KISAH JULIANE KOEPCKE: "Survival" dalam Hutan Amazon
Keluarga Koepcke |
Juliane Koepcke dilahirkan pada 10 Oktober 1954 di Lima,
Peru. Dia adalah anak tunggal kepada pasangan Hans-Wilhelm Koepcke dan Maria
Koepcke. Ibu bapa Juliane yang berasal dari negara Jerman itu bekerja sebagai
ahli biologi untuk sebuah muzium di Peru.
Kisah sebenar bermula pada 24 Disember 1971. Juliane dan
Maria merancang untuk pergi melawat Hans yang ketika itu berada Pucallpa atas
urusan kerja. Disebabkan hampir semua pesawat penerbangan waktu tersebut telah pun
penuh, Juliane dan Maria pun membuat keputusan untuk menaiki Lansa FLIGHT 508 biarpun
sudah dipesan oleh Hans supaya tidak sesekali menaiki pesawat terbabit yang
dilaporkan kerap mengalami pelbagai masalah. 25 minit selepas penerbangan itu,
cuaca semakin memburuk dengan dilanda ribut petir. Apa yang berlaku kemudian, Lansa
FLIGHT 508 terhempas di kawasan hutan berbahaya Amazon.
Keajaiban berlaku apabila Juliane yang berusia 17 tahun
telah terselamat. Dia bagaimanapun sukar untuk bergerak berikutan mengalami
kecederaan yang agak teruk pada bahagian tangan serta patah tulang. Menyedari
bahaya yang bakal menanti seperti serangan binatang liar, Juliane yang
bersendirian berusaha sedaya upayanya untuk bangun. Dia tahu tiada siapa yang
boleh menyelamatkannya waktu tersebut melainkan dirinya sendiri.Setengah hari
berlalu, Juliane berjaya untuk bangun berdiri biarpun terpaksa menanggung
kesakitan. Seperkara yang perlu diketahui iaitu sewaktu Juliane berusia 14
tahun, dia pernah belajar daripada ibu bapanya tentang cara asas untuk hidup
bertahan di dalam hutan.
Selepas bangun, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran
Juliane adalah untuk pergi mencari ibunya. Setelah puas mencari, usaha pencarian
Juliane gagal membuahkan sebarang hasil. Dia pasrah namun pada masa sama Juliane
tidak berputus asa untuk mendapatkan pertolongan walaupun badannya semakin
lemah kerana kelaparan. Hari keempat kejadian, Juliane telah menemui tiga mayat
penumpang pesawat yang masih terikat pada kerusi. Dia yang kemudian melakukan
pemeriksaan menjumpai bungkusan gula-gula milik salah satu daripada mayat
tersebut sekaligus dijadikan sebagai sumber tenaganya. Selain itu, Juliane juga
menghilangkan rasa dahaganya dengan menjilat embun pada daun. Bayangkanlah,
bersendirian dalam sebuah hutan yang menjadi habitat pelbagai jenis binatang
liar dan tumbuhan beracun.
Hinggalah satu ketika, Juliane teringat pesanan bapanya yang pernah memberitahu untuk mengikut aliran anak sungai ke hilir sekiranya berada dalam situasi sesat dalam hutan. Melalui cara ini, pemukiman manusia pasti dapat ditemui. Jadi, Juliane yang hanya berkaki ayam pun meredah kawasan sungai yang dipenuhi dengan buaya ganas. Sekali lagi, dia bernasib baik kerana tidak diserang oleh buaya. Pengembaraan yang sememangnya begitu luar biasa.
Hari kesepuluh, Juliane telah terlihat sebuah
perahu. Pada mulanya, dia beranggapan semua itu adalah sekadar khayalan kerana
keadaannya yang semakin lemah. Hanya selepas menyentuh perahu tersebut, barulah
Juliane sedar bahawa dia masih berada dalam dunia realiti. Tidak lama selepas
penemuan perahu itu, Juliane ternampak pula sebuah pondok yang terletak hanya
beberapa meter daripadanya. Seperti sebelumnya, dia menyangka dirinya sedang berhalusinasi.
Namun selepas merangkak selama setengah hari, Juliane berjaya sampai juga ke
pondok yang tidak berpenghuni tersebut.
Keesokan harinya, Juliane telah ditemui oleh tiga orang
lelaki penebang pokok yang juga merupakan pemilik pondok itu. Menerusi bantuan
yang diberikan oleh mereka bertiga, Juliane bergegas dibawakan ke hospital
tempatan bagi rawatan lanjut. Juliane akhirnya kembali pulih dan bertemu semula
dengan bapanya. Juliane diberitahu bahawa dia adalah satu-satunya mangsa
pesawat LANSA Flight 508 yang terselamat. Cuma apa yang paling menyedihkan
Juliane adalah fakta bahawa ibunya turut terselamat sejurus selepas pesawat
terhempas. Walau bagaimanapun, ibu Juliane meninggal dunia selepas beberapa hari
bertarung nyawa di hospital. Mendengari perkara itu, Juliane benar-benar kesal
kerana tidak mencari ibunya secara berterusan. Kekesalan yang telah membelenggu
emosi Juliane selama bertahun-tahun. Selepas kejadian, Juliane kembali ke
Jerman untuk melanjutkan pelajaran dan kemudian mengikut jejak langkah ibu
bapanya untuk menjadi ahli biologi.
Pada tahun 1998, terbitnya sebuah filem dokumentari berjudul Wings of Hope yang mengisahkan tentang pengembaraan menakjubkan Juliane di hutan Amazon. Pengarah dokumentari ini adalah Werner Herzog di mana dia merupakan salah seorang penumpang yang sekapal dengan Juliane dan Maria pada hari kejadian pesawat terhempas. Nasib menyebelahi Werner kerana dia telah membatalkan untuk menaiki penerbangan pada saat-saat akhir.
Catat Ulasan for "KISAH JULIANE KOEPCKE: "Survival" dalam Hutan Amazon"