Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DRISHYAM 2 : Filem Sekuel yang Sempurna

    Tahniah serta syabas diucapkan Jeethu Joseph kerana berjaya menghasilkan sekuel filem misteri thriller klasik fenomena Drishyam yang cukup bagus! Mohanlal tetap berada dalam kelas tersendiri. Walaupun jalan cerita untuk kali ini agak lambat untuk dinantikan klimaksnya, percayalah ia sangat berbaloi untuk ditonton berkali-kali. Tiada adegan ganas, tiada adegan menakutkan dan tiada adegan yang melampaui batas tetapi penuh dengan elemen suspen. Benar-benar puas hati dengan penamat ceritanya. Sama seperti filem Drishyam pertama yang berakhir dengan penamat plot twist bertubi-tubi. Secara jujur, Dhrisyam 2 adalah salah sebuah filem sekuel terbaik yang pernah saya tonton. Masterpiece.

    Dhrishyam 2 kali ini berlatarbelakangkan masa enam tahun selepas insiden menggemparkan yang menimpa keluarga Georgekutty. Kes kehilangan Varun masih lagi menjadi bualan penduduk setempat namun pada masa sama Georgekutty melarang semua anggota keluarganya untuk berbicara tentang kes tersebut sesama mereka. Berkenaan dengan karier Georgekutty, dia kini semakin berjaya dalam perniagaannya dengan memiliki panggung wayang dan mempunyai impian untuk menerbitkan filem.

    Sementara itu, pihak polis belum lagi menutup fail kes kehilangan Varun. Mereka masih lagi menjalankan siasatan dengan mengintip pergerakan dan perbualan keluarga Georgekutty. Hinggalah satu hari, seorang bekas banduan bernama Jose telah tampil ke hadapan untuk memberitahu bahawa dia pernah ternampak Georgekutty berada di balai polis yang ketika itu masih lagi dalam binaan yakni tempat mayat Varun ditanam. Bertindak atas maklumat berkenaan, keluarga Georgekutty telah ditahan. Operasi penggalian yang dilakukan di tapak balai polis juga telah membawa kepada penemuan satu rangka manusia.

    Sewaktu sesi soal siasat terhadap keluarga Georgekutty, anak perempuan sulungnya telah jatuh rebah akibat penyakit sawan. Disebabkan itu, Georgekutty akhirnya membuat pengakuan tentang pembunuhan Varun kepada pegawai polis Thomas. Malah Georgekutty menawarkan satu persetujuan untuk menyerahkan beberapa bukti penting.

    Georgekutty tahu rahsia gelap yang disimpannya selama bertahun-tahun bakal terbongkar. Demi melindungi keluarganya, dia mengambil satu langkah awal ke hadapan. Sebuah jalan cerita yang sudah lama ditulisnya....

Catat Ulasan for "DRISHYAM 2 : Filem Sekuel yang Sempurna "