KISAH PEMBUNUHAN JESSICA PATEL : Aku Bukan Suami Sejati
Jessica Patel adalah seorang wanita berketurunan India yang menetap di England. Dia yang juga merupakan anak sulung dikatakan sebagai seorang yang baik hati, mudah mesra dan begitu disenangi oleh orang di sekelilingnya. Tahun 2006, Jessica telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang farmasi di Universiti Manchester. Di universiti itu, dia kemudian menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Mitesh Patel. Mereka berdua akhirnya berkahwin pada tahun 2009 secara besar-besaran di rumah Jessica yang terletak di Leeds. Jessica berasa sangat gembira kerana sememangnya mengimpikan untuk mempunyai keluarga sendiri.
Selepas berkahwin, Mitesh dan Jessica tinggal di Linthorpe,
Middlesbrough. Pasangan itu juga telah membuka perniagaan farmasi yang jaraknya
hanya 3 kilometer dari rumah mereka. Biarpun hidup senang lenang, Jessica
berasa sedih kerana tidak dapat memberikan Mitesh zuriat. Dia teringin
memberikan cucu pertama kepada ibu bapanya memandangkan dia adalah anak sulung.
Setelah pelbagai usaha yang dilakukannya untuk hamil menemui kegagalan, Jessica
membuat keputusan untuk memulakan proses IVF.
Sepanjang perkahwinannya bersama Mitesh, Jessica tidak pernah berasa bahagia. Dia sering mengadu dengan adik perempuan dan sepupunya tentang sikap Mitesh yang panas baran dan suka mengongkong. Pernah sekali, Mitesh tidak membenarkan Jessica untuk melawat neneknya yang sudah berada dalam keadaan tenat. Ada kalanya, Jessica kerap dipukul oleh Mitesh hanya untuk sebab yang remeh temeh. Selain itu, Mitesh juga adalah seorang yang terlampau berahsia. Contoh yang paling jelas, dia enggan untuk berkongsi kata laluan telefonnya dengan Jessica. Sewaktu bercuti, Mitesh dilihat gemar menghabiskan masanya bersembang dengan lelaki lain menerusi panggilan telefon. Paling menyedihkan Jessica, dia pernah diugut bercerai oleh Mitesh hanya kerana dirinya tidak dapat hamil. Jessica benar-benar kecewa dengan perkara itu sedangkan Mitesh pun sudah lama tidak menyentuhnya. Sampai satu tahap, Jessica terpaksa mengambil ubat anti kemurungan bagi menenangkan dirinya.
Berbalik dengan cerita proses IVF Jessica, dia telah gagal
sebanyak tiga kali. Kegagalan yang menyebabkan Jessica menderita gangguan
kegelisahan dan serangan panik. Hinggalah pada awal bulan Mei 2018, Jessica
yang tidak pernah berputus asa telah menerima perkhabaran menggembirakan
apabila dikhabarkan bahawa proses IVF nya yang keempat berjaya. Dia bakal
menjadi seorang ibu. Walau bagaimanapun, kegembiraan tersebut tidak
berpanjangan apabila Jessica telah ditemui mati di rumahnya pada malam Isnin
bertarikh 14 Mei 2018. Jam 8.24 malam, pihak polis menerima panggilan kecemasan
daripada Mitesh yang menangis teresak-esak memberitahu Jessica sudah pun mati
berkemungkinan besar akibat menjadi serangan bermotif rompakan. Setibanya pihak
polis tiba di lokasi kejadian, mayat Jessica didapati dalam keadaan mulut
dilekat dengan pita pelekat manakala kedua-dua tangan serta kali pula terikat.
Punca kematiannya dipercayai akibat dicekik. Berdasarkan pemeriksaan bukti
forensik, rumah sangat berselerak tetapi tiada sebarang tanda pecah masuk,
tiada barangang berharga hilang dan tiada DNA orang asing.
Menerusi keterangan yang diberikan oleh Mitesh iaitu sewaktu hari kejadian itu, dia telah keluar dari rumahnya pada awal pagi untuk pergi bermain gim. Selesai bermain gim, dia pergi membeli pizza sebelum pulang ke rumah lalu menemui mayat Jessica. Disebabkan berasa curiga dengan Mitesh, pihak polis menyiasat dengan lebih lanjut. Hasilnya, mereka telah menemui fail rakaman kamera litar tertutup di rumah Mitesh yang cuba untuk dipadamnya. Selepas rakaman tersebut diperiksa dengan begitu diteliti, ternyata ada percanggahan dalam keterangan Mitesh. Memang benar Mitesh keluar dari rumahnya untuk pergi ke gim. Namun dia pulang pada ke rumah pada 3.30 petang sebelum keluar semula bagi membeli pizza pada jam 7.42 malam. Pemeriksaan pada komputer dan telefon Mitesh juga menunjukkan dia ada melakukan carian Google tentang cara pembunuhan seorang isteri. Malah dia juga beberapa kali sempat memeriksa jumlah insurans yang bakal diterimanya akibat kematian Jessica. Jumlah insurans nyawa Jessica tersebut dianggarkan bernilai sekitar 2 juta Pound Sterling. Maka Mitesh akhirnya ditangkap pada 17 Mei 2018 kerana disyaki membunuh isterinya sendiri. Cara pembunuhan Jessica telah ditekup dengan menggunakan beg plastik Tesco terlebih dahulu sebelum akhirnya dicekik sampai mati.
Penangkapan Mitesh ternyata benar-benar mengejutkan keluarga Jessica. Manakan tidak, waktu sebelumnya dia dilihat seolah-olah tidak menerima hakikat berhubung dengan kematian Jessica. Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada Jessica yang akhirnya mengetahui bahawa Mitesh bukan lelaki sejati. Kisah sebenarnya adalah Mitesh berkahwin dengan Jessica adalah kerana ingin menyembunyikan status orientasi seksualnya sebagai lelaki gay. Harus diketahui, Mitesh ada mengambil ubat-ubatan untuk mengurangkan kuantiti spermanya. Sejak dari awal perkahwinan, Mitesh sebenarnya telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki India yang dikenali menerusi aplikasi Grindr iaitu Dr. Amit Patel. Tahun 2016, kekasih Mitesh itu telah berhijrah ke negara Australia. Paling tidak disangka, Mitesh ada berniat untuk tinggal bersama dengan Amit dengan membawa sekali anak Jessica selepas kelahirannya kelak.
Berhubung dengan keputusan pebicaraan kes, Mitesh Patel telah didapati bersalah atas pertuduhan membunuh Jessica. Akibat itu, dia menerima hukuman penjara untuk seumur hidup dengan jangka minimum selama 30 tahun.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN JESSICA PATEL : Aku Bukan Suami Sejati "