Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA DARDEEN : Siapa Bunuh Mereka?

    Pada tahun 1980an, Ina, Illinois merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di selatan Jefferson County, Amerika Syarikat. Pekan ini agak terpencil, namun dilengkapi dengan perkhidmatan asas seperti kedai runcit, stesen minyak, bank dan pejabat pos. Di pekan ini jugalah menjadi kawasan tempat tinggal Russel Keith Dardeen dan Ruby Elaine iaitu pasangan suami isteri. 

    Tahun 1987, Keith dan Elaine yang menginap di rumah jenis trailer mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun bernama Peter. Pada waktu itu, Elaine sedang mengandungkan anak kedua mereka yang dicadangkan namanya sebagai Casey. Keith merupakan seorang pekerja di loji rawatan air manakala Elaine pula bekerja di sebuah kedai yang membekalkan barang pejabat. Apa yang perlu diketahui, Keith adalah seorang lelaki yang begitu melindungi keluarganya memandangkan Jefferson County bukan kategori kawasan selamat. Kes jenayah seperti rogol dan pembunuhan kerap berlaku. Tiada jaminan untuk kekal hidup aman dan damai. 

    Kisah sebenar bermula pada 18 November 1987 apabila pihak polis bertindak untuk melakukan pemeriksaan di rumah Keith. Pemeriksaan tersebut terpaksa dibuat atas laporan yang dibuat oleh ibu bapa Keith. Waktu sebelumnya, ibu bapa Keith telah dihubungi oleh pihak majikan Keith yang memberitahu anak mereka itu tidak hadir bekerja tanpa sebarang makluman. Ketidakhadiran Keith dilihat sebagai sesuatu yang mencurigakan kerana dia dikatakan seorang pekerja berdedikasi tinggi. 

    Menerusi kunci pendua yang dibagi oleh bapa Keith, pihak polis pun berjaya membuka pintu rumah Keith. Selepas memasuki rumah tersebut, situasi mula menjadi agak kelam kabut susulan penemuan ngeri mayat Elaine dan Peter di atas katil. Mereka berdua telah mati akibat dipukul bertubi-tubi dengan kayu besbol yang dihadiahkan oleh Keith kepada Peter sempena hadiah hari jadi. Elaine ditemui dalam keadaan mulut dan seluruh tubuh badannya diikat dengan pita pelekat. Paling mengejutkan adalah penemuan mayat ketiga iaitu bayi Elaine yang baru dilahirkan. Elaine dipercayai melahirkan anak keduanya itu sewaktu dipukul oleh pelaku. Menyedihkan apabila bayi yang baru lahir tersebut turut dipukul sampai mati. Sementara itu, Keith gagal untuk dikesan. 

    Mengikut siasatan awal, pelaku didapati telah cuba untuk membersihkan lokasi kejadian. Tiada sebarang tanda pecah masuk atau kehilangan mana-mana barangan yang berharga. Perkara ini jelas menyukarkan pihak polis dalam usaha untuk motif sebenar pembunuhan. Pada mulanya, Keith dianggap sebagai suspek utama memandangkan dia telah menghilangkan diri secara mengejut. Walau bagaimanapun, tanggapan tersebut meleset sama sekali apabila mayat Keith ditemui pada sehari kemudian di kawasan ladang gandum yang berdekatan. Dia dibunuh dengan cara yang lebih dahsyat iaitu ditembak sebanyak tiga kali pada bahagian kepala. Selain itu, bahagian kemaluan Keith juga telah dikerat. Cukup mengerikan. 

    Maklumat lain, kereta Keith ditemui diparkir di luar balai polis Bendon yang terletak kira-kira 11 batu jarak dari rumahnya. Dalam kereta itu ada kesan darah sekaligus memberi gambaran bahawa Keith berkemungkinan telah dibunuh di kawasan situ. Berdasarkan laporan bedah siasat terhadap semua mangsa, tidak dapat dipastikan siapa antara mereka yang terawal sekali mati. Namun apa yang pasti, mereka semua dibunuh dalam masa satu atau dua jam. Hasil siasatan juga mendapati keluarga Dardeen bukan sebuah keluarga yang bermasalah. 

    Hari demi hari, minggu demi minggu dan tahun demi tahun berlalu. Pihak polis masih gagal untuk menentukan motif pembunuhan serta mengenalpasti suspek. Jadi, kes kian sukar untuk diselesaikan. Hinggalah tahun 2000, seorang pembunuh bersiri bernama Tommy Lyn Sells yang disyaki telah melakukan 22 siri pembunuhan tampil membuat pengakuan bahawa dia adalah dalang sebenar di sebalik pembunuhan keluarga Dardeen. Menurut Tommy, dia telah dipelawa untuk makan malam di rumah Keith pada hari kejadian sebelum bertindak melakukan pembunuhan. Cerita Tommy ini bagaimanapun diragui kerana penceritaannya yang tidak konsisten di samping fakta Keith adalah seorang yang mementingkan keselamatan keluarganya. Dijadikan satu cerita, Keith pernah sekali tidak melayan permintaan seorang wanita muda yang ingin memasuki rumahnya bagi meminjam telefon. Bila difikir, mustahil Keith akan membenarkan lelaki asing untuk memasuki ke dalam rumahnya. 

Tommy Lyn Sells

    Persoalan samada Tommy benar-benar membunuh keluarga Dardeen adalah kekal menjadi satu jawapan yang tidak disimpulkan. Tommy telah meninggal dunia pada 3 Januari 2014 akibat hukuman mati yang dikenakan terhadapnya. Sejak kematian Tommy, kes pembunuhan keluarga Dardeen menjadi semakin dingin. Tiada sebarang perkembangan. Ibu Keith pula masih tidak berpuas asa bagi mencari jawapan demi menegakkan keadilan untuk anak, menantu dan cucunya. Memang tidak dinafikan kisah kematian keluarga Dardeen ini adalah antara kes pembunuhan sadis dan kejam yang pernah berlaku di Amerika Syarikat.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA DARDEEN : Siapa Bunuh Mereka? "