Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH THE PAPIN SISTERS : Dua Beradik yang Menggemparkan Perancis


    Pada tahun 1933, negara Perancis dikejutkan dengan berita kematian dua anak beranak yang telah mati dibunuh dengan bunuh kejam di rumah mereka sendiri. Mata mereka bukan setakat dicungkil keluar, malah bahagian punggung serta paha juga dikerat. Cuma apa yang benar-benar mengejutkan adalah kenyataan bahawa pelaku dalam insiden itu merupakan dua orang gadis muda yang berstatus sebagai orang gaji. 

    Emilia (lahir tahun 1901), Christine (lahir tahun 1905), dan Lea (lahir tahun 1911) merupakan anak kepada pasangan Gustave Papin dan Clemence Derre. Namun antara tiga beradik tersebut, Christine dan Lea begitu akrab sekali hingga sukar untuk dipisahkan. Menyedihkan apabila zaman kanak-kanak adik-beradik Papin itu tidaklah seindah seperti kanak-kanak yang lain. Emilia, Christine dan Lea tidak hidup bahagia memandangkan ibu bapa mereka yang sangat bermasalah. Clemence adalah jenis seorang yang lepas tangan manakala Gustave mereka pula kaki mendera. 

  Emilia telah meninggalkan rumahnya untuk menjadi biarawati selepas diperkosa oleh Gustave. Sementara itu, Christine dan Lea pula mengalami tekanan perasaan susulan penceraian ibu bapa mereka. Perkara tersebut berlaku berikutan mereka berdua kerap melihat kekerasan dan pelbagai jenis penganiayaan rumah tangga yang pernah berlaku antara Gustave dan Clemence. Hingga satu tahap, Christine dan Lea terpaksa menjalani rawatan terapi mental untuk memulihkan keadaan mereka. Seperkara yang perlu diketahui, dua adik terbabit lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap. Sesetengah pihak mempercayai bahawa Christine dan Lea sebenarnya lebih banyak berhubung secara telepati. Selepas selesai rawatan mental yang dijalankan terhadap mereka berdua, Christine dan Lea akhirnya bekerja sebagai orang gaji. Enggan untuk berpisah, mereka berdua telah mendapat pekerjaan di rumah majikan yang sama. 


    Jadi pada tahun 1926, Christine dan Lea bekerja di sebuah rumah agam besar yang didiami oleh tiga orang anak beranak iaitu Rene dan Leonie merangkap sebagai pasangan suami isteri serta seorang anak perempuan mereka bernama Genevieve. Christine memikul tugas sebagai tukang masak manakala Lea pula berperanan sebagai pembantu rumah. Di rumah itu, Christine dan Lea telah dikerah untuk bekerja selama 14 jam sehari serta diberikan cuti sekali iaitu hanya setengah hari dalam seminggu. Adakalanya mereka berdua dimarahi dengan begitu teruk sekali oleh Leonie yang berperangai cerewet hanya disebabkan perkara remeh-temeh. Sepanjang hidup Christine dan Lea bekerja di rumah tersebut, mereka berdua didakwa tidak pernah sekali pun berborak dengan Rene yang juga merupakan seorang pesara peguam. Segala arahan Rene adalah melalui isterinya dengan menggunakan nota bertulis.

    Tahun demi tahun berlalu, Christine dan Lea tetap bekerja di rumah Rene dengan penuh kesabaran. Bagaimanapun, kemuncak kisah sebenarnya adalah pada tarikh 2 Februari 1933 di mana Leonie dan Genevieve telah keluar dari rumah untuk pergi membeli belah dan seterusnya akan singgah di rumah abang Leonie. Pada masa sama, samada Christine atau Lea turut keluar untuk pergi ke kedai bagi mengambil seterika yang sudah  siap diperbaiki. Seterika inilah yang kemudiannya menyebabkan fius elektrik rumah Rene terbakar hingga keadaan menjadi gelap gelita. Mula-mulanya, Christine dan Lea merancang untuk membaiki fius tersebut pada keesokan paginya memandangkan ketiadaan keluarga Rene di rumah. Bagaimanapun tanpa diduga, Leonie dan Genevieve telah pulang awal dari jadual masa yang sepatutnya. 

    Menyedari tentang fius elektrik yang sudah terbakar itu, Leonie terus mengamuk. Maka berlakulah pertengkaran antara Leonie bersama Genevieve dengan adik-beradik Papin. Waktu tersebut, tahap kesabaran Christine sudah tidak dapat untuk dibendung lagi. Dia telah mencungkil keluar mata Genevieve dengan tangannya sendiri. Begitu juga dengan Lea yang melakukan perkara sama terhadap Leonie. Tak cukup dengan itu, Christine dan Lea pergi mengambil tukul serta pisau bagi menyelesaikan kerja pembunuhan tersebut. Jasad Leonie dan Genevieve seterusnya dipukul berkali-kali hingga hancur berkecai muka mereka. Paling ngeri, bahagian paha dan punggung dua anak beranak tersebut telah dikerat. 

   Sementara itu, Rene yang pulang selepas waktu kejadian terus berasa curiga sebaik mendapati rumahnya berada dalam keadaan gelap gelita. Tanpa berlengah, dia bergegas melaporkan tentang perkara tersebut kepada pihak polis. Selepas pemeriksaan dijalankan, mereka telah menemui mayat Leonie dan Genevieve dalam keadaan yang begitu sukar untuk digambarkan. Christine dan Lea pula ditemui di dalam bilik mereka yang berkunci. Mereka berdua yang langsung tidak berdolak dalih telah membuat pengakuan tentang pembunuhan itu. 


    Kes adik-beradik Papin ini ternyata mendapat tumpuan orang ramai terutamanya daripada golongan intelektual. Mereka cuba sedaya upaya untuk memahami situasi kes itu dan percaya semuanya berlaku gara-gara layanan buruk yang diterima oleh Christine dan Lea daripada majikan mereka. 

    Rentetan daripada penangkapan Christine dan Lea, mereka berdua yang dipaksa untuk berpisah telah dipenjarakan secara berasingan. Disebabkan perpisahan itu, Christine mengalami kemurungan hingga pernah cuba untuk mencungkil keluar matanya sendiri. Biarpun terdapat laporan yang mengatakan bahawa Christine dan Lea sebenarnya ada menjalinkan hubungan sumbang mahram, namun dakwaan ini tidak dapat untuk dibuktikan. 


    Berhubung dengan perbicaraan kes,  pihak mahkamah akhirnya memutuskan Christine dan Lea bersalah walaupun pada sebelumnya pihak pembelaan berhujah bahawa kedua-dua mereka adalah tidak waras. Christine dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur hidupnya manakala Lea yang didapati bersubahat dipenjarakan selama 10 tahun. Tahun 1937, Christine telah meninggal dunia kerana membiarkan dirinya kebuluran makanan. Lea yang dibebaskan pada tahun 1941 pula memulakan kehidupan baru dengan menggunakan identiti palsu. Terdapat percanggahan rekod tentang tahun kematiannya memandangkan ada sesetengah pihak mendakwa Lea telah meninggal dunia pada tahun 1981 dan ada juga dakwaan mengatakan dia menemui ajal pada tahun 2001.

Catat Ulasan for "KISAH THE PAPIN SISTERS : Dua Beradik yang Menggemparkan Perancis"