Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

LIMA KISAH ORANG HILANG YANG DITEMUI SEMULA DALAM KEADAAN HIDUP



5. TANYA KACH

    Tanya Kach atau nama sebenarnya Tanya Nicole Kach dilaporkan hilang pada 10 Februari 1996 iaitu sewaktu dia berusia 15 tahun. Enam bulan sebelum itu, Tanya telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Thomas Hose yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolahnya. Pada mulanya, Tanya dan Thomas hanya sekadar kawan. Namun lama-kelamaan, hubungan mereka berdua menjadi semakin rapat. Satu hari, Tanya telah disuruh oleh Thomas untuk melarikan diri dari rumahnya supaya mereka berdua dapat tinggal hidup bersama. Tanya bersetuju dan perkara inilah yang menjadi penjelasan sebenar punca kehilangannya. 

    Ternyata kehidupan Tanya bersama Thomas tidak seindah seperti yang pernah diimpikannya. Setibanya Tanya di rumah Thomas, dia telah dikurung secara rahsia di dalam sebuah bilik. Tanya yang menjadi mangsa penderaan seksual secara berterusan dilarang sama sekali untuk keluar dari bilik tersebut. Malah dia juga dipaksa untuk membuang air kecil dan besar di dalam baldi yang disediakan. Sementara itu, keluarga Tanya pula kian berputus asa selepas segala usaha untuk mencarinya hanya menemui jalan yang sia-sia. 

    Empat tahun dikurung di dalam bilik tidur, Tanya telah diperkenalkan kepada keluarga Thomas dengan nama barunya iaitu Nikki Allen yang merupakan "teman wanita" Thomas. Pada waktu ini, Tanya diberikan sedikit kelonggaran oleh Thomas di mana dia dibenarkan untuk keluar dari rumah namun dengan peraturan masa yang sangat ketat. 

    Hinggalah tahun 2006, Tanya telah menyedari bahawa sudah tiba masanya untuk dia melarikan diri. Dia berjaya melakukan perkara itu dengan bantuan seorang lelaki  pemilik kedai runcit. Lelaki tersebut terus menghubungi pihak polis sejurus selepas Tanya mendedahkan identiti sebenarnya. Thomas yang kemudiannya dibicarakan menerima hukuman penjara selama 10 hingga 15 tahun. Novel karya Tanya berjudul Memoir of a Milk Carton Kid: The Tanya Nicole Kach Story telah mendapat jualan yang laris. 

4. STEVEN KUBACKI

    Steven Kubacki dilaporkan hilang pada bulan Februari tahun 1978 iaitu sewaktu dia bermain ski di sebuah kawasan salji yang terletak di Michigan, Amerika Syarikat. Berikutan jejak lokasi terakhir Steven dikesan berhampiran dengan sebuah tasik yang dinamakan Lake Michigan, maka dia dikhuatiri telah mati lemas. Biarpun pasukan operasi pencarian berjaya menemui beg galas dan peralatan ski milik Steven, semua itu tidak membantu menjawab persoalan kehilangannya. 

    Namun selepas 15 bulan kemudian, Steven muncul di depan pintu bapanya! Dia mendakwa langsung tidak mengingati tentang apa yang telah berlaku terhadap dirinya. Setakat yang Steven ingat, dia telah terbangun di sebuah kawasan padang rumput yang terletak kira-kira 40 batu dari rumah bapanya. Di sebelahnya ada sebuah   beg berisi peta. Apa yang pasti beg tersebut bukan miliknya. Begitu juga dengan pakaian yang telah dipakai oleh Steven. 

    Sejak kemunculannya semula, Steven bertindak untuk mengunci mulut. Dia tidak pernah berkongsi sebarang cerita dengan sesiapapun. Sepertinya ada sesuatu yang dia sedang cuba sembunyikan. Jadi tiada siapa tahu apa sebenarnya yang telah menimpa Steven. Seperkara yang perlu diketahui, kisah Steven ini begitu popular dalam komuniti pengkaji paranormal kerana Lake Michigan dikatakan mempunyai misterinya yang tersendiri. Terdapat juga sesetengah dakwaan yang dinafikan oleh Steven di mana dia sengaja menghilangkan diri susulan penyakit mental yang dihidapinya. 

3. ANTON PILIPA

    Pada tahun 2017, seorang lelaki warga Kanada yang dilaporkan hilang sejak dari tahun 2012 iaitu Anton Pilipa telah ditemui oleh pihak polis berhampiran di kawasan hutan Amazon, Brazil. Sewaktu penemuannya itu, Anton dilihat dalam keadaan yang sangat tidak terurus dengan berpakaian lusuh serta berkaki ayam. Dia terus ditahan dan kemudian dibawa ke hospital selepas didapati tidak mempunyai pasport dan sebarang dokumen pengenalan diri. 

    Abang kepada Anton, Stefan Pilipa memberitahu bahawa adiknya yang didiagnos mengidap penyakit Skizofrenia telah keluar dari rumah untuk menyelesaikan satu misi pelik iaitu misi menuju ke Perpustakaan Negara Bueno Aires, Argentina dengan berjalan kaki. Setibanya di perpustakaan tersebut, Anton tidak dibenarkan untuk masuk berikutan ketiadaan dokumen pengenalan diri. Dia kemudian menuju ke Brazil lalu tanpa diduga bermulalah kisah pengembaraannya yang menakjubkan itu. 

    Stefan dan keluarganya telah melakukan usaha pencarian Anton selama bertahun-tahun. Ini termasuklah cubaan untuk mendapatkan maklumat daripada pihak polis, hospital, penjara dan rumah mayat. Namun, tiada sebarang petunjuk yang dapat ditemui. Hingga satu ketika, keluarga Anton hampir kian berputus asa. 

    Bayangkanlah, Anton telah merentasi dua buah benua hanya dengan berjalan kaki sejauh 10 460 kilometer bermula dari Kanada, Amerika Syarikat, Mexico, Guatemala, Costa Rica, Panama, Colombia, Venezuela, Argentina dan  akhir sekali Brazil. Sepanjang pengembaraannya, Anton hanya mengutip makanan dalam tong sampah dan memetik buah-buahan hutan untuk terus hidup. Malah dia juga terpaksa berhadapan dengan binatang liar dalam hutan seperti ular, labah-labah beracun dan jaguar. 

    Biarpun kisah Anton kedengaran sebagai salah sebuah kisah pengembaraan terhebat, namun ada pihak yang meragui tentang sejauh mana kebenaran kisah ini. Bila difikir, bagaimana dia boleh terlepas masuk ke semua negara Amerika Latin tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan hidup dalam hutan berbahaya Amazon.


2. CARLINA WHITE

    Pada tahun 1987, seorang bayi perempuan berusia 19 hari iaitu Carlina White telah diculik oleh seorang wanita di sebuah hospital yang terletak di kawasan New York. Kejadian tersebut merupakan kes penculikan bayi pertama yang berlaku di sekitar kawasan berkenaan. 

    Tahun 2005, seorang gadis berusia 17 tahun bernama Netty Nance yang sedang mengandung telah meminta sijil kelahirannya daripada ibunya bagi tujuan berkaitan insurans kesihatan. Selepas Netty menyerahkan sijil lahirnya itu kepada pihak hospital, dia telah dituduh melakukan pemalsuan identiti. 

    Disebabkan berasa tidak puas hati, Netty kemudian bertindak menggertak ibunya iaitu Ann Pettway untuk memberitahu perkara yang sebenar. Pada mulanya, Netty cuma diberitahu bahawa dia telah ditinggalkan sewaktu masih bayi lagi oleh ibu kandungnya yang merupakan seorang penagih dadah. 

    Sehinggalah Netty berusia 23 tahun, dia melakukan usaha pencarian ibu kandungnya sendiri dengan mencari maklumat menerusi pangkalan data National Center for Missing & Exploited Children for help. Pencarian itu dibuat selepas Netty mendapati jawapan Ann Pettway yang sering berdolak-dalih apabila ditanya tentang ibu kandungnya. Usaha Netty tersebut membuahkan hasil apabila dia disahkan sebagai Carlina White. 

    Netty bertemu semula dengan ibu bapa kandungnya hanya selepas 23 tahun. Sementara itu, Ann Pettway yang dibicarakan dihukum penjara selama 12 tahun atas kesalahan melakukan penculikan. Kisah Netty ini telah diadaptasi ke dalam filem Lifetime yang berjudul Abducted: The Carlina White Story (2012).


1. JOHN DARWIN

    Pada tahun 2002, seorang lelaki yang juga merupakan bekas guru dan pegawai penjara telah pergi mengayuh sampan di kawasan lautan yang berhampiran dengan rumahnya. Apa yang berlaku selepas itu adalah dia dilaporkan hilang oleh isterinya. Operasi pencarian John dijalankan secara besar-besaran, namun dia tetap gagal untuk ditemui. Pada kemudiannya, John diisytiharkan oleh pihak berkuasa sebagai sudah mati tanpa sebarang penemuan jasad. Selepas pengumuman kematian John, isterinya ketika itu iaitu Anne Darwin telah menerima wang insurans hayat, pencen dan beberapa lagi jenis tuntutan lain. 

    Lebih kurang lima tahun selepas kejadian, John telah muncul semula sebuah balai polis. Dia mendakwa langsung tidak mempunyai ingatan tentang apa yang sudah berlaku. Walau bagaimanapun, John masih dapat untuk memberikan butiran peribadinya seperti nama penuh dan tarikh lahir. Tanpa John sedari, pihak polis sebenarnya sudah lama meragui tentang kehilangannya. Berdasarkan siasatan mereka sebelum ini mendapati John hidup dalam persembunyian dengan menggunakan identiti baru sebagai John Jones. Selain itu, gambar yang diambil pada tahun 2006 iaitu  John dan Anne sedang bergambar bersama seorang ejen hartanah di Panama juga ada tersebar di internet. 

    John akhirnya membuat pengakuan  sengaja memalsukan kematian adalah bertujuan untuk membayar beban hutang yang ditanggungnya. Dia yang didapati bersalah atas kesalahan melakukan penipuan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun. Begitu juga dengan nasib Anne yang bersubahat apabila dia menerima hukuman sama seperti John. Mereka berdua kini dilaporkan sudah pun bercerai.

Catat Ulasan for "LIMA KISAH ORANG HILANG YANG DITEMUI SEMULA DALAM KEADAAN HIDUP"