Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH DNEPROPETROVSK MANIACS : 3 Lelaki, 1 Tukul

Dneproetrovsk Maniacs

    The Dnepropetrovsk Maniacs adalah gelaran diberikan oleh pihak media kepada tiga orang lelaki yang  telah melakukan pembunuhan berantai di negara Ukraine pada tahun 2007. 

    Viktor Sayenko, Igor Suprunyuk dan Alexander Hanzha merupakan tiga sekawan yang dilahirkan pada tahun 1988. Mereka bertiga berasal daripada keluarga berada serta belajar di sebuah sekolah yang sama. Selain itu, Viktor dan Igor ada mengidap Acrophobia iaitu sejenis penyakit fobia yang takutkan ketinggian. Bagi mengatasi masalah fobia tersebut, mereka berdua berlatih untuk berdiri pada ruang balkoni apartment yang terletak di tingkat 14. Sementara itu, Alexander pula adalah seorang yang begitu takutkan darah. Dia kemudian telah disarankan oleh Igor untuk menyeksa dan membunuh anjing terbiar agar rasa ketakutannya tersebut hilang. 

    Pada waktu kemudiannya, Viktor, Igor dan Alexander pergi ke kawasan hutan untuk melaksanakan misi penyeksaan serta pembunuhan anjing terbiar. Selepas dibunuh, anjing-anjing itu digantung akan pada dahan pokok untuk dirobek isi perut. Selesai berbuat sedemikian, tiga sekawan tersebut akan melukis beberapa simbol termasuk swastika di lokasi kejadian dengan menggunakan darah anjing yang sudah mati itu selain bergambar dengan gaya tabik nazi. Terdapat juga video kejam yang memaparkan aksi mereka menembak mati seekor anak kucing yang telah dipaku pada kayu tiang salib. 

    Selepas tamat sekolah menengah, Alexander telah bekerja sebagai buruh binaan manakala Viktor pula menjadi pengawal keselamatan. Sementara itu, Igor pula kekal menganggur hinggalah satu ketika dia dihadiahkan sebuah kereta oleh ibu bapanya. Kereta tersebut kemudian dijadikan oleh Igor sebagai teksi tidak berlesen. Dia telah dibantu oleh Viktor dan Alexander untuk merompak penumpangnya. Lama-kelamaan melakukan kerja-kerja rompakan tersebut, Viktor dan Igor semakin berasa bosan. Maka mereka berdua pun mula melakukan siri pembunuhan berantai manusia dengan memilih mangsa secara rawak. 

    Sepanjang siri pembunuhan berantai yang dilakukan oleh Dnepropetrovsk Maniacs dari bulan Jun hingga Julai tahun 2007, seramai 21 orang mangsa yang terdiri daripada golongan remaja, dewasa dan tua telah menjadi mangsa mereka. Rata-rata mangsa dipukul dengan tukul dan besi hingga muka mereka hancur sama sekali. Kebanyakan mangsa diseksa terlebih dahulu sebelum dibunuh. Lebih mengerikan apabila ada antara mangsa yang dicungkil keluar mata mereka secara hidup-hidup. Bahkan ada seorang mangsa yang juga seorang wanita mengandung telah dibelah perut untuk dikeluarkan janinnya. Seperkara yang perlu diketahui adalah hampir kesemua aksi pembunuhan itu dirakam dengan Alexander berperanan sebagai jurukamera. Salah satu rakaman Dnepropetrovsk Maniacs yang telah tersebar di internet adalah pembunuhan Sergei Yatzenko yang dibunuh sewaktu dia dalam perjalanan mengunjungi cucunya. Dalam video yang berjudul 3 Guys 1 Hammer tersebut, Sergei dihentak dengan tukul pada bahagian mukanya secara berulang kali sebelum ditikam di kepala dan dada menggunakan pemutar skru.

    Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada mangsa terselamat serta saksi kejadian, pihak polis telah berjaya membuat lakaran wajah suspek. Sebuah jawatankuasa khas kemudian ditubuhkan untuk menyelesaikan kes. Terdapat beberapa laporan yang melaporkan seramai 2000 penyiasat telah ditugaskan bagi membantu siasatan. Walau bagaimanapun, maklumat hasil siasatan awal terpaksa dirahsiakan bagi memudahkan usaha pengesanan suspek. 

    Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Dnepropetrovsk Maniacs berjaya ditangkap jua oleh pihak polis pada tarikh 23 Julai 2007. Penangkapan tersebut dibuat di sebuah kedai pajak selepas Igor cuba untuk menjual telefon bimbit milik yang dirompak daripada salah seorang mangsanya. Sebaik saja telefon itu kembali diaktifkan, pihak polis yang menerima isyarat telefon tersebut bergegas pergi ke lokasi kejadian dan seterusnya menenagkap Viktor dan Igor. Mengenai Alexander, dia telah ditangkap di rumahnya sendiri.

    Berhubung dengan perbicaraan kes, ketiga-tiga Dnepropetrovsk Maniacs telah menghadapi 21 dakwaan membunuh dan 8 cubaan membunuh. Viktor dan Igor yang didapati bersalah telah menerima hukuman penjara untuk seumur hidup serta tidak pernah akan dibebaskan. Alexander pula menerima nasib berbeza memandangkan dia hanya menjadi jurukamera sepanjang siri pembunuhan. Namun dia tetap dihukum penjara selama 9 tahun atas penglibatannya sebagai salah seorang pelaku Dnepropetrovsk Maniacs. 

Academy Maniacs

    Tahun 2011, dua orang pemuda di negara Rusia iaitu Artyom Anoufriev (19 tahun) dan Nikita Lytkin (18 tahun) yang dikenali sebagai Academy Maniacs telah ditangkap oleh pihak polis selepas disyaki sebagai dalang utama insiden pembunuhan dan cubaan membunuh yang berlaku di sekitar bandar Irkutsk dari bulan Disember 2010 hingga April 2014. Modus operandi Arytom dan Nikita adalah dengan meniru cara Dnepropetrovsk Maniacs iaitu merakam pembunuhan yang dilakukan oleh mereka berdua. Jumlah keseluruhan mangsa Academy Maniacs adalah seramai 15 orang di mana enam daripada mereka mati dibunuh manakala sembilan lagi mangsa pula mengalami kecederaan teruk. Menerusi laporan media, dua sekawan itu melakukan pembunuhan berantai tersebut selepas terpengaruh dengan bacaan tentang Dnepropetrovsk Maniacs di laman internet. Setelah disahkan waras sepenuhnya oleh pakar psikiatri, kedua-dua mereka telah dihukum penjara dengan Arytom dipenjarakan seumur hidup manakala Nikita pula menerima hukuman penjara selama 24 tahun.

Catat Ulasan for "KISAH DNEPROPETROVSK MANIACS : 3 Lelaki, 1 Tukul"