KISAH LATA KHARE : Juara Sebenar Maraton
Lata Bhagwan Khare iaitu seorang wanita tua berusia 60an yang hidup dalam kemiskinan bersama suami dan tiga orang anak perempuannya. Lima anak beranak itu tinggal di sebuah kawasan perkampungan mundur yang terletak di Maharashtra, India. Setiap hari, Lata dan suaminya terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan mereka yang serba kekurangan. Kasus pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hingga satu masa, pasangan suami isteri tua tersebut terpaksa menggunakan wang simpanan yang sedia ada bagi menanggung kos majlis perkahwinan ketiga-tiga anak mereka. Lata dan suaminya yang kemudian tinggal berdua tidak pernah berhenti daripada melakukan pekerjaan kampung kerana segalanya serba-serbi tidak mencukupi.
Kisah sebenar bermula apabila suami Lata tiba-tiba jatuh sakit. Dia seterusnya dibawa ke hospital yang berdekatan untuk rawatan selanjutnya. Tanpa diduga, doktor mengesahkan suami Lata mempunyai jangkitan yang serius. Maka Lata pun disarankan untuk membawa suaminya ke sebuah hospital swasta. Mendengar perkara itu, Lata mula berasa tidak senang hati kerana menyedari kos rawatan berkenaan sudah pasti berada di luar kemampuannya. Dek memikirkan keselamatan suaminya, Lata terpaksa meminjam wang daripada jiran serta saudara-mara untuk digunakan sebagai kos perjalanan dan rawatan.
Selepas menjalani ujian kesihatan di hospital swasta tersebut, Lata telah dimaklumkan oleh pihak doktor bahawa suaminya memerlukan rawatan susulan dengan kadar segera. Lata terus terduduk sambil menangis teresak-esak berikutan masalah kewangan yang dihadapinya. Tiada apa lagi yang boleh dilakukan oleh Lata kecuali pasrah terhadap takdir. Lata dan suaminya kemudian terpaksa meninggalkan hospital dengan perasaan yang sungguh hiba.
Sewaktu dalam perjalanan pulang, mereka berdua telah singgah di sebuah gerai makanan tepi jalan. Berbekalkan wang simpanan yang tinggal sedikit, Lata dan suaminya pun membeli dua keping samosa. Sewaktu memakan samosa itu, mata Lata tiba-tiba tertumpu pada salah satu tajuk utama yang terpampang di dada akhbar.
"Baramati Marathon Tomorrow"
Larian maraton yang dijadualkan akan berlangsung pada keesokan harinya menawarkan wang ganjaran kejuaraan berjumlah 5000 rupee. Nilai tersebut mungkin tidaklah sebanyak mana, namun bagi Lata ia sudah cukup memadai untuk membayar kos rawatan suaminya.
Sehari kemudian, Lata yang bersemangat telah menyertai pertandingan maraton tersebut biarpun sebelum itu dihalang oleh suami dan juga anak-anaknya. Harus diketahui, Lata hanya berpakaian sari dan berkaki ayam sedangkan peserta yang lain memakai kasut. Pada mulanya, pihak penganjur enggan membenarkan Lata menyertai larian berkenaan atas faktor peraturan pertandingan dan keselamatan. Perkara tersebut langsung tidak mematahkan semangat Lata. Dia merayu-rayu sambil menceritakan segala-galanya dengan penuh linangan air mata. Pihak penganjur yang bersimpati akhirnya bersetuju untuk melepaskan Lata ke garisan permulaan. Penyertaan Lata telah mencuri perhatian ramai penonton. Malah ada yang sempat untuk mengejek.
Sebaik larian bermula, satu keajaiban berlaku. Lata berlari bagaikan seorang wanita yang berusia belasan tahun. Dia jauh meninggalkan peserta-peserta lain yang jauh lebih muda daripadanya. Lata berlari dan terus berlari biarpun kakinya mulai berdarah. Fokusnya hanya satu iaitu menjadi juara untuk mendapatkan wang. Dia kian mendapat sorakan gemuruh daripada penonton. Boleh bayangkan situasi seorang nenek tua berlawan dengan orang muda? Selepas berlari dengan menahan rasa sakit sejauh 42 kilometer, Lata melakukan satu perkara menakjubkan apabila dia telah berjaya menjadi peserta yang pertama untuk sampai ke garisan penamat! Pengakhiran kisah yang benar-benar hebat!
Hasil wang kemenangan itu digunakan oleh Lata untuk membayar kos rawatan susulan suaminya. Kemenangan Lata memberi pengajaran bahawa tiada apa perkara mustahil boleh dilakukan melainkan dengan usaha serta kegigihan. Kegagalan yang sebenar adalah apabila berhenti mencuba. Kisah Lata Khare ini juga telah difilemkan pada tahun 2020.
Catat Ulasan for "KISAH LATA KHARE : Juara Sebenar Maraton"