Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA COLEMAN : Demi Kekasih Gelapku

    Chris Coleman atau nama sebenarnya iaitu Christopher Coleman dilahirkan pada tarikh 20 Mac 1977. Bapanya adalah seorang menteri. Tamat sekolah menengah, Chris menyertai pasukan tentera laut Amerika Syarikat di mana waktu kemudiannya dia telah berkenalan dengan seorang wanita bernama Sheri yang juga merupakan seorang anggota tentera udara. Seterusnya, mereka berdua yang berkahwin pada tahun 1997 dikurniakan dua orang anak lelaki bernama Garret (lahir tahun 1998) dan Gavin (lahir tahun 2000).

    Selepas tamat perkhidmatan Chris dan Sheri sebagai tentera, mereka telah menetap di pekan Columbia, Monroe County, Illionis. Chris menyara keluarganya dengan menjadi pengawal peribadi untuk penceramah agama Kristian yang terkenal iaitu Joyce Meyer dengan kadar bayaran gaji sebanyak $100 000 setahun. Selain itu, Chris serta isterinya sering mengikut Joyce berceramah di serata dunia.

    Kisah sebenar bermula pada bulan November 2008 apabila Chris mula menerima e-mel berbaur ugutan menerusi kiriman seorang pengirim yang dikenali sebagai destroychris@gmail.com secara berterusan. Menerusi kandungan e-mel tersebut, Chris telah dikeji kerana bekerja untuk Joyce. Bahkan, Chris turut diugut bahawa anggota keluarganya akan dibunuh. Bukan setakat melalui e-mel, ugutan itu dijuga dibuat melalui kiriman surat. Begitu juga dengan Joyce. Dia menerima ugutan yang sama. Enggan berdiam diri, Chris telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Pada masa sama, ada seorang jiran rumah Chris bernama Justin Barlow telah memasang kamera pengawasan di rumahnya untuk mengintip pengirim surat ugutan itu. Harus diketahui bahawa Justin adalah seorang anggota polis. Usaha tersebut bagaimanapun tidak membuahkan sebarang hasil.

    Pada 5 Mei 2009 iaitu tepat jam 6.43 pagi, Justin telah menerima panggilan telefon daripada Chris yang ketika itu berada di gim. Chris meminta Justin untuk pergi memerika rumahnya berikutan Sheri yang gagal untuk dihubungi. Sebaik Justin memasuki rumah Chris, dia telah menemui mayat Sheri, Garrett dan Gavin di bilik tidur mereka dengan kesan cekikan pada bahagian leher. Dinding rumah Chris pula dipenuhi dengan tulisan cat merah. Jadi berdasarkan siasatan awal, berkemungkinan besar pelaku pembunuhan tersebut adalah orang yang sama mengirim e-mel dan surat ugutan kepada Chris.

    Pihak polis bagaimanapun mula mencurigai Chris selepas mendapati ada kesan cakaran pada lengannya. Kebetulan pula DNA Chris ditemui pada kuku Sheri. Ini menunjukkan Sheri dipercayai cuba untuk melawan balik saat-saat sebelum kematiannya. Paling tidak disangka, ada jiran yang ternampak Chris membuang pakaian serta mainan milik isteri dan anak-anaknya dalam keadaan tersenyum pada sehari selepas kejadian. Menerusi laporan forensik, Sheri dan anak-anaknya dibunuh pada sekitar masa tiga atau empat jam sebelum penemuan mayat mereka. Laporan itu sangat bercanggah sekali dengan keterangan Chris yang memberitahu bahawa Sheri masih hidup sewaktu dia keluar dari rumah pada waktu kejadian untuk pergi ke gim. Hasil semakan polis pada transaksi kad kredit milik Chris, dia didapati ada membuat pembelian beberapa buah tin cat merah pada beberapa hari sebelum kejadian. Perkara ini sekaligus memberi penjelasan tentang tulisan cat merah di rumah Chris.

Chris dan Tara

    Siasatan demi siasatan, satu demi satu kian terbongkar. E-mel dan surat ugutan yang diterima Chris sebelum ini sebenarnya telah ditulis oleh dia sendiri. Lagi mengejutkan, pihak polis juga menemui banyak video lucah di dalam komputernya. Ini termasuklah video Chris bersama kekasih gelapnya yang dikenalpasti sebagai Tara Lintz. Jangan terkejut, Tara merupakan kawan Sheri sejak dari kecil lagi. Chris dan Tara disyaki sudah menjalinkan hubungan sulit sejak bulan Ogos tahun 2008. Ya, inilah motif utama pembunuhan Sheri dan anak-anaknya. Chris telah berjanji untuk mengahwini Tara kerana saling mencintai antara satu sama lain. Janji kemudian ditagih oleh Tara lalu menyuruh Chris untuk bercerai dengan Sheri secepat yang mungkin. Biarpun didesak dan dipaksa oleh Tara, Chris berada dalam dilema atas reputasinya sebagai pekerja Joyce. Hal ini kerana Joyce sendiri dalam ucapannya sentiasa menekankan betapa pentingnya untuk menjaga keutuhan sesebuah rumah tangga. Joyce rela memecat anak buah serta pekerja yang melanggar pesanannya. Hinggalah satu ketika, Tara mengugut untuk meninggalkan Chris. Enggan kehilangan kerja serta tidak sanggup berpisah dengan Tara, maka Chris pun tekad untuk membunuh isteri dan zuriatnya sendiri. Tentang Tara, dia mendakwa langsung tidak tahu menahu tentang pembunuhan yang telah dilakukan oleh Chris.

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes Chris tahun 2011, dia yang didapati bersalah dalam pembunuhan itu telah dijatuhkan hukuman penjara seumur tanpa sebarang peluang parol.  

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA COLEMAN : Demi Kekasih Gelapku"

  1. Dasar jantan tak guna..dah ada ank bini pon masih curang lg..smpi sanggup bunuh ank bini sendiri..yg betina gatal tu pon satu hal..laki member sndiri pon dia nk kebas..semoga mereput la kau dalam penjara 😤

    BalasPadam