Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH LUKA MAGNOTTA : Aku Pembunuh Kucing

Luka Magnotta

    Luka Magnotta atau nama sebenarnya Eric Clinton Kirk Newman merupakan warganegara Kanada yang dilahirkan pada 24 Julai 1982. Dia yang juga anak sulung daripada tiga orang adik beradik datang daripada keluarga bermasalah. Ibunya bukan sahaja seorang yang begitu obses dengan kebersihan, malah berperangai pengongkong. Luka dan dua orang adiknya yang lain juga tidak dibenarkan sama sekali untuk bergaul dengan jiran rumah mereka. Selepas ibu bapanya bercerai, Luka yang masih kecil ketika itu telah tinggal bersama neneknya yang sangat garang. 

    Menginjak usia dewasa, Luka bertukar menjadi seorang lelaki gay narsis yang begitu gemarkan populariti. Disebabkan itu, dia berjinak dengan dunia permodelan dan filem lucah sebagai platformnya untuk mencipta nama dalam industri hiburan. Luka juga obses dengan pembedahan plastik supaya muka dan tubuh badannya menjadi lebih menarik. Selain itu, dia mempunyai lebih 70 akaun Facebook dengan identiti yang berbeza. Tentang rekod jenayahnya, Luka pernah dipenjarakan atas kesalahan penipuan kad kredit. Seperkara perlu diketahui, Luka mempunyai sejarah penyakit mental skizofrenia sejak dari usia 18 tahun iaitu penyakit yang diwarisi daripada bapanya. 


    Pada 25 Mei 2012, dunia siber dikejutkan dengan sebuah video yang dimuatnaik ke laman web Bestgore. Menerusi video berjudul “1 Lunatic 1 Ice Pick” yang berlatarbelakangkan muzik lagu daripada kumpulan New Order tersebut memaparkan seorang lelaki yang sedang berbaring di atas katil dalam keadaannya berbogel sambil terikat telah ditikam berulang kali oleh seorang lelaki dengan pisau. Sesudah ditikam, kepala lelaki yang terbaring itu dipenggal serta dipotong kedua-dua belah tangan dan kakinya. Lagi menjijikkan apabila si pelaku seterusnya melakukan aksi seks terhadap mayat lelaki tersebut. Pihak polis yang kemudian menerima laporan tentang video ngeri itu pada mulanya beranggapan bahawa video terbabit hanyalah palsu semata-mata. Namun setelah video pembunuhan kanibal tersebut diteliti semula dengan lebih terperinci sebelum disahkan ketulenannya, maka pihak polis mula melancarkan operasi pemburuan pelaku iaitu tidak lain tidak bukan Luka Magnotta. Mangsa pembunuhan pula dikenalpasti sebagai seorang pelajar universiti bernama Jun Lin yang berasal dari Wuhan, China. Laporan kehilangan Jun Lin telah dibuat oleh rakan-rakannya pada 29 Mei selepas dia gagal untuk dihubungi. 

    Pihak polis seterusnya melakukan pemeriksaan di apartment Luka susulan maklumat penemuan mayat tanpa kepala, tangan dan kaki di sekitar kawasan berkenaan. Hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat kesan darah pada tilam, tab mandi dan peti sejuk. Menerusi semakan pada kamera litar tertutup bangunan apartment, Luka dan Jun dilihat berjalan bersama sebelum insiden pembunuhan. Mereka berdua yang dilaporkan berkenalan menerusi iklan di laman internet bersetuju untuk berjumpa bagi melakukan hubungan seks. Berhubung dengan keberadaan Luka selepas waktu kejadian, dia telah pun melarikan diri ke Paris, Perancis. Cumanya dia sempat untuk melakukan penghantaran bungkusan yang berisi seperti tangan dan kaki milik Jun Lin kepada parti politik serta sekolah di Kanada. Kepala Jun pula ditemui di sekitar kawasan tasik hasil daripada maklumat individu yang tidak dikenali. 

Luka Magnotta bersama Jun Lin

    Lebih kurang dua tahun sebelum insiden pembunuhan Jun Lin, Luka telah diburu oleh pihak berkuasa dan komuniti pencinta haiwan di Facebook gara-gara tindakannya yang memuatnaik video aksinya melakukan pembunuhan terhadap beberapa ekor haiwan. Paling popular adalah video “1 Boy 2 Kitten” di mana Luka telah melemaskan dua ekor anak kucing menggunakan alat pembersih vakum. Bangkai anak kucing tersebut kemudian disimpan di dalam peti sejuk. Usaha untuk menangkap Luka bagaimanapun seringkali menemui jalan buntu berikutan Luka yang licik bersembunyi. Pada masa sama, dia telah mencipta beberapa khabar angin untuk meraih perhatian secara berterusan. Salah satu daripadanya termasuklah menjalinkan hubungan dengan salah seorang wanita paling dibenci di negara Kanada iaitu Karla Homolka. Dia merupakan seorang pembunuh bersiri yang telah melakukan beberapa siri pembunuhan kejam bersama suaminya, Paul Bernado. 

Jun Lin

    Berbalik dengan cerita Luka yang bersembunyi di Perancis, dia dapat dikesan oleh pihak polis menginap di sebuah hotel berdasarkan isyarat telefonnya. Belum sempat penangkapan dilakukan terhadapnya, Luka sekali lagi berjaya melarikan diri. Kali ini dia menuju ke Berlin, Jerman dengan menaiki bas. Hinggalah 4 Jun 2012, Luka akhirnya berjaya ditangkap jua oleh pihak polis di sebuah siber kafe sewaktu dia sedang leka membaca berita tentang dirinya sendiri di internet. Identitinya telah disahkan menerusi semakan cap jari.

    Pengakhiran kisah, Luka dihantar semula ke Kanada untuk dibicarakan. Mengenai dengan keputusan perbicaraan kes, dia yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh Jun Lin telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Sewaktu perbicaraan, peguam Luka cuba menggunakan hujah tentang penyakit mental yang dialami oleh anak guamnya tetapi tidak diterima oleh juri. Luka dilaporkan ada membuat pengakuan bahawa dia bertindak untuk melakukan pembunuhan tersebut kerana telah mendengar suara bisikan memberitahu bahawa Jun merupakan seorang agen rahsia yang ingin membunuhnya. Bulan Disember 2019, Netflix menyiarkan sebuah dokumentari tentang Luka Magnotta yang berjudul Don't F**k With Cats : Hunting an Internet Killer.

Catat Ulasan for "KISAH LUKA MAGNOTTA : Aku Pembunuh Kucing"