Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN SKYLAR NEESE : Persahabatan Berdarah

Dari kiri : Shelia, Rachel dan Skylar

    Adakah adanya istilah “kawan baik” dalam hidup anda? Jika ada, sejauh manakah anda mengenali mereka? Bagaimana anda menilai erti sebuah persahabatan? Adakah anda benar-benar yakin kawan baik anda itu adalah orang yang boleh dipercayai atau hanya sekadar talam dua muka? Apakah yang anda lakukan jika bergaduh dengan kawan baik sendiri? Sekadar berdiam diri atau bersabar demi meneruskan persahabatan?

    Skylar Neese yang dilahirkan pada tahun 1996 merupakan seorang anak tunggal yang ceria, peramah dan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Dia mula berkawan baik dengan Shelia Eddy sejak dari berusia lapan tahun lagi. Mereka berdua yang begitu akrab kerap meluangkan masa bersama hingga sukar untuk dipisahkan sama sekali. Malah, Shelia juga dianggap oleh ibu bapa Skylar sebagai anak mereka sendiri. 

    Memasuki alam sekolah menengah, Shelia mula berkenalan dengan seorang remaja perempuan sebayanya yang bernama Rachel Shoaf. Perkenalan antara mereka berdua itu telah menjadi permulaan hubungan rapat antara Skylar, Shelia dan Rachel. Di mana ada Skylar, di situlah ada Shelia serta Rachel. Mereka bertiga sering keluar bersama dengan mengambil gambar swafoto dan video yang menunjukkan nilai sebenar persahabatan. Selain itu, Shelia dan Rachel juga mula menampakkan sisi-sisi gelap mereka iaitu menyentuh minuman keras serta dadah. 


    Pada tarikh 6 Julai 2012, ibu bapa Skylar langsung tidak melihat batang hidung Skylar di rumah. Selepas melakukan pemeriksaan di bilik Skylar di mana tingkap berada di dalam keadaan terbuka, mereka beranggapan bahawa Skylar telah menyelinap keluar dari rumah untuk keluar bersama kawan-kawannya. Namun ibu bapa Skylar kemudian mula berasa risau susulan menerima panggilan daripada majikan kerja sambilan Skylar yang memaklumkan ketidakhadiran anak mereka itu di tempat kerja. Tanpa berlengah, ibu bapa Skylar bergegas untuk menghubungi saudara mara terdekat serta kawan-kawannya. Mengecewakan apabila tiada satu pun panggilan tersebut menerima maklum balas yang positif. Pada masa sama, Shelia ada memberitahu bahawa dia dan Rachel telah keluar bersama dengan Skylar pada waktu malam kejadian namun telah menghantarnya pulang semula ke rumah selepas itu. Menerusi penelitian kamera litar tertutup mendapati Skylar ada memasuki sebuah kereta sejurus selepas keluar dari rumahnya. Malangnya, model dan nombor pendaftaran kereta berkenaan sukar untuk dicam memandangkan visual kamera yang begitu kabur.

    Operasi pencarian Skylar telah dijalankan secara besar-besaran. Shelia merupakan salah seorang invididu yang terlibat dalam usaha pencarian tersebut. Malah, Shelia juga telah melakukan beberapa ciapan pada laman Tweeter yang meluahkan rasa kesedihan tentang apa yang telah berlaku terhadap Skylar. Timbul beberapa teori awal berhubung dengan kehilangan Skylar. Antaranya adalah ditimpa kemalangan dan mati akibat insiden yang tidak disengajakan sewaktu berparti. 

Daily Mail

    Bulan demi bulan berlalu, kes kehilangan Skylar menjadi semakin dingin apabila Skylar terus gagal untuk dijumpai. Selepas melakukan siasatan secara berterusan, pihak polis akhirnya berjaya mengenal pasti kereta yang dilihat pada kamera litar tutup waktu malam kejadian adalah milik keluarga Shelia. Berdasarkan pemeriksaan data isyarat telefon juga mendapati bahawa Shelia dan Rachel berada di sebuah lokasi yang bercanggah daripada kenyataan mereka sebelum ini. Rentetan daripada perkara ini, nama Shelia dan Rachel kian menjadi sebutan orang ramai. Tahap kemuncaknya adalah apabila Rachel gagal untuk melepasi ujian poligraf. Dia yang semakin tertekan akhirnya membuat pengakuan bahawa Skylar telah pun mati ditikam. Rachel seterusnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan menunjukkan lokasi mayat Skylar.

    Mengikut kenyataan Rachel, dia dan Shelia bertindak untuk menikam Skylar bertubi-tubi sebanyak lebih daripada 50 kali. Seperkara yang perlu diketahui adalah Shelia dan Rachel sudah pun merancang beberapa bulan sebelumnya untuk membunuh Skylar. Dilaporkan motif pembunuhan itu adalah kerana Shelia dan Rachel semakin membenci Skylar. Mayat Skylar hanya ditutup dengan batu, akar serta dahan pokok memandangkan keadaan tanah di sekeliling yang tidak sesuai untuk kerja-kerja penanaman mayat. Segalanya sudah dirancang rapi oleh Shelia dan Rachel. Daripada persediaan pisau hinggalah bahan peluntur. Malah dua sekawan tersebut sempat untuk menukar pakaian baru sebelum meninggalkan lokasi kejadian.


    Sebenarnya waktu sebelum kehilangan Skylar, hubungannya bersama Shelia dan Rachel telah pun keruh. Apa yang pasti, Skylar yang semakin dipulaukan oleh kawan-kawannya itu turut meluahkan perasan tidak puas hati di Tweeter. Samada benar atau sebaliknya, hubungan Shelia dan Rachel didakwa lebih sekadar daripada berkawan. Nasib mungkin tidak menyebelahi Skylar kerana telah terpedaya dengan pujukan Shelia dan Rachel untuk keluar bersama pada malam kejadian kerana menyangka hubungan mereka akan kembali pulih.

    Berikutan segalanya sudah terbongkar, Shelia telah pergi menyerah diri. Pengakhiran kes menyaksikan Shelia yang didapati bersalah melakukan pembunuhan terhadap Skylar dikenakan hukuman penjara untuk seumur hidup dengan hanya layak untuk diparol selepas 15 tahun. Sementara itu, Rachel pula dipenjarakan selama 30 tahun susulan kerjasama yang telah diberikannya kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan kes. Dia sempat meluahkan rasa kekesalannya kerana telah terlibat dalam pembunuhan kejam tersebut. Lain pula dengan ceritanya Shelia yang langsung tidak menunjukkan perasaan serba salah sedangkan pada hakikat sebenar Skylar adalah kawan baiknya sejak dari kecil lagi.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN SKYLAR NEESE : Persahabatan Berdarah"