KISAH PEMBUNUHAN SHEENA BORA : Penipuan dan Konspirasi Seorang Ibu
Indrani |
Indrani atau Pori Bora dilahirkan pada 22 November 1972
dilahirkan di Guwahati, Assam, India. Dia yang berasal daripada keluarga
sederhana dikatakan sebagai seorang pelajar bijak di sekolahnya. Menjejaki usia
remaja, dia telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki bernama Siddharta
Das di mana waktu kemudiannya mereka berdua mempunyai dua orang anak luar nikah
iaitu Sheena (1987) dan Mikhail (1988).
Pada tahun 1989, Indrani membuat keputusan untuk berhijrah
ke Shilllong bagi merealisasikan impiannya menjadi usahawan yang berjaya. Demi
mencapai impian itu, dia rela untuk tinggal berjauhan dengan suami dan
anak-anaknya. Biarpun Indrani kemudian mendapat pekerjaan di sebuah syarikat,
dia secara tiba-tiba telah bertindak untuk memutuskan hubungan dengan Siddharta.
Malah Indrani menyerahkan segala urusan penjagaan Sheena dan Mikhail kepada ibu
bapanya kerana enggan lagi untuk mengambil tahu tentang mereka.
Dari kiri : Mikhail, Indrani, Sheena |
Seterusnya, Indrani berpindah ke Kolkata. Dia yang kian berpenampilan elegan telah menubuhkan sebuah syarikat kecil dinamakan sebagai Inx Services. Selepas penubuhan syarikat tersebut, Indrani kerap menghadiri pesta golongan elit bagi meluaskan pengaruhnya. Hinggalah satu hari, dia telah berkenalan dengan seorang ahli perniagaan kaya bernama Sanjeev Khanna. Tahun 1993, Sanjeev pun mengahwini Indrani. Empat tahun berikutnya, mereka berdua telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Vidhie. Perkahwinan Sanjeev dan Indrani bagaimanapun tidak berkekalan lama apabila pasangan tersebut bercerai pada tahun 2002.
Selepas penceraiannya dengan Sanjeev, Indrani berhijrah pula
ke Mumbai yakni bandar paling terbesar di negara India. Sama seperti
sebelumnya, Indrani rajin datang ke pesta yang rata-rata dihadiri oleh orang
kenamaan. Kali ini dia berkenalan pula dengan Peter Mukerjea, duda kaya anak
dua yang memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk syarikat media
STAR India. Indrani telah berkahwin dengan Peter pada tahun yang sama
penceraiannya dengan Sanjeev. Seperkara perlu diketahui pada waktu awal
perkahwinan ini, Indrani menyembunyikan status sebenarnya yang mempunyai dua
orang anak luar nikah daripada pengetahuan Peter. Dia bimbang perkara itu akan
menjejaskan reputasinya sebagai usahawan terkenal.
Peter dan Indrani |
Berita perkahwinan Indrani telah sampai ke telinga ibu bapanya yang berada di kampung. Sudah bertahun-tahun Indrani tidak menghubungi mereka apatah lagi bertanya tentang perkhabaran Sheena dan Mikhail. Menyedari Indrani yang kini sangat berharta, bapa Indrani telah menghubunginya bagi meminta bantuan kewangan termasuklah pembiayaan pendidikan Sheena dan Mikhail. Indrani bersetuju lalu menghantar Mikhail untuk belajar di luar negara manakala Sheena pula dibawa untuk tinggal sekali bersamanya. Cuma ada satu syarat keras untuk Sheena. Dia dipaksa oleh Indrani untuk diperkenalkan sebagai adik tiri, bukan anak kandung. Kedatangan Sheena kemudian disambut baik oleh Peter dan Vidhie.
Pada tahun 2008, Rahul Mukerjea iaitu anak Peter telah
datang melawat ke rumah bapanya sekaligus membawa kepada perkenalan dengan
Sheena. Mereka berdua yang kemudian saling jatuh hati akhirnya menjalinkan
hubungan serius sebagai pasangan kekasih. Hubungan Rahul dan Sheena tersebut
bagaimanapun ditentang oleh keras oleh Indrani. Lebih-lebih lagi apabila
Indrani mendapat tahu bahawa Sheena telah memungkiri janji dengan memberitahu
Rahul tentang ideniti sebenarnya. Rentetan itu, Sheena menerima ugutan daripada
Indrani berhubung dengan pemberian harta. Ugutan Indrani tersebut termasuklah
untuk mewasiatkan segala hartanya kepada Vidhie. Sheena yang enggan mengalah
telah bertindak balas dengan mengugut Indrani untuk mendedahkan segala-galanya
kepada orang ramai. Waktu ini, Peter sudah pun mengetahui tentang status Sheena
sebagai anak kandung Indrani.
Rahul dan Sheena |
Bulan Oktober 2011, Rahul telah bertunang dengan Sheena. Indrani yang kini sudah bergelar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk Syarikat Inx Media yang ditubuhkan bersama Peter menyedari Sheena kini menjadi ancaman sebenar dalam hidupnya. Maka pada 24 April 2012, Indrani telah menjemput Sheena untuk makan malam bersama. Keesokan harinya, Sheena gagal untuk dikesan. Berkali-kali Rahul cuba menghubungi tunangnya itu namun tiada sebarang maklum balas. Hinggalah satu masa, Rahul menerima kiriman teks mesej daripada Sheena yang tiba-tiba meminta untuk memutuskan hubungan kerana sudah mempunyai lelaki lain. Rahul tidak berpuas hati lalu cuba menuntut penjelasan daripada Indrani sebagai individu terakhir yang dilihat bersama Sheena. Sukar untuk dipercayai Rahul apabila Indrani memberitahunya bahawa Sheena sudah pergi ke Amerika Syarikat bersama teman lelaki baru yang lebih kaya. Walaupun Rahul dan Mikhail telah membuat laporan polis tentang kehilangan Sheena, pihak polis tidak melakukan siasatan lanjut kerana mereka percaya hal itu lebih berbaur kepada hal peribadi. 23 Mei 2012, penduduk setempat di perkampungan Gagode Budruk telah terhidu satu bau busuk yang datang dari dalam kawasan hutan. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka telah menemui satu mayat manusia tidak sempurna yang gagal untuk dikenalpasti identitinya.
Hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, tahun
demi tahun berlalu. Sehinggalah tahun 2015, pihak polis mula melakukan
pengintipan terhadap lelaki pemandu kereta yang bekerja untuk Indrani iaitu
Shyamvar Sai. Pengintipan tersebut dibuat selepas pihak polis menerima maklumat
penting daripada seorang individu tidak dikenali. Shyamvar seterusnya ditahan
kerana memilki pistol secara haram. Berdasarkan siasatan lanjut, Shyamvar
membuat pengakuan membunuh Sheena dengan cara cekikan. Sudah diduga sama sekali
apabila Shyamvar mendedahkan Indrani adalah dalang utama pembunuhan. Seorang
lagi yang didapati bersubahat adalah Sanjeev, bekas suami Indrani yang berasa
risau Vidhie tidak akan memperolehi sebarang harta daripada Indrani. Menurut Shyamvar
lagi, Sheena yang menaiki kereta bersama mereka bertiga pada hari kejadian
telah diberikan ubat tidur sebelum dicekik lalu dibakar mayatnya. Sesudah
dibakar, mayat Sheena pun dibuang ke dalam hutan. Menerusi analisis forensik,
pihak polis berjaya mengesahkan mayat yang ditemui di Gagode Budruk tahun 2012
sebelum ini adalah sah sebagai Sheena Bora.
Dari kiri : Indrani. Sanjeev dan Peter |
Kesudahan cerita, Indrani dan Sanjeev akhirnya telah ditangkap oleh pihak polis. Begitu juga dengan Peter yang disyaki mengetahui tentang pembunuhan itu. Malah dia turut menerima pertuduhan penyelewengan wang syarikat Inx Media yang dipindahkan ke akaun bank HSBC di Singapura atas nama Sheena Bora. Sementara itu, Shyam yang diletakkan di bawah penjagaan pihak CBI telah ditukarkan statusnya sebagai saksi utama pihak pendakwaan. Berkenaan dengan hubungan Peter dan Indrani, mereka berdua sah bercerai dalam penjara pada tahun 2018. Perbicaraan kes pembunuhan Sheena Bora yang menggegarkan negara India ini masih lagi berjalan.
Banyak watak dalam kisah ni..tapi yang paling teruk bila seorang mak tergamak menyuruh orang membunuh anak kandungnya sendiri demi nama dan harta..akhirnya sampai ke mati la hidup dia tak bahagia..so sad..
BalasPadam