KISAH MARY VINCENT : "Survival" Seorang Mangsa Rogol
Mary Vincent |
Pada bulan September tahun 1978, seorang gadis remaja berusia 15 tahun yang bernama Mary Vincent telah melarikan diri dari rumahnya bagi menuju ke Los Angeles dengan berjalan kaki (hitchhiking). Waktu tersebut, ibu bapa Mary sebenarnya sedang melalui proses penceraian. Disebabkan itulah Mary membuat keputusan untuk tinggal bersama datuknya di Los Angeles serta pada masa sama mengejar impiannya menjadi seorang penari yang hebat.
Semasa dalam perjalanan di jalan raya besar, Mary tiba-tiba didekati oleh sebuah van biru yang dipandu seorang lelaki tua berusia 51 tahun iaitu Lawrence Singleton. Lawrence yang juga merupakan bekas seorang tentera laut telah menawarkan diri untuk memberi tumpangan kepada Mary. Pelawaan tersebut diterima oleh Mary memandangkan dia ketika itu berada dalam keletihan.
Lawrence Singleton |
Usai memasuki van, Mary dan Lawrence pun mula berbual. Daripada segi pertuturan dan perwatakannya, Lawrence dilihat oleh Mary sebagai seorang lelaki yang sangat baik dan ramah. Sepertinya, tiada apa yang perlu dirisaukan. Hinggalah satu ketika, Mary pun tertidur dalam van tersebut. Namun apabila dia kembali terjaga pada waktu kemudiannya, Mary terus berasa marah apabila menyedari van berkenaan sedang dipandu di lokasi yang tidak sepatutnya. Lawrence yang memberi alasan tersilap jalan pun berpatah balik sebelum dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan untuk membuang air kecil.
Mary yang mengambil langkah berjaga-jaga turut keluar dari van itu. Dia sudah pun bersiap siaga untuk melarikan diri. Namun belum sempat berbuat sedemikian, kepala Mary dipukul oleh Lawrence dengan tukul besi dari arah belakang sewaktu dia cuba mengikat tali kasutnya. Mary seterusnya dimasukkan ke dalam van sebelum diikat pada seluruh tubuh badan. Apa yang berlaku selepas itu adalah mimpi ngeri sebenar untuk Mary apabila Lawrence telah mendera dan merogolnya secara berulang kali tanpa sebarang rasa belas kasihan.
Setelah puas merogol, Lawrence bertindak kejam menetak kedua-dua tangan Mary hingga putus menggunakan kapak. Mary yang tidak sedarkan diri akibat serangan tersebut telah dihumban oleh Lawrence dari sebuah kawasan tebing rendah. Selepas semuanya selesai, Lawrence pun berlalu pergi dengan beranggapan Mary yang ditinggalkannya dalam keadaan cedera parah serta bertelanjang akan mati sendiri.
Ternyata, tanggapan Lawrence itu meleset sama sekali. Biarpun Mary sudah tinggal nyawa-nyawa ikan, dia mampu untuk bangun semula kerana enggan gadis lain akan menjadi mangsa Lawrence yang seterusnya. Berbekalkan semangat daya juang yang ada dalam dirinya, Mary yang kini kudung telah memanjat semula tebing bagi mendapatkan pertolongan. Menakjubkan apabila dia berjaya melakukan perkara tersebut dan seterusnya kembali ke jalan raya. Nasib menyebelahi Mary kerana dia kemudiannya ditemui oleh sepasang kekasih yang kebetulan melalui kawasan situ lalu dibawa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan segera.
Selepas kesan kecederaannya kian beransur pulih, Mary pun menceritakan segala-galanya kepada pihak polis tentang apa yang telah berlaku. Lakaran lengkap wajah Lawrence telah dibuat bagi kerja-kerja pemburuan. Hasilnya, pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk melakukan penangkapan terhadap Lawrence selepas menerima maklumat daripada salah seorang jirannya.
Sementara itu, Mary bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kedua-dua tangan palsunya. Malah dia juga mengalami trauma, kerap bermimpi ngeri dan paling teruk adalah dilanda kemurungan selama bertahun-tahun. Apa yang pasti, impiannya untuk bergelar sebagai seorang penari telah hancur berkecai.
Berhubung dengan perbicaraan kes, Lawrence yang didapati bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya telah dipenjarakan selama 14 tahun. Ia adalah hukuman paling maksimum yang boleh dibuat di bawah sistem perundangan California ketika itu. Cuma lagi mengejutkan adalah apabila Lawrence telah dibebaskan hanya selepas lapan tahun dipenjarakan kerana berkelakuan baik. Pembebasan Lawrence itu ternyata mengundang kemarahan orang ramai hingga ada sesetengah pihak sanggup bertindak melakukan protes. Mary pula hidup dalam ketakutan kerana bimbang Lawrence akan mencarinya semula bagi tujuan membalas dendam.
Tahun 1997, Lawrence telah mengumpan seorang pelacur bernama Roxanne Hayes untuk datang ke rumahnya. Malang menimpa Roxanne apabila dia dibunuh oleh Lawrence dengan cara tikaman pisau secara bertubi-tubi. Insiden pembunuhan tersebut disedari oleh salah seorang jiran Lawrence yang kemudian bertindak untuk menelefon pihak polis. Kali ini Lawrence tidak bernasib baik kerana dia yang didapati bersalah di mahkamah telah menerima hukuman mati. Walau bagaimanapun, Lawrence meninggal dunia di penjara pada tahun 2001 akibat mengidap penyakit kanser.
Berbalik dengan Mary, lama-kelamaan dia sedar bahawa kehidupan mesti diteruskan. Hanya kecekalan dan ketabahan mampu membuatkannya bertahan daripada terus dibayangi oleh kejahatan Lawrence. Mary yang sudah pun berkahwin serta mempunyai dua orang anak kini giat memberikan ceramah motivasi dan menumpukan karier dalam bidang seni lukisan.
Catat Ulasan for "KISAH MARY VINCENT : "Survival" Seorang Mangsa Rogol"