Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PAUL BERNARDO DAN KARLA HOMOLKA : Pasangan Psikopat

Paul Bernardo dan Karla Homolka

    Karla Homolka yang dilahirkan pada 4 Mei 1970 di Port Credit, Ontario Kanada merupakan anak sulung daripada tiga orang adik-beradik. Dia yang popular dalam kalangan rakan-rakannya digambarkan sebagai seorang yang cantik lagi bijak. Selepas menamatkan pembelajaran di sekolah menengah, Karla kemudian telah bekerja di sebuah klinik veterinar. Di sebalik perwatakannya yang nampak seperti seorang yang normal, tiada siapa pun samgka Karla mempunyai sisi peribadi gelap dalam hidupnya.

    Pada tahun 1987, Karla yang sudah berusia 17 tahun ketika itu mula menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Paul Bernardo, 23 tahun. Seperkara perlu diketahui, mereka berdua mempunyai fantasi seks liar yang sama iaitu mengamalkan sadomasochism. Secara ringkas, istilah sadomasochism ini membawa maksud seseorang yang menikmati aktiviti seksualnya dengan menyebabkan rasa kesakitan secara mental dan fizikal terhadap seseorang.

    Selepas berasa agak bosan dengan perhubungan mereka, Paul telah bertindak merogol beberapa orang wanita di sekitar kawasan Scarborough selepas dibenarkan oleh Karla untuk berbuat sedemikian. Malah, Karla turut membantu Paul bagi mencari mangsanya. Kebiasaannya, Paul menyasarkan untuk menyerang wanita muda yang baru turun keluar dari bas. Mangsa bukan setakat dirogol, bahkan juga turut dipukul, dimaki dan diugut bunuh oleh Paul.

    Tahun 1990, Paul dan Karla telah bertunang. Namun tiga tahun berikutnya, Paul meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap Karla yang dikatakannya sudah tidak mempunyai dara sejak dari kali pertama menjalinkan hubungan seks. Disebabkan itu, Paul mula menumpukan perhatiannya terhadap adik perempuan Karla iaitu Tammy yang berusia 15 tahun. Karla yang menyedari perkara berkenaan telah bersepakat dengan Paul untuk merogol Tammy sempena hadiah Krismas.

    Jadi pada 23 Disember 1990 iaitu sewaktu majlis parti Krismas di rumah keluarga Homolka, Karla telah memasukkan ubat penenang haiwan yang dicuri dari klinik tempatnya bekerja ke dalam minuman Tammy. Apa yang berlaku kemudian, Paul dan Karla membawa Tammy ke dalam bilik bawah tanah. Di situ, Tammy yang tidak disedarkan diri telah ditekup mulutnya oleh Karla dengan kain celupan larutan Halothane. Paul dan Karla seterusnya merogol Tammy sambil merakam aksi tersebut menggunakan kamera video. Malang tidak berbau apabila Tammy tiba-tiba tertelan muntah sendiri yang mengakibatkannya mati tercekik. Paul dan Karla bagaimanapun sempat untuk menghapuskan segala bahan bukti sebelum bertindak untuk menghubungi pihak ambulans. Susulan ketiadaan kandungan dadah yang dikesan dalam badan Tammy, maka punca kematiannya diyakini berpunca daripada keracunan alkohol.

    Tahun 1991, Karla telah mengumpan seorang gadis remaja bernama Jane untuk datang ke rumahnya. Selepas dipengsankan, Jane diserang secara ganas oleh Paul dan Karla dengan segala aksi dirakam. Walaupun pada waktu kemudiannya Jane telah berjaya menyelamatkan diri, dia gagal untuk mengingati sebarang butiran kejadian. Jadi, Paul dan Karla sekali lagi terlepas.

    Hujung bulan Jun 1991, Paul dan Karla akhirnya melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Pada hari yang sama, satu mayat telah dijumpai di kawasan tasik Lake Gibson. Selepas pemeriksaan dijalankan, mayat itu dikenalpasti sebagai Leslie Mahaffy iaitu gadis remaja berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang pada 15 Jun 1991. Realiti sebenar, dia telah diculik oleh Paul sebelum dirogol dan menjadi mangsa keganasan selama beberapa hari. Setelah dibunuh, mayat Leslie dikerat lalu disimen dan seterusnya dibuang ke dalam tasik.

Leslie Mahaffy dan Kristen French

    Lebih kurang hampir setahun kemudian, Paul dan Karla yang tidak pernah berasa puas telah menjadikan gadis remaja bernama Kristen French sebagai mangsa mereka. Kristen menerima nasib yang sama seperti Leslie apabila dia diseksa secara seksual sebelum dibunuh. Mayat Kristen telah ditemui dalam parit dalam keadaan badan lebam serta bahagian kepalanya dicukur. Susulan penemuan mayat Kristen, pihak polis mendapati pembunuhan Leslie dan Kristen adalah saling berkait. Rentetan daripada perkara tersebut, lakaran wajah Paul telah diedarkan kepada orang ramai.

    Bulan Januari tahun 1993, Karla membuat keputusan untuk berpisah dengan Paul selepas kerap menjadi mangsa amukan suaminya itu. Beberapa bulan berikutnya, Paul telah berjaya dikenalpasti sebagai perogol Scarborough menerusi ujian DNA yang dijalankan. Dia diletakkan di bawah pengawasan pihak polis sebelum ditangkap sepenuhnya pada bulan Februari 1993.

    Selepas penangkapan Paul, Karla mengorak satu langkah ke hadapan dengan mengupah peguam. Dia menerima rundingan pertuduhan untuk memberitahu cerita sebenar bagi mengelakkan dirinya daripada dikenakan hukuman yang berat. Biarpun Karla mendakwa bahawa dia adalah seorang isteri teraniaya yang dipaksa untuk turut serta melakukan pembunuhan, bukti rakaman video yang ditemui oleh pihak polis menunjukkan keadaan sebaliknya di mana dia sememangnya merupakan seorang psikopat. Menerusi keputusan perbicaraan kes, Paul yang didapati bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidup. Sementara itu, Karla cuma dipenjarakan selama 12 tahun.

    Karla yang keluar dari penjara pada tahun 2005 dilaporkan sudah berkahwin lain dan mempunyai seorang anak. Segala pergerakannya dipantau ketat. Dia juga dilarang sama sekali untuk berhubung dengan Paul dan anggota keluarga mangsa pembunuhannya sebelum ini. Samada benar atau tidak, ada pihak yang mendakwa bahawa Karla kini hidup dalam ketakutan kerana dibayangi kejahatannya sendiri.

Catat Ulasan for "KISAH PAUL BERNARDO DAN KARLA HOMOLKA : Pasangan Psikopat"