memberitahu bahawa Tim adalah makhluk asing yang perlu dihapuskannya dengan kadar segera. Berdasarkan laporan itu, Vince didapati tidak bertanggungjawab atas kematian Tim McLean lalu diperintahkan oleh pihak juri untuk menjalani tahanan serta rawatan di sebuah hospital sakit jiwa. Tahun 2017, dia yang dibebaskan sepenuhnya telah diberi kebenaran untuk menukar nama barunya sebagai Will Baker. Hingga pada hari ini, tiada siapa pun yang tahu tentang lokasi sebenar Vince. 

    Sementara itu, penumpang bas Greyhound 1170 pada malam kejadian dilaporkan mengalami trauma ngeri secara berterusan. Ada antara mereka telah didiagnos mengalami PSTD (post-traumatic stress disorder) hingga terpaksa menjalani rawatan terapi dan ada juga yang sanggup berpindah ke tempat lain. Lagi menyedihkan apabila ada antara mereka yang tekad membunuh diri kerana dilanda penyakit kemurungan.

2 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN TIM MCLEAN : Bas Kanibal Nombor 1170"