Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CHARLES ROGERS : Kepala Manusia dalam Peti Sejuk


    Pada 23 Jun tahun 1965, pihak polis Houston di Texas menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Marvin Martin yang mendakwa ibu dan bapa saudaranya telah gagal untuk dihubungi selama beberapa hari. Bertindak atas maklumat itu, pihak polis bergegas menuju ke lokasi rumah ibu bapa saudara pengadu. 

   Setibanya di lokasi kejadian, pihak polis telah mendapati tiada sebarang respon daripada penghuni rumah tersebut. Walaupun pintu masuk rumah itu terpaksa untuk dipecahkan, kelibat penghuninya tetap tidak kelihatan. Namun, ada makanan terhidang di atas meja makan dapur berserta bau busuk yang datang dari arah peti sejuk. Apabila pintu sejuk tersebut dibuka, terdapat beberapa serpihan daging yang seakan daging khinzir. Keadaan mula menjadi huru-hara selepas laci tempat simpanan sayur peti sejuk itu ditarik keluar. Dalamnya, ada dua kepala manusia yang telah dipenggal. Mangsa sah dikenalpasti sebagai Fred Cristopher Rogers (81 tahun) dan Edwina Rogers (79 tahun).

Fred dan Edwina

    Berdasarkan siasatan awal mendapati pasangan warga emas tersebut mati dibunuh pada tiga hari sebelum mayat mereka ditemui. Edwina dipukul terlebih dahulu sebelum ditembak, manakala Fred pula dihentak dengan tukul sampai mati. Lagi mengerikan, kedua-dua mata Fred dicungkil keluar dan bahagian kemaluannya juga telah dikerat. Mengikut teori, mayat Fred dan Edwina diheret ke dalam bilik mandi utama sejurus selepas kejadian pembunuhan. Di situ, mayat mereka berdua yang berlumuran dengan darah telah dikerat kepada beberapa bahagian. Daging dalam peti sejuk sebelum itu yang disangka sebagai daging khinzir sebenarnya adalah serpihan mayat Fred dan Edwina. Selain itu, beberapa organ dalaman pasangan malang tersebut telah ditemui di dalam pembetung berdekatan. Ini bermaksud pelaku membuang organ-organ mangsa ke dalam lubang tandas. Lokasi kejadian juga   dalam keadaan bersih sekaligus memberi petunjuk bahawa pelaku merupakan bukan calang-calang orang. Cara keratan dan pelupusan mayat menunjukkan si pelaku berkemungkinan besar mempunyai kepakaran dalam bidang anatomi.

Charles Rogers

    Pihak polis kemudian cuba mengesan satu-satunya suspek utama yang disyaki telah melakukan pembunuhan ini iaitu anak Fred dan Edwina sendiri bernama Charles Frederick Rogers, 43 tahun. Dia yang fasih berbahasa tujuh bahasa asing mempunyai ijazah dalam bidang Fizik Nuklear. Berkenaan dengan kariernya, Charles pernah berkhidmat sebagai juruterbang dan anggota risikan pasukan tentera laut Amerika Syarikat. Selepas tamat tempoh perkhidmatan tentera, Charles telah bekerjaya sebagai ahli seismologi untuk syarikat minyak Shell selama sembilan tahun sebelum akhirnya berhenti kerja. Charles juga dilaporkan pernah menyertai agensi Civil Air Patrol di mana dia telah berkenalan dengan David Ferrie iaitu individu yang didakwa terlibat melakukan konspirasi pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy pada tahun 1963.

    Berhubung dengan pembunuhan Fred dan Edwina, maka Charles diyakini sebagai satu-satunya suspek utama dalam kes ini. Operasi pemburuannya telah dijalankan oleh pihak berkuasa secara besar-besaran. Walau bagaimanapun, usaha tersebut tidak membuahkan sebarang hasil. Seperkara perlu diketahui, tidak ramai orang yang tahu tentang kewujudan Charles sebagai anak kepada Fred dan Edwina. Dia dikatakan berkomunikasi dengan ibu bapanya menggunakan nota bertulis. Malah Charles juga keluar dari rumah sebelum waktu subuh dan akan pulang menjelang waktu tengah malam. Apa sebenarnya yang dilakukan oleh Charles kekal menjadi persoalan. Dia tidak pernah berjaya ditemui hingga pada hari ini biarpun diisytiharkan telah meninggal dunia pada tahun 1975. Cuma ada satu persoalan, adakah Charles benar-benar merupakan pembunuh sebenar ibu bapanya? 


    Pada tahun 1992, John R. Craig dan Philip A. Rogers telah menulis sebuah buku tentang Charles yang berjudul The Man on the Grassy Knoll. Dalam buku itu, mereka mengemukakan teori bahawa Charles sebenarnya adalah seorang  ejen CIA dari tahun 1950 hingga 1980an. Dia turut disyaki sebagai salah seorang suspek yang terlibat dalam insiden tembakan Presiden John F. Kennedy dan pernah melakukan penyamaran sebagai Lee Harvey Oswald  di Mexico City. Info ringkas, Lee Harvey Oswald merupakan bekas penembak tepat Kor Marin yang telah menembak mati Presiden John F. Kennedy. Charles dipercayai meninggal dunia di Guatemala akibat sakit tua. Berbalik dengan kematian Fred dan Edwina, Charles terpaksa membunuh mereka berdua selepas rahsianya sebagai ejen CIA kian terbongkar. Harus diingatkan, semua ini adalah sekadar teori yang  dikritik oleh ramai pihak kerana dilihat agak tidak berasas sama sekali.

    Tahun 1997, giliran sepasang suami isteri bernama Hugh Gardanier dan Martha yang juga merupakan penulis untuk buku The Icebox Murders telah menolak teori Charles sebagai ejen CIA. Mereka sebaliknya mendakwa Charles adalah mangsa penderaan oleh Fred dan Edwina sejak dia dari kecil lagi. Harta milik Charles juga telah dirampas oleh ibu bapanya untuk kepentingan mereka sendiri. Fred diyakini sebagai seorang bookie perjudian. Pembunuhan Fred dan Edwina telah dirancang oleh Charles selama bertahun-tahun. Dia seterusnya melarikan diri dengan bantuan rakan yang dikenali sewaktu bekerja di syarikat minyak. Sama seperti buku The Man on the Grassy Knoll, isi buku The Icebox Murders ini turut berdepan kritikan ramai pihak.

Catat Ulasan for "KISAH CHARLES ROGERS : Kepala Manusia dalam Peti Sejuk"