Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH REYNA MARROQUIN : Wanita di Dalam Tong Drum

Reyna Marroquin

    Reyna Angelina Marroquin dilahirkan pada tahun 1941 di El Salvador. Dia yang begitu rapat dengan ibunya sudah lama berhasrat untuk berhijrah ke Amerika Syarikat bagi mencari peluang pekerjaan lebih baik. Tahun 1966, Reyna memulakan kehidupan baru di Amerika Syarikat iaitu tidak lama selepas dia mendapat tahu tentang kecurangan suaminya.

    Sampai di Amerika, Reyna telah memghadiri kelas pembelajaran bahasa Inggeris serta kelas fesyen. Pada masa sama, dia juga berkenalan dengan seorang wanita bernama Kathy Andrade di mana kemudiannya mereka berdua telah menjadi kawan baik. Reyna seterusnya mendapat pekerjaan di Melrose Plastics, sebuah kilang yang memproses bunga dan pokok plastik. Biarpun hidup sebagai anak perantauan, Reyna tidak pernah lupa untuk mengirim wang dan surat kepada ibunya.

    Tidak lama selepas menjadi pekerja kilang itu, Reyna telah menjalinkan hubungan percintaan dengan seorang lelaki yang bergelar sebagai suami orang. Reyna kian dilamun cinta. Lebih-lebih lagi apabila lelaki tersebut ada berjanji akan meninggalkan isteri dan anak-anaknya. Walau bagaimanapun, Reyna tidak pernah mendedahkan identiti lelaki tersebut kepada sesiapapun termasuklah Kathy.

    Hubungan sulit Reyna itu telah menyebabkannya mengandung. Sewaktu usia kandungan Reyna hampir mencecah sembilan bulan, dia semakin tertekan selepas teman lelakinya memungkiri janji untuk hidup bersama. Disebabkan berasa tidak berpuas hati, Reyna tekad menelefon isteri teman lelakinya bagi memberitahu perkara yang sebenar. Namun selepas teman lelaki Reyna mengetahui tentang panggilan tersebut, dia yang begitu marah telah mendail Reyna semula bagi melakukan ugutan bunuh. Ekoran berasa bimbang, Reyna menceritakan segala-galanya kepada Kathy. Namun mereka berdua tidak sempat untuk berjumpa apabila Reyna tiba-tiba saja menghilang secara misteri. Tiada siapa pun yang tahu ke mana dia telah pergi. Harus diketahui, Kathy pada waktu ini masih lagi tidak mengetahui identiti sebenar teman lelaki Reyna. Sementara itu, ibu Reyna yang berada di El Salvador terus berasa bimbang serta sedih dari ke hari kerana tidak pernah lagi menerima kiriman surat daripada Reyna.

CBS News

    Pada tahun 1999 iaitu 30 tahun selepas waktu kehilangan Reyna, seorang lelaki bernama Hamid Tafaghodi membeli sebuah rumah yang terletak di kawasan Jericho, New York bertempat Nassau County. Sewaktu melakukan pemeriksaan di kawasan rumah itu, Hamid telah menemui sebuah tong drum seberat kira-kira 156 kilogram. Dia kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada penjual rumah selaku pemilik sebelumnya yang bernama Ronald Cohen.

    Ronald sebenarnya sudah lama menyedari kewujudan tong drum itu tetapi dia tidak pernah untuk membukanya memandangkan terdapat label tanda amaran bahan kimia pada tong drum berkenaan. Jadi pada 2 September 1999, Ronald pun membuka tong drum tersebut. Dia benar-benar terkejut apabila mendapati di sebalik pallet plastik dalam tong drum itu mengandungi satu mayat manusia.

Crime Junkie Podcast

    Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada Ronald, pihak polis pun bergegas ke lokasi kejadian. Pemeriksaan selanjutnya mendapati mayat yang telah diawet dalam tong drum tersebut merupakan seorang wanita berbangsa Hispanik. Punca kematiannya dipercayai berpunca daripada kecederaan yang disebabkan oleh objek tumpul pada bahagian kepala. Paling menyedihkan adalah penemuan fetus berukuran 17 inci dalam perut wanita itu. Pihak polis juga ada menemui beberapa bahan bukti lain dalam tong drum tersebut seperti batang bunga plastik serta buku nota kecil yang mengandungi alamat dan nombor telefon kenalan mangsa.

    Berdasarkan senarai nama daripada buku nota kecil itu, Detektif Brian Parpan selaku ketua siasatan kes berusaha untuk menjejaki individu tertentu bagi memudahkan kerja-kerja pengenalpastian mangsa. Selepas pasukan siasatan mendapat maklumat terperinci daripada Kathy Andrade, mayat wanita tersebut akhirnya berjaya dikenal pasti sebagai Reyna Marroquin. Hasil siasatan lain, tong drum pula dikesan adalah dari kilang Melrose Plastic dan tuan rumah sebelum Ronald pada tiga dekad sebelumnya merupakan pemilik kilang berkenaan yang bernama Howard B Elkins. Selepas siasatan demi siasatan dijalankan, maka terbongkarlah Howard adalah individu yang pernah menjalinkan hubungan sulit dengan Reyna.

Howard B Elkins

    Howard yang sudah berusia 71 tahun ketika itu telah berjaya dijejaki berada di Florida. Semasa disoal siasat, dia ada membuat pengakuan pernah bercinta dengan rakan sekerja di kilang pada zaman mudanya namun tidak mengingati sebarang butiran tentang perkara tersebut. Apabila diminta untuk membuat ujian DNA, Howard dikatakan enggan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya. Pasukan siasatan bagaimanapun sempat memberi peringatan kepada Howard bahawa mereka akan mendapatkan waran dari pihak mahkamah. Sehari kemudian, Howard tiba-tiba telah membunuh diri tanpa sebarang penjelasan dengan cara tembakan menggunakan senapang. Ujian DNA yang dilakukan terhadap Howard selepas itu mendapati dia merupakan bapa kepada bayi kandungan Reyna.

    Teori pembunuhan, Reyna telah dibunuh di kilang sebelum mayatnya dibawa pulang ke rumah Howard. Mayat Reyna kemudian dimasukkan ke dalam tong drum, berkemungkinan besar untuk dibuang ke dalam laut. Niat Howard tersebut terus terbantut atas faktor berat tong drum itu. Maka, Howard  pun membiarkan saja tong drum tersebut berada di rumahnya tanpa terusik selama 30 tahun.

    Penamat kisah, mayat Reyna telah dihantar semula  ke negara asalnya untuk dikebumikan. Ibu Reyna sendiri tidak pernah menyangka bahawa mimpinya tentang Reyna disimen dalam tong drum benar-benar menjadi kenyataan. Kerinduan yang terus tidak berpenghujung. Kira-kira sebulan selepas majlis pengkebumian Reyna, giliran ibu Reyna pula meninggal dunia lalu dikebumikan bersebelahan dengan anaknya itu.

1 ulasan for "KISAH REYNA MARROQUIN : Wanita di Dalam Tong Drum"