Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SEBENAR DI SEBALIK FILEM RAHASYA DAN TALVAR

    Kedua-dua filem misteri thriller yang berjudul Rahasya (2015) dan Talvar (2015) ini adalah inspirasi daripada kisah pembunuhan sebenar yang berlaku ke atas Aarushi Talwar dan Hemraj Banjade di Nodia, India pada tahun 2008. Hingga sekarang, kes ini dianggap sebagai salah satu kes pembunuhan paling kontroversi di India disebabkan status kes yang masih tidak berpenghujung walaupun begitu banyak sudah teori telah dikemukakan oleh para penyiasat termasuklah media masa dan orang awam.

Keluarga Talvar

    Kisahnya bermula pada 16 Mei 2008 apabila Aarushi Talwar (13 tahun) iaitu anak kepada pasangan suami isteri yang juga merupakan doktor pergigian bernama Dr. Rajesh Talwar dan Dr. Nupur Talwar telah ditemui mati di dalam bilik tidurnya. Berdasarkan pemeriksaan terhadap mayat Aarushi mendapati terdapat kesan kelaran pada bahagian lehernya. Malah, dia juga dipercayai mati dibunuh pada malam sebelumnya. Pada masa sama, seorang lelaki pembantu rumah di rumah keluarga Talwar tersebut iaitu Hemraj Banjade (45 tahun) telah menghilangkan diri. Rentetan daripada perkara itu, dia telah disyaki sebagai suspek utama pembunuhan Aarushi. Namun apa yang berlaku kemudian adalah benar-benar mengejutkan di mana Hemraj turut ditemui pada keesokan harinya di bumbung rumah keluarga Talwar. Polis dikritik teruk kerana boleh terlepas pandang dalam hal pemeriksaan tempat kejadian sedemikian.

    Berikutan penemuan mayat Hemraj, maka Dr. Rajesh dan Dr. Nupur diyakini sebagai pembunuh kedua-dua mangsa. Mereka berdua didakwa ada berada di rumah bersama mangsa pada waktu malam kejadian. Kes ini telah mencetuskan pelbagai kontroversi hingga memaksa pihak berkuasa Central Bureau of Investigation (CBI) India untuk masuk campur.

Aarushi dan Hemraj

    Diringkaskan ceritanya iaitu pada tahun 2013, Dr. Rajesh dan Dr. Nupur didapati bersalah atas kesalahan membunuh Aarushi dan Hemraj lalu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Keputusan hukuman tersebut dibuat adalah berdasarkan pendakwaan pihak polis terhadap Dr. Rajesh yang didakwa telah membunuh anak perempuan dan pembantu rumahnya itu selepas menemui mereka berdua dalam keadaan sangat memalukan. Dakwaaan ini bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh pasangan Talwar tersebut. Mereka berdua menegaskan telah menjadi mangsa siasatan yang tidak adil serta dijadikan sebagai kambing hitam oleh pihak media. Tahun 2017, sabitan kes terhadap Dr. Rajesh dan Dr. Nupur digugurkan oleh mahkamah India susulab kekurangan bahan bukti forensik dan material yang kukuh. Mungkin satu kemenangan untuk Dr. Rajesh dan Dr. Nupur.

    Sudah lebih sedekad kes ini berlalu, namun ia masih kekal menjadi misteri yang menghantui negara India. Terlalu banyak persoalan yang timbul lagi membingungkan. Siapa gerangan suspek yang sebenar? Mengapa Aarushi dan Hemra dibunuh? Adakah benar Dr. Rajesh dan Dr. Nupur tidak bersalah atau sebaliknya? 

1 ulasan for "KISAH SEBENAR DI SEBALIK FILEM RAHASYA DAN TALVAR "