KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA ZAMAN : Anak Harapan, Anak Psiko
Rumah keluarga Zaman |
Gambar di atas adalah gambar rumah keluarga Zaman yang terletak di Markham, Ontario, Kanada. Jika diperhatikan dari segi luaran, rumah ini kelihatan begitu cantik. Namun, tiada siapa sangka rumah ini pernah dilanda tragedi berdarah ngeri yang mengejutkan ramai pihak.
Perkahwinan Moniruz Zaman telah berkahwin dengan Momotaz Begum atas percaturan keluarga. Selepas perkahwinan itu, mereka berdua yang berasal dari Bangladesh membuat keputusan untuk berhijrah Ontario, Kanada bagi mencari peluang kehidupan yang lebih baik. Di sana, pasangan muslim tersebut telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Menhaz yang dilahirkan pada tahun 1996 disusuli dengan Malesa pada dua tahun kemudian.
Gambar dari kiri : Firoza, Malesa, Momotaz dan Moniruz |
Berkat kerajinan dan kegigihan Moniruz yang bekerja sebagai pemandu teksi, dia dapat membeli sebuah rumah yang besar untuk didiami keluarganya. Malah Moniruz telah membeli beberapa lagi aset hartanah lain untuk disewakan. Kiranya, Moniruz adalah seorang pendatang yang berjaya. Maka tidak hairanlah nama keluarga Zaman begitu dikenali oleh komuniti Bangladesh yang menetap di sekitar kawasan kediaman mereka.
Berkenaan dengan Menhaz, dia merupakan seorang lelaki pendiam yang lebih gemar menghabiskan masanya di dalam bilik untuk bermain permainan dalam talian iaitu Perfect World. Walau bagaimanapun, Menhaz adalah seorang anak yang mendengar kata dan rajin mengikut bapanya pergi ke masjid bagi menunaikan solat. Menhaz boleh dikatakan anak kesayangan kedua ibu bapanya. Sementara itu, Malesa pula berperwatakan sebaliknya. Dia adalah seorang perempuan yang mengamalkan kehidupan liar seperti pergaulan bebas, berparti, meminum alkohol dan menghisap dadah.
Sejak dari Menhaz dan Malesa kecil lagi, mereka berdua sering diingatkan oleh Moniruz bahawa pendidikan adalah teras utama kejayaan. Disebabkan itu, Moniruz sanggup bergolok gadai demi pendidikan anak-anaknya. Hinggalah satu ketika, Menhaz telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti York, Toronto dalam jurusan kejuruteraan. Moniruz dan Momotaz yang berasa begitu bangga tentang perkara tersebut sering memuji Menhaz di depan kenalan mereka. Menhaz digambarkan sebagai anak paling boleh diharap dan akan mempunyai masa depan yang cerah.
Menhaz |
Apa yang berlaku seterusnya adalah Menhaz telah gagal dalam peperiksaan semester. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali hinggakan pada akhirnya dia dibuang dari universiti. Enggan ibu bapanya untuk berasa kecewa, Menhaz telah menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan mereka. Di rumah, dia berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku dan sering bercerita perihal universiti kepada Moniruz dan Momotaz. Setiap hari, Menhaz akan keluar dari rumah dengan menggalas beg serta membawa komputer riba untuk menaiki bas, lalu pergi ke universiti. Hakikat sebenar, dia pergi melepak seorang diri untuk bermain permainan dalam talian. Adakalanya Menhaz akan pergi ke pusat membeli belah dan bermain gim. Penipuan Menhaz tersebut berlaku selama tiga tahun.
Masa kian berlalu. Menhaz yang bertukar menjadi penganut Ateis menyedari lama-kelamaan penipuannya selama ini bakal terbongkar jua. Jadi, dia pun merancang sesuatu untuk melegakan kerisauan yang telah melanda di hatinya sejak sekian lama. Bulan Julai 2019, Moniruz dan Momotaz semakin berasa teruja kerana majlis graduasi Menhaz bakal tiba. Bahkan ibu bapa Menhaz sudah pun mempunyai perancangan untuk menyuruh anak lelaki kesayangan mereka itu bagi menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana.
Pada 27 Julai iaitu sehari sebelum majlis graduasi Universiti York, Menhaz tekad untuk melakukan pembunuhan terhadap seluruh anggota keluarganya. Pukul 3 petang, mangsa pertama yang dibunuh oleh Menhaz adalah Momotaz. Dia dipukul dengan besi sebelum dikelar pada bahagian leher menggunakan pisau. Sejam kemudian, mangsa berikutnya adalah Firoza iaitu nenek Menhaz yang tinggal sekali di rumah tersebut. Sama seperti Momotaz, Firoza turut dikelar pada bahagian leher.
Selepas Momotaz dan Firoza dibunuh, Menhaz sempat untuk bermain permainan video dan tidur sementara menunggu kepulangan Malesa yang melakukan kerja sambilan. Sebaik Malesa pulang, dia menerima nasib serupa seperti ibu dan neneknya. Tidak lama selepas itu, Moniruz pulang ke rumah. Menhaz yang bagai dirasuki syaitan bertindak untuk menghentak kepala bapanya bertubi-tubi dengan objek berat. Lagi mengerikan, leher Moniruz telah dibelah oleh Menhaz. Selesai pembunuhan tersebut, Menhaz memasuki ruang sembang dalam permainan talian untuk memberitahu tentang apa yang dilakukan terhadap keluarganya. Pada mula-mulanya, rakan alam maya Menhaz sekadar beranggapan cerita pembunuhan tersebut adalah sekadar jenaka. Namun hanya selepas Menhaz menghantar gambar mayat dan berswafoto sambil memegang pisau yang dibasahi dengan darah, barulah mereka benar-benar mempercayainya. Pihak polis yang kemudian menerima maklumat tentang pembunuhan itu tidak mengambil masa lama untuk menjejaki lokasi rumah Menhaz dan melakukan tangkapan terhadapnya. Mengenai Moniruz, Momotaz, Firoza dan Malesa, mayat mereka berempat ditemui di tingkat atas rumah.
Pembunuhan keluarga Zaman ternyata sukar untuk dipercayai oleh masyarakat setempat memandangkan Menhaz adalah anak kesayangan ibu bapanya serta dilihat lelaki muda yang langsung tidak bermasalah. Menerusi keputusan perbicaraan kes, Menhaz yang didapati bersalah atas empat pertuduhan membunuh telah menerima hukuman penjara untuk seumur hidup tanpa sebarang peluang parol selama 40 tahun.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA ZAMAN : Anak Harapan, Anak Psiko"