KISAH PEMBUNUHAN TIA SHARP : Cucuku dalam Loteng
Tia Sharp |
Tia Sharp atau nama sebenarnya Tia Christine Sharp dilahirkan
pada 30 Jun 2000 di Croydon, London. Dia dikatakan seorang budak perempuan yang
baik, periang, ringan tulang, pandai berjenaka dan begitu disenangi oleh
rakan-rakan di sekelilingnya. Tia juga adalah seorang pelajar sekolah yang
bijak tetapi rekod kehadirannya ke sekolah dilapor kurang memuaskan.
Ibu bapa Tia sudah berpisah sejak dia dari bayi lagi.
Sewaktu Tia berusia 2 tahun, ibunya iaitu Natalie Sharp telah menjalinkan
hubungan dengan seorang lelaki yang bernama Stuart Hazell. Hubungan tersebut bagaimanapun
hanya mampu bertahan selama dua minggu. Namun apa yang berlaku kemudian adalah
Stuart bercinta pula dengan ibu Natalie, Christine Sharp. Nenek Tia itu berusia
10 tahun lebih tua daripada Stuart yang lahir pada tahun 1975.
Stuart Hazell |
Hubungan antara Stuart dan Christine kekal utuh selama bertahun-tahun. Maka tidak hairanlah Tia telah menjadi rapat dengan Stuart yang sudah dianggap seperti datuknya sendiri. Malah, Tia kerap datang berkunjung ke rumah Christine untuk meluangkan bersama Stuart. Seperkara yang perlu diketahui, Stuart sebenarnya mempunyai rekod buruk beberapa kali keluar masuk penjara atas kesalahan jenayah.
Pada 2 Ogos 2012, Tia yang sudah pun berusia 12 tahun ketika
itu telah pergi ke rumah Christine. Dia merancang untuk tinggal di sana selama
beberapa hari. Walau bagaimanapun, Christine tiada di rumah seperti
kebiasaannya kerana keluar pergi bekerja. Hanya Stuart yang ada di rumah
Christine pada waktu tersebut. Tiada masalah untuk Tia apabila dia dan Stuart
kemudian telah pergi ke pasar raya bagi membeli beberapa barangan keperluan.
Keesokan harinya, Stuart bersama Natalie dan Christine telah membuat laporan polis berkaitan dengan kehilangan mengejut Tia. Mereka bertiga mencari di serata tempat, namun langsung tidak dapat menemui Tia. Menurut Stuart, pada waktu pagi kejadian Tia keluar dari rumah untuk pergi membeli kasut di pusat membeli belah. Pihak polis bagaimanapun telah mencurigai Stuart kerana dia adalah satu-satunya individu terakhir yang disyaki bersama Tia. Maka pencarian serta pemeriksaan menyeluruh segera dilakukan oleh pihak polis di rumah Christine. Malangnya, tiada sebarang petunjuk yang ditemui.
Dari kiri : Natalie, Christine (Mirror) |
Siasatan polis terus beralih arah apabila seorang lelaki yang juga merupakan jiran rumah Christine iaitu Paul Meehan tampil memberikan maklumat sebagai saksi. Dia mendakwa telah melihat Tia keluar berseorangan pada waktu pagi kejadian yakni sama seperti yang diberitahu oleh Stuart. Bertindak atas maklumat itu, pihak polis melakukan penelitian pada rakaman kamera litar tertutup di ratusan tempat yang dikenalpasti. Menghampakan kerana Tia gagal untuk dikesan sama sekali.
Sementara itu, Stuart muncul di kaca televisyen untuk
membuat penafian sebarang kaitannya dengan kehilangan Tia yang disayangi
seperti cucu sendiri. Pada masa sama, dia merayu kepulangan Tia. Tanpa Stuart
sedari, gerak gerinya masih lagi dalam pemerhatian oleh pihak berkuasa. Bahasa
tubuh badan Stuart menunjukkan dia seolah-olah hanya ingin membuktikan bahawa
dirinya bukan sebagai dalang utama kehilangan Tia. Jadi pasukan polis pun
berhasrat untuk melakukan pemerikaan di rumah Christine sekali lagi untuk
diperiksa dengan lebih teliti. Belum sempat berbuat sedemikian, mereka telah
menerima panggilan daripada Christine yang mengadu ada bau busuk di rumahnya.
Setibanya polis di rumah Christine, mereka mendapati bau
busuk yang dimaksudkan oleh Christine adalah bau mayat. Hasil pemeriksaan,
terdapat satu mayat manusia yang dibungkus ketat dengan plastik hitam di
bahagian loteng rumah. Berdasarkan analisis, mayat manusia yang sudah
mengembang tersebut telah dikenalpasti sebagai Tia Sharp. Mayat Tia dipercayai
sudah berada dalam loteng itu selama seminggu bermula dari waktu kejadian. Punca
kematiannya pula gagal untuk ditentukan berikutan keadaan mayat yang telah
mereput teruk.
Susulan penemuan mayat Tia, pihak polis berjaya menangkap Stuart semasa dia sedang meminum minuman keras di sebuah taman. Walaupun Christine turut ditangkap kerana disyaki bersubahat melakukan pembunuhan, dia telah dibebaskan semula disebabkan tiada sebarang bukti kukuh bagi mendukung perkara tersebut. Selain itu, pihak polis juga ada menemui satu kad memori telefon di rumah Christine yang sudah dipadam semua datanya. Mujur sajalah data kad memori tersebut berjaya dipulihkan semula sepenuhnya. Benar-benar mengejutkan apabila kandungan dalam kad memori tersebut mengandungi ratusan gambar dan video kanak-kanak perempuan. Ini termasuklah gambar Tia serta videonya yang sedang tidur dan memakai losyen pada kaki. Rakaman itu dipercayai dirakam oleh Stuart tanpa Tia sedari. Ada juga gambar mayat Tia yang diatur posisinya seolah-olah sedang melakukan hubungan seks. Paling menjijikkan, terdapat video Stuart melakukan aksi seksual terhadap dirinya sendiri dengan menggunakan beberapa objek. Mengambil kira kandungan foto dan video itu, pembunuhan Tia berkemunginan besar adalah bermotifkan seksual.
Berhubungan dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2013, Stuart yang akhirnya mengaku telah bersalah telah menerima hukuman penjara selama seumur hidup dengan layak untuk diparol hanya selepas usianya mencecah 75 tahun. Ingat balik nama Paul Meehan iaitu jiran rumah Christine yang menjadi saksi melihat Tia keluar dari rumah pada waktu pagi kejadian. Tanpa diduga, keterangan Paul itu adalah palsu dan kurang jelas mengapa dia sanggup berbuat sedemikian. Akibat pembohongan tersebut, Paul telah dihukum penjara lima bulan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN TIA SHARP : Cucuku dalam Loteng"