TIGA KISAH "CATFISHING" YANG BERAKHIR DENGAN KEMATIAN.
Wikimedia |
Apa itu catfishing?
Catfishing adalah sebuah istilah yang bermaksud seseorang itu mencipta satu identiti baru di media sosial atau mana-mana platform lain internet dengan menggunakan gambar orang lain serta mereka-reka maklumat peribadi palsu. Ada beberapa sebab mengapa sesetengah orang gemar untuk melakukan aktiviti catfishing ini. Ada yang sekadar suka-suka untuk kepentingan diri, ada juga kerana kurang keyakinan dengan penampilan diri dan paling dahsyat adalah bagi melakukan jenayah. Berikut disertakan tiga kisah catfishing yang berakhir dengan kematian.
1. TALHOTBLOND
Pada tahun 2005, seorang bekas anggota tentera marin Amerika Syarikat berusia 47 tahun iaitu Thomas Montgomery mula melayari sebuah laman sembang di internet dengan mencipta identiti lelaki muda sebagai "MarineSniper". Di laman sembang itu, Thomas yang juga sudah berkahwin telah berkenalan dengan seorang gadis muda cantik 18 tahun bernama Jessi yang menggunakan nama samaran sebagai "Talhotblond". Menyedari usia Jessi yang masih muda, maka Thomas melakukan pembohongan dengan mendakwa dirinya turut berusia 18 tahun.
Gambar Thomas bersama isteri dan anak-anaknya |
Lama-kelamaan, hubungan Thomas dan Jessi lebih daripada sekadar berkawan. Mereka berdua yang mula dilamun cinta saling mengutus surat, bertukar hadiah dan menelefon antara satu sama lain. Seperkara perlu diketahui, gambar yang dihantar oleh Thomas kepada Jessi adalah gambarnya sewaktu masih muda.
Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib Thomas apabila aktivitinya di laman sembang tersebut telah diketahui oleh salah seorang daripada anak perempuannya. Apabila isteri Thomas mengetahui perkara berkenaan, dia bertindak untuk menghantar gambar keluarganya kepada Jessi sebagai tanda peringatan keras. Jessi yang dikatakan ketakutan terus bertindak untuk memutuskan hubungan dengan Thomas.
Brian Barret |
Hinggalah satu hari, Thomas yang sudah tidak dapat lagi untuk bersabar telah menembak mati Brian di tempat parkir kerja mereka. Selepas pihak polis mendapat tahu pembunuhan itu adalah bermotifkan cinta tiga segi internet, mereka bergegas ke rumah Jessi kerana berasa khuatir dia akan menjadi mangsa tembakan yang seterusnya.
Setibanya pihak polis di rumah Jessi, kedatangan mereka tersebut telah dilayan oleh seorang wanita pertengahan usia bernama Mary Shieler. Namun apa yang benar-benar mengejutkan adalah pengakuan daripada Mary bahawa dia merupakan Talhotblond atau Jessi yang sebenar. Gambar yang pernah dihantarnya kepada Thomas sebelum ini adalah gambar anak perempuannya sendiri.
Mary Shieler bersama anak perempuannya. |
Berhubung dengan kematian Brian, Thomas yang berjaya ditangkap telah didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun hasil rundingan pertuduhan. Sementara itu, Mary pula tidak didakwa kerana penglibatannya hanyalah setakat melakukan penipuan penyamaran identiti.
2. BILLY PAYNE DAN BILLIE JEAN HAYWORTH
Jenelle Porter adalah seorang wanita berusia 20an yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan. Dia tinggal bersama dengan ibu bapa yang sangat melindunginya iaitu Marvin dan Barbara. Sejak dari kecil lagi, Jenelle menghadapi kesukaran untuk berkawan dengan orang di sekeliling. Disebabkan itu, dia hanya menggunakan media sosial seperti Facebook bagi mencari kawan.
Satu hari, Jenelle mula berkenalan dengan seorang pekerja wanita bernama Tracy di farmasi tempatnya membeli ubat. Lama-kelamaan, hubungan antara Jenelle dan Tracy semakin akrab sebagai kawan. Pada masa sama, Jenelle telah jatuh hati dengan abang Tracy iaitu Billy. Memandangkan Billy sudah pun mempunyai kekasih, maka Tracy memperkenalkan Jenelle kepada sepupunya bernama Jamie yang berstatus bujang.
Jenelle bersama Jamie |
Jamie dan Jenelle akhirnya menjalinkan hubungan percintaan tanpa pengetahuan Marvin serta Barbara. Apa yang berlaku kemudian adalah Jenelle mula menerima komen berbaur kebencian daripada individu tidak dikenali di laman Facebook. Jenelle mendakwa dalang sebenar komen tersebut adalah Billie Jean Hayworth yang juga merupakan kekasih Billy atas bermotifkan rasa cemburu dengan kejelitaan Jenelle. Mereka bergaduh secara berterusan hingga pada akhirnya menyahrakan masing-masing di Facebook. Memburukkan lagi keadaan apabila Jamie telah menyebelahi Jenelle berbanding sepupunya.
Hinggalah pada bulan Januari tahun 2012, Billy dan Billie ditemui mati di rumah mereka dengan kesan tembakan pada bahagian muka. Pihak polis tidak mengambil masa lama untuk mengetahui perkara sebenar apabila Jamie yang turut ditahan bertindak untuk membuka mulut. Kata Jamie, dia ada berhubung dengan seorang ejen CIA bernama Chris yang mendakwa tugasannya adalah untuk melindungi Jenelle sepenuh masa. Selain itu, Jamie juga memberitahu bahawa Billy dan Billie telah mati dibunuh oleh Marvin.
Billy Payne dan Billie Jean Hayworth |
Berdasarkan siasatan awal, Marvin telah mengaku melakukan pembunuhan itu dengan niat untuk melindungi Jenelle daripada dicederakan. Namun selepas siasatan lanjutan dijalankan, pihak polis mendapati Marvin sebenarnya membunuh atas desakan Barbara susulan e-mel daripada Chris yang mendakwa Jenelle semakin berada dalam keadaan berbahaya.
Pihak polis yang berasa curiga dengan status individu bernama Chris itu akhirnya melakukan pemeriksaan alamat IP e-mel pada komputer di rumah Jenelle. Rupa-rupanya, Chris si ejen CIA tersebut adalah Jenelle senditi. Dia merupakan perancang utama dengan memperdayakan ibu bapanya sendiri termasuklah Jamie untuk melakukan konspirasi pembunuhan terhadap Billy dan Billie. Menerusi perbicaraan kes, Marvin bersama Barbara dan Jenelle telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup. Sementara itu, Jamie pula dipenjarakan selama 25 tahun selepas rundingan pertuduhan.
3. PETER CHAPMAN
Peter Chapman mempunyai banyak rekod buruk melakukan jenayah seksual. Pada usianya 19 tahun, dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun atas dua pertuduhan merogol. Selain itu, dia juga pernah mempunyai teman wanita. Walau bagaimanapun, hubungan tersebut tidak berkekalan lama selepas wanita terbabit mengetahui status Peter sebagai pesalah laku seksual.
Tahun 2009, Peter yang sudah berusia 33 tahun ketika itu telah mencipta identiti palsu di laman Facebook dengan nama Peter Cartwright. Dia yang juga seorang penganggur telah menggunakan gambar remaja lelaki kacak kononnya berusia 16 tahun. Taktiknya membuahkan hasil selepas berjaya menambah rakan di Facebook seramai 3000 orang di mana semuanya adalah golongan perempuan yang berusia dari 13 hingga 31 tahun.
Gambar yang digunakan Peter Chapman di laman Facebook |
Malang untuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang bernama Asleigh Hall apabila terpedaya dengan Peter. Dia yang menerima pelawaan daripada Peter bagi keluar bersama telah memberi alasan kepada ibunya untuk pergi bermalam di rumah kawan. Peter kemudian datang menjemput Asleigh dengan melakonkan watak sebagai bapa kepada "Peter Cartwright". Dia berlakon sedemikian susulan beberapa orang perempuan pernah melarikan diri selepas mengetahui wajah sebenarnya.
Ashleigh Hall |
Asleigh seterusnya dibawa oleh Peter ke sebuah kawasan terpencil sebelum diikat lalu dirogol. Peter kemudian bertindak untuk membunuh Asleigh dengan mayatnya dibuang ke dalam parit.
Peter berjaya ditahan beberapa jam kemudian oleh pihak polis dalam satu sekatan selepas keretanya didapati tidak mempunyai rekod insurans. Sejurus selepas penangkapannya itu, Peter telah membuat pengakuan tentang pembunuhan Asleigh sebelum menunjukkan lokasi mayat kepada pihak polis. Pihak juri mahkamah pada akhirnya telah memutuskan Peter yang didapati bersalah untuk dipenjarakan seumur hidup.
Pening baca yang kes billy tu..huhu
BalasPadamSama la 😂
Padamaah pening baca kes billy,
BalasPadamnama semua lebih kurang sama kat kes billy, confuse😂
BalasPadam