KISAH GRANT AMATO : Kerana Obses
Keluarga Amato |
Chad Amato adalah seorang ahli farmasi manakala isterinya pula iaitu Margaret bekerja sebagai pengurus operasi di sebuah syarikat swasta. Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga orang anak lelaki yang bernama Jason, Cody dan Grant di mana Jason merupakan anak angkat. Kehidupan keluarga Amato boleh dikatakan serba lengkap. Ada rumah besar, kereta mewah dan wang yang banyak.
Tentang Jason, dia telah meninggalkan rumahnya seawal usia 19 tahun untuk membina kehidupan sendiri. Sementara itu, Cody dan Jason pula begitu akrab sejak dari kecil lagi. Mereka berdua yang mempunyai minat serta hobi sama kerap untuk meluangkan masa bersama. Tamat sekolah menengah, Grant telah mengikut jejak langkah Cody untuk menyambung pelajaran di Universiti Central of Florida dalam bidang kejururawatan. Tahun 2011, Grant berjaya memperolehi ijazah.
Margaret dan Cody |
Pada tahun 2018, Grant yang sudah berusia 29 tahun waktu tersebut telah dipecat dari tempat hospitalnya bekerja kerana didapati telah mencuri ubat-ubatan. Perkara tersebut ternyata benar-benar mengecewakan Chad, Margaret dan Cody. Grant bagaimanapun bernasib apabila dakwaan kesnya itu kemudian digugurkan. Bermula dari sinilah, detik hitam untuk Grant. Dia menjadi seorang penganggur dengan tinggal di rumah ibu bapanya. Pada masa sama, Chad dan Margaret mendesak Grant secara berterusan untuk mencari pekerjaan. Desakan yang seumpama masuk telinga kanan, keluar telinga kiri Grant. Walaupun kerap dimarahi, Grant yang mengalami masalah kemurungan tetap diberikan wang perbelanjaan oleh kedua-dua orang tuanya termasuk Cody.
Dari kiri : Chad, Cody, Margaret dan Grant |
Grant sebenarnya mempunyai angan-angan untuk menjadi streamer permainan video yang berjaya. Disebabkan itu, dia banyak menghabiskan masanya untuk mengadap komputer. Hinggalah suatu ketika, Grant telah melayari sebuah laman web lucah. Di laman web lucah tersebut, dia mula berkenalan dengan seorang wanita seksi dari negara Bulgaria yang bernama Silvie. Lama-kelamaan, Grant semakin obses dengan keseksian serta aksi ghairah lagi menggiurkan daripada Silvie. Harus diketahui, Grant menonton aksi Silvie bukan secara percuma. Ada kadar bayarannya iaitu sebanyak $600 untuk sejam. Pernah sekali, Grant menghabiskan wang sebanyak $20 000 semalam hanya semata-mata untuk Silvie. Bagi memikat Silvie, Grant juga telah melakukan pembohongan dengan dakwaan kononnya dia adalah seorang streamer permainan video yang mempunyai kereta serta rumah besar.
Sampai satu masa, Chad, Margaret dan Cody menerima tunggakan hutang kad kredit dengan nilai keseluruhannya yang dianggarkan berjumlah sebanyak $150 000. Semuanya adalah angkara Grant hanya untuk Silvie, wanita yang dia tidak pernah temui pun di dunia nyata. Waktu ini, keluarga Amato masih tidak mengetahui tentang Silvie. Disebabkan rasa sayang dan simpati, Cody telah membawa Grant pergi bercuti ke Jepun pada bulan Disember 2018 dengan harapan adiknya itu berubah sikap. Walau bagaimanapun, Grant tetap membuat perangai di Jepun dengan mencuri kad kredit milik seorang rakan kepada Cody yang turut serta dalam percutian. Sama seperti sebelumnya, Grant mencuri adalah kerana untuk menonton aksi Silvie. Cody dengan muka tebal terpaksa meminta maaf dengan rakannya tentang kecurian yang telah dilakukan oleh Grant.
Grant dan Cody |
Masalahnya, Grant tidak pernah insaf. Rasa obsesnya dengan Silvie seakan sukar untuk diubati. Dia sekali lagi mencemarkan nama baik keluarganya apabila mencuri ratusan dollar menerusi kad kredit milik ibu saudaranya. Chad yang sudah tidak dapat bersabar dengan telah tekad untuk menghantar Grant ke klinik rehabilitasi bagi tujuan pemulihan. Rawatan pemulihan yang bakal berjalan selama 60 hari tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Cody dengan kos sebanyak $15 000. Sepanjang keberadaan Grant di klinik rehabilitasi itu, Chad dan Cody melakukan pemeriksaan terhadap komputer Grant. Mereka berdua yang kemudian mengetahui tentang perkara sebenar telah mendedahkan segala-segalanya kepada Silvie. Ini termasuklah tentang pembohongan Grant yang kononnya sebagai streamer kaya-raya.
Baru dua minggu menerima rawatan, Grant telah keluar dari klinik rehabiliti kerana mendakwa dirinya sudah kembali pulih seperti sediakala. Chad yang kali ini semakin tegas memberi amaran keras kepada Grant untuk tidak mengulangi tabiat mencurinya. Grant dibenarkan untuk tinggal bersama dengan syarat dia sudah lagi tidak mempunyai sebarang akses internet dan harus mencari pekerjaan bagi melunaskan semua hutangnya. Ingkar arahan, maka Grant diminta untuk keluar dari rumah. Mengecewakan Chad sebaik mendapat tahu anak bongsunya itu tidak pernah serik. Tanggal 24 Januari, Grant dihalau oleh Chad selepas didapati masih berhubungan dengan Silvie menerusi laman Twitter dengan menggunakan telefon milik ibunya. Waktu sebelumnya, Grant berasa marah selepas statusnya sebagai penganggur sudah pun diketahui oleh Silvie berikutan pendedahan yang dibuat oleh Chad dan Cody.
25 Januari 2019, pihak polis telah menerima satu panggilan kecemasan daripada rakan sekerja Cody. Menerusi panggilan tersebut, Cody yang gagal untuk dihubungi dilaporkan tidak datang bekerja. Bertindak atas maklumat itu, pihak polis seterusnya melakukan pemeriksaan di rumah keluarga Amato. Mengejutkan apabila Chad, Margaret dan Cody telah ditemui mati dipercayai akibat tembakan senjata api. Mayat Chad ditemui di ruang dapur, mayat Margaret di dalam bilik pejabat manakala mayat Cody terbaring berdekatan dengan pintu garaj. Berdasarkan pemeriksaan asal, Cody dipercayai sebagai pembunuh dengan teorinya dia menembak mati Chad dan Margaret sebelum melepaskan tembakan terhadap dirinya sendiri. Namun selepas siasatan lanjut dilakukan, ketiga-tiga mangsa dipercayai telah mati dibunuh.
Berkenaan dengan Grant, dia berjaya ditangkap oleh pihak polis pada keesokan harinya dalam satu serbuan di sebuah hotel yang terletak di Orange, County. Sewaktu sesi soal siasat, Grant menceritakan segala masalah termasuklah tentang hubungannya dengan Silvie. Walau bagaimanapun, dia menafikan sebarang penglibatannya dalam insiden pembunuhan keluarganya. Grant mendakwa Chad, Margaret dan Cody masih lagi hidup sewaktu dia keluar dari rumah. Ya, mungkin benar kenyataan Grant. Lagipun, tiada sebarang bukti forenski untuk mengaitkannya dengan pembunuhan tersebut. Jason turut dibawa masuk ke dalam bilik soal siasat untuk bersemuka dengan Grant dengan harapan adiknya itu akan membuat pengakuan. Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku apabila Grant kekal dengan pendiriannya bahawa dia bukan seorang pembunuh. Menerusi laporan bedah siasat, Margaret yang disyaki sebagai mangsa terawal telah ditembak dari arah belakang sewaktu sedang bersendirian di rumah. Chad dan Cody menerima nasib sama selepas masing-masing pulang dari bekerja.
Grant (Gambar kiri : Silvie) |
Grant yang berada dalam tahanan akhirnya menerima tiga pertuduhan membunuh. Selepas melakukan pembunuhan, Grant didakwa menghapuskan semua bukti yang sedia ada serta pada masa sama sempat lagi mencuri kad kredit milik semua orang anggota keluarganya untuk berhubung dengan Silvie. Sewaktu perbicaraan kes, Grant dilaporkan tidak memberikan sebarang reaksi seolah-olah tiada sebarang tanda penyesalan dalam dirinya.Apabila ditunjukkan gambar Silvie, dia nampak begitu teruja. Biarpun Grant mengaku tidak bersalah, dia telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang parol. Hingga pada hari ini, Grant kekal dengan pendirian tidak bersalah atas kematian Chad, Margaret dan Cody.
Berkenaan dengan Silvie, kurang maklumat jelas tentang dirinya. Tidak dapat dipastikan samada nama Silvie itu adalah nama sebenar atau sekadar nama samarannya sahaja.
Psl apa la negara dorg ni xde hukum gantung bg pembunuh cmni..dok tahan dalam pnjara buat apa..family bagi madu dia balas dgn tuba..sakit hati la😤
BalasPadam