Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN MIKE WILLIAMS : Pengkhianatan Isteri dan Sahabat

 Jerry Michael Williams

    Mike Williams atau nama sebenarnya iaitu Jerry Michael Williams dilahirkan pada 16 Oktober 1969 di Bradfordville, Florida. Bapa Mike merupakan seorang pemandu bas manakala ibunya pula adalah seorang pengasuh. Selain itu, Mike juga mempunyai seorang abang yang bernama Nick. Mereka sekeluarga tinggal di sebuah rumah jenis trailer. Bagusnya tentang Mike dan Nick, dua beradik itu sanggup bekerja sambilan di sebuah pasar raya pada waktu malam bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa mereka. 

    Sewaktu bersekolah menengah, Mike menjadi salah seorang pelajar popular atas reputasinya sebagai pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan sukan. Dia juga telah menjalinkan hubungan dengan seorang pelajar perempuan cantik bernama Denise. Tamat sekolah menengah, Mike seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Florida State. Selepas menamatkan pengajian di universiti, Mike kemudian bekerja sebagai penilai hartanah. 

    Tahun 1994, Mike telah berkahwin dengan Denise. Lima tahun berikutnya, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan yang juga merupakan satu-satunya anak mereka. Pada awalnya, kehidupan Mike bersama keluarganya sangat bahagia. Dia dikatakan sebagai seorang suami serta bapa yang baik. Malah Mike juga bekerja keras siang malam untuk kesenangan isteri dan anaknya. Usahanya ternyata berbaloi apabila dia berjaya memgumpul banyak wang dan membeli sebuah rumah yang besar dan selesa untuk didiami mereka sekeluarga. 

Mike dan Denise

    Pada pagi 6 Disember 2000, Mike telah keluar dari rumahnya untuk pergi memburu itik di sekitar kawasan tasik Seminole. Namun setelah seharian memburu, Mike langsung tidak pulang ke rumah. Hal itu menyebabkan Denise terpaksa untuk menghubungi bapanya sebelum mereka bertindak pergi ke tasik berkenaan bagi mencari Mike. Apa yang ditemui kemudian hanyalah kereta, bot dan beberapa peralatan memburu milik Mike. 

    Biarpun operasi pencarian Mike telah dijalankan oleh pihak berkuasa secara besar-besaran di kawasan tasik itu, tiada satu penemuan penting pun yang berjaya dibuat. Berdasarkan teori awal yang dikemukakan oleh pasukan penyiasat, Mike berkemungkinan besar telah terjatuh dari bot lalu dimakan oleh buaya. Walau bagaimanapun, teori tersebut dibantah oleh ibu Mike iaitu Cheryl Williams kerana terdapat banyak lompong. Ini termasuklah fakta waktu kejadian adalah musim sejuk kerana secara lazimnya buaya tidak akan menyerang mangsa pada musim sebegini. Seperkara lagi iaitu jika benar-benar Mike diserang buaya, mengapa serpihan mayatnya gagal untuk ditemui? Bukankah buaya akan menggigit mangsanya dan bukan menelan secara terus?

    Hanya selepas enam bulan kejadian, pasukan pencarian telah menemui baju kalis air dan jaket mengandungi lesen memburu milik Mike yang masih berada dalam keadaan elok di lokasi kejadian. Selepas penemuan bukti tersebut, Denise memfailkan tuntutan supaya Mike diisytiharkan mati akibat lemas. Tuntutannya itu berjaya sekaligus membolehkan Denise menerima wang pampasan insurans nyawa Mike yang dianggarkan bernilai AS$1.75 juta. Harus diketahui iaitu sebelum waktu kehilangan Mike, dia telah mengambil insurans nyawa melalui seorang lelaki ejen insurans bernama Brian Winchester yang juga merupakan rakan baiknya sejak dari sekolah menengah. Cuma apa yang benar-benar mengejutkan, Brian telah berkahwin dengan Denise pada beberapa tahun selepas kematian Mike. Pasukan penyiasat termasuklah Cheryl sememangnya mengesyaki bahawa Denise dan Brian mempunyai kaitan dengan kematian Mike. Malangnya, perkara tersebut tidak dapat untuk dibuktikan dengan kukuh.

Cheryl Williams

    Sementara itu, Cheryl tidak pernah berputus asa untuk merungkai persoalan sebenar apa yang telah berlaku terhadap anaknya. Kasih seorang ibu hingga akhir hayat. Selama bertahun-tahun, dia telah menggesa dan menekan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut secara berterusan. Cheryl percaya Mike bukannya mati lemas seperti yang telah dicanangkan. Paling menyentuh jiwa, Cheryl sanggup turun ke jalanan memegang sepanduk untuk menguar-uarkan tentang kes anaknya. 

    Hinggalah tahun 2012, Brian dilaporkan telah berpisah dengan Denise. Bekas isteri Mike itu menuntut cerai kerana dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Beberapa tahun selepas perpisahan tersebut, Brian yang enggan untuk bercerai telah ditahan oleh pihak polis atas kesalahan melakukan serangan serta penculikan terhadap Denise. Menyedari dia bakal menerima hukuman penjara selama 20 tahun, Brian akhirnya membuka mulut tentang kematian Mike sebelum ini. Brian bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dengan syarat dia mendapat imuniti dalam kes Mike. 

    Menurut keterangan Brian, dia dan Denise telah menjalinkan hubungan sulit sejak dari sebelum kehilangan Mike lagi. Denise enggan untuk bercerai dengan Mike kerana tidak mahu berkongsi hak penjagaan anak. Disebabkan itu, Denise telah menyuruh Brian untuk membunuh Mike. Semasa hari kejadian, Brian sebenarnya pergi berburu bersama Mike sebelum dia menolak rakan baiknya itu ke dalam tasik lalu melepaskan tembakan pada bahagian kepala. Mayat Mike kemudian telah ditanam oleh Brian di kawasan lain. Susulan pendedahan Brian tersebut, pihak berkuasa bergegas ke lokasi terbabit dan berjaya menemui satu mayat manusia yang disahkan sebagai Mike. 

Denise dan Brian

    Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes Mike pada tahun 2019, Denise yang berusia 49 tahun telah didapati bersalah sebagai dalang utama pembunuhan. Dia menerima hukuman penjara untuk seumur hidup manakala Brian pula dihukum penjara selama 20 tahun atas kesalahannya menculik Denise. Penantian Cheryl selama hampir dua dekad tidak sia-sia. Jauh di sudut hatinya, dia bersyukur kerana segala persoalan yang berlegar di fikirannya selama ini telah terjawab.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN MIKE WILLIAMS : Pengkhianatan Isteri dan Sahabat"

  1. Sepandai² tupai melompat..tak guna punya pompuan..dapat suami baik pon tak reti bersyukur..semoga mereput dalam penjara..

    BalasPadam