SATU HANTARAN, PELBAGAI KISAH
Dalam foto di atas, si lelaki berbaju kuning itu telah dihukum penjara selama 23 tahun. Namanya adalah Jason Vukovich yang digelar sebagai The Alaskan Avenger. Dia sebenarnya dipenjarakan atas kesalahan menyerang tiga pesalah seks berdaftar dengan menceroboh rumah mangsa pada waktu lewat malam dan kemudian memukul kepala mangsa menggunakan tukul besi. Jason bertindak sedemikian adalah untuk menyelamatkan kanak-kanak lain daripada menjadi mangsa pedofilia kerana dia sendiri pernah dicabul serta dipukul oleh bapa angkatnya ketika masih kecil. Jason dilaporkan memperolehi maklumat mangsanya itu menerusi carian Internet.
Pada tahun 2018, seorang lelaki dan wanita di Jerman telah dihukum penjara atas kesalahan menjual anak lelaki mereka kepada golongan pedofilia menerusi laman Dark Web. Wanita itu menerima hukuman penjara selama 12 tahun 6 bulan manakala pasangannya yang merangkap sebagai bapa tiri kepada budak lelaki tersebut dipenjarakan 12 tahun.
Menurut laporan, pasangan itu dikatakan pernah membuat rakaman video penderaan seksual terhadap anak mereka bagi tujuan pengiklanan di laman Dark Web selama 2 tahun. Di luar talian, kadar bayaran yang dikenakan oleh pasangan tersebut untuk melakukan hubungan seks dengan anak mereka itu pula adalah sebanyak $11,600.
Budak lelaki tersebut kini selamat tinggal bersama keluarga angkatnya di Jerman.
Brenda Spencer merupakan seorang gadis berusia 16 yang telah melakukan serangan tembakan di sebuah sekolah rendah di Amerika Syarikat pada tarikh 29 Januari 1979. Akibat tembakan tersebut, dua orang mangsa telah maut manakala sembilan lagi mengalami kecederaan.
Apabila ditanya oleh wartawan mengapa dia bertindak sedemikian? Brenda cuma menjawab
"Aku tak suka hari Isnin."
Seorang wanita bernama Amanda Morgan pernah memuat naik gambar bayi perempuannya sewaktu berusia 6 bulan yang bernama Callia di laman Instagram. Namun tidak lama kemudian, Amanda berasa begitu terkejut selepas diberitahu oleh kenalan bahawa gambar Callia tersebut telah dikongsi di sebuah laman web Russia. Sebenarnya bukan gambar Callia seorang, tetapi ribuan gambar bayi dan kanak-kanak kecil yang lain.
Menerusi laman web itu, gambar Callia yang pada sebelumnya adalah gambar biasa telah "diedit" dengan memakai "makeup". Lebih menakutkan apabila ramai golongan pedofilia yang memberi komen terhadap gambar Callia tersebut.
Biarpun insiden itu sudah dilaporkan kepada pihak polis dan Instagram, laman web tersebut masih tidak terkubur. Jadi, gambar Cellia tetap dalam talian. Sejak kejadian itu, Amanda telah menukar tetapan instagramnya kepada privasi serta pada masa yang sama, dia berpesan agar semua ibu bapa sentiasa berhati-hati dalam memuat naik gambar anak di media sosial.
Pada tahun 2013, seorang bayi lelaki berusia lapan bulan di China yang bernama Xiao Bao telah ditikam dengan gunting oleh ibu kandungnya sendiri lebih daripada 90 kali terutama pada bahagian muka.
Xiao Bao yang dalam keadaan berlumuran darah ditemui oleh bapa saudaranya di halaman rumah mereka. Xiao Bao kemudian dibawa bapa saudaranya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Akibat kesan tikaman tersebut, Xiao Bao terpaksa menerima lebih daripada 100 jahitan.
Punca sebenar Xiao Bao ditikam hanya kerana menggigit bahagian payu dara ibunya semasa sedang menyusu badan. Tidak dapat dipastikan samada ibu Xiao Bao itu ada mengidap penyakit mental.
Nama lelaki dalam gambar ini adalah Peter John Dalglish yang juga merupakan bekas seorang anggota tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada tahun 2019, dia telah ditahan pihak berkuasa Nepal atas kesalahan mencabul dua orang budak lelaki yang berusia 12 dan 14 tahun. Padahnya, Peter menerima hukuman penjara 9 dan 7 tahun untuk kedua-dua kesalahan tersebut.
Biar gambar yang berbicara.
Seorang wanita bernama Morgan Summerlin telah dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun atas kesalahan membiarkan dua orang anak perempuannya yang berusia lima dan enam tahun dirogol demi mendapatkan wang.
Dalam kejadian tersebut, Morgan telah membawa anak-anaknya ke rumah seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun iaitu Richard Office. Sesudah sampai, anak-anak Morgan kemudian dibawa Richard masuk ke dalam biliknya untuk dirogol. Sementara itu, Morgan hanya duduk goyang kaki menunggu di ruang tamu. Selesai melakukan perbuatan jijik tersebut, Richard memberikan wang berjumlah $100 kepada setiap seorang mangsa yang kemudiannya diambil oleh Morgan.
Sebenarnya itu bukanlah kali pertama Morgan sanggup memperlakukan anak-anaknya sedemikian rupa bagi memperolehi wang dengan jalan mudah. Sebelum Richard, ada seorang lelaki yang turut merogol anak-anak Morgan atas kerelaan Morgan sendiri. Lelaki tersebut bagaimanapun telah menerima hukuman penjara selama 25 tahun. Berkenaan dengan Richard pula, dia dihukum penjara seumur hidup.
Pada masa sama, nenek mangsa turut diberikan hukuman penjara selama 5 tahun. Ini berikutan kegagalannya mengambil sebarang tindakan meskipun mangsa ada memberitahu tentang penderaan seksual yang mereka alami.
Mungkin bagi Morgan, tiada apa yang harus dikesali dengan perbuatan kejamnya itu. Lihat sendiri pada gambar. Dia melakukan "flying kiss'' kepada anggota keluarganya sejurus selepas menerima hukumannya di mahkamah.
Pada bulan Mei 2020, sepasang suami isteri di China akhirnya menemui semula anak lelaki mereka yang telah diculik pada 32 tahun lepas. Menerusi gambar yang anda lihat sekarang, pasangan anak-beranak itu jelas sedang berpelukan dalam keadaan yang sangat hiba.
Si anak yang dinamakan sebagai Mao Yin dilaporkan diculik pada tahun 1988 iaitu ketika dia baru berusia 2 tahun. Imbas kembali waktu kejadian, si bapa iaitu Mao Zenjhing mengambil Mao Yin dari pusat asuhannya. Sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, Mao Yin yang tiba-tiba berasa dahaga telah meminta bapanya air minuman. Jadi, Mao Zenjhing pun berhenti di pintu masuk sebuah hotel. Selepas mengambil air minuman, Mao Zenjhing terus berasa terkejut ekoran mendapati Mao Yin sudah tidak lagi kelihatan di pintu masuk hotel tersebut.
Bermula saat itu, ibu bapa Mao Yin berusaha untuk mencarinya di serata China. Malah, ibu Mao Yin iaitu Li Jingzhi rela berhenti kerja bagi melakukan kerja-kerja pencarian anaknya itu secara berterusan. Ini termasuklah kerja-kerja pengedaran lebih 100 000 helai risalah. Selain itu, Li Jingzhi turut menyertai satu kumpulan sukarelawan yang bernama Baby Come Back Home. Kumpulan tersebut berperanan sebagai tempat pengumpulan maklumat penculikan kanak-kanak untuk diserahkan kepada pihak polis. Sepanjang penyertaan Jingzhi dalam kumpulan itu, dia telah berjaya membantu 29 orang kanak-kanak yang diculik bertemu semula dengan keluarga mereka.
Hinggalah bulan April 2020, pihak polis telah menerima satu maklumat daripada seorang individu yang bergelar bapa angkat kepada seorang lelaki. Menurut individu tersebut, anak angkatnya itu dibeli dengan harga $845. Bertindak atas maklumat berkenaan, maka pihak polis telah melakukan kerja penelitian data dan pemeriksaan DNA. Hasilnya, anak angkat individu lelaki itu disahkan sebagai Mao Yin.
Pada bulan Julai tahun 2001, sepasang kekasih iaitu Peter Falconio dan Joanne Lees telah pergi mengembara di Australia dengan melalui kawasan jalan raya yang agak terpencil. Sewaktu memandu di kawasan sunyi itu, Peter dan Joanne tiba-tiba ditegur seorang lelaki bernama Bradley Murdoch yang memberitahu bahawa van yang dinaiki oleh mereka berdua telah mengalami kerosakan pada bahagian enjin. Sejurus selepas Peter turun untuk memeriksa kenderaan, Joanne ada mendengar satu bunyi tembakan. Bunyi tembakan tersebut berkemungkinan besar satu isyarat bahawa Peter telah ditembak oleh Bradley. Bradley seterusnya bertindak untuk menculik dan mengikat Joanne. Joanne bagaimanapun berjaya untuk melarikan diri dan kemudian menyembunyikan diri di dalam semak belukar selama 5 jam sebelum pada akhirnya berjaya diselamatkan oleh pemandu trak yang melalui kawasan itu.
Bradley yang kemudian berjaya ditangkap telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2005. Dia bagaimanapun kekal menafikan sebarang penglibatannya terhadap pembunuhan Peter. Berkenaan dengan Peter, mayatnya tidak pernah ditemui. Filem thriller tahun 2005 berjudul Wolf Creek dikatakan insipirasi daripada kisah ini.
Gambar Jeffrey Franklin (17 tahun) yang sedang tersenyum dalam kenderaan polis ini diambil pada tahun 1998 iaitu sejurus selepas dia melakukan pembunuhan terhadap anggota keluarganya sendiri.
Pada malam 10 Mac 1998, Jeffrey telah bertindak membunuh ibu bapanya di rumah mereka sendiri. Ibu Jeffrey ditikam dengan senjata tajam manakala bapanya pula dihentak dengan tukul besi. Mereka berdua mari serta merta di tempat kejadian. Jeffrey juga telah menyerang tiga orang lagi adiknya menggunakan kapak. Bagaimanapun, mujurlah adik-adik Jeffrey itu berjaya diselamatkan pada kemudiannya.
Jeffrey dilaporkan pada asalnya merupakan seorang budak yang baik. Bagaimanapun, perangainya berubah mendadak pada dua tahun sebelum kejadian dengan tiba-tiba menjadi seorang yang panas barang. Pada masa sama, Jeffrey gemar berborak tentang penggunaan dadah. Selain itu, pihak polis ada menjumpai buku nota Jeffrey yang mengandungi tulisan berunsurkan ritual syaitan. Jeffrey yang percaya dirinya telah dirasuk mendakwa pembunuhan yang dilakukannya itu adalah atas arahan syaitan.
Pada tahun 2001, Jeffrey yang mengaku bersalah atas dua kesalahan membunuh dan tiga percubaaan membunuh telah menerima tiga hukuman penjara seumur hidup.
Pada malam 13 Julai 1966, seorang lelaki berusia 25 tahun iaitu Richard Speck yang berada dalam keadaan mabuk telah pergi menyerbu sebuah rumah asrama yang dihuni oleh sekumpulan jururawat wanita.
Richard kemudian membunuh lapan jururawat dalam rumah tersebut. Mangsa pada sebelumnya telah diikat, dibelasah, dirompak, ditikam dan ada juga yang dirogol. Dalam kejadian itu, hanya seorang terselamat iaitu si jururawat bernama Corazon Amurao yang telah membuka pintu rumah selepas mendengar ketukan pintu daripada Richard. Dia bertindak menyembunyikan diri di bawah katil selama berjam-jam ekoran memyedari Richard berkemungkinan terlupa akan kewujudannya di rumah tersebut. Selepas Richard berlalu pergi, barulah Corazon keluar dari tempat persembunyiannya bagi meminta pertolongan.
Beberapa hari kemudian, Richard berjaya ditangkap di hospital berikutan identitinya dikenalpasti oleh seorang doktor yang dapat mengecam tatu pada bahagian lengannya. Berhubung dengan sabitan kes itu, hukuman Richard yang pada mulanya menerima hukuman mati telah ditukar kepada penjara seumur hidup (50 ke 150 tahun). Richard meninggal dunia di penjara pada tahun 1991 akibat serangan penyakit jantung.
Makhluk Slender Man yang merupakan salah satu karakter fiksyen popular di dalam laman sesawang Creepypasta digambarkan sebagai makhluk ghaib tidak berwajah yang mempunyai susuk tubuh kurus dan tinggi. Slender Man yang berpakaian sut hitam dikatakan mampu mempengaruhi untum kanak-kanak bagi melakukan kejahatan.
Karakter Slender Man mula wujud pada tahun 2009 melalui sebuah forum berjudul SomethingAwful hasil rekaaan individu bernama Eric Knudsen yang menggunakan nama samarannya sebagai Victor Surge.
Biarpun makhluk Slender Man ini hanyalah setakat karakter khayalan semata-mata, namun pernah berlakunya satu kes yang hampir membawa kepada kematian akibat terlalu obes dengan Slender Man. Kes yang berlaku pada tahun 2014 itu bermula apabila tiga orang budak perempuan yang berusia 12 tahun iaitu Payton Leutner, Annisa Weier dan Morgan Geyser telah memasuki sebuah hutan untuk bermain permainan "Hide and Seek". Payton seterusnya telah ditikam bertubi-tubi oleh rakan baiknya itu sebanyak 19 kali. Nasib bagaimanapun menyebelahi Payton apbila berjaya merangkak ke jalan raya ditemui oleh seorang penunggang basikal yang kemudian bertindak membawanya ke hospital. Diringkaskan cerita, Payton berjaya diselamatkan.
Sementara itu, Annisa dan Morgan berjaya ditangkap sejurus selepas serangan berlaku iaitu sewaktu mereka masih lagi berjalan-jalan dalam hutan tersebut dengan harapan ditemui oleh Slender Man. Menurut keterangan Anissa dan Morgan, mereka berdua bertindak menikam Payton adalah untuk menjadi pengikut Slender Man dan mengelakkan keluarga masing-masing daripada dicederakan oleh Slender Man. Menerusi perbicaraan kes tahun 2017, Annisa telah diperintahkan untuk menjalani rawatan mental selama 25 tahun manakala tahun berikutnya Morgan menerima hukuman yang sama dengan tempoh 40 tahun.
Gambar sekadar hiasan |
Rita Wolfensohn iaitu seorang wanita tua buta yang juga merupakan pengidap hoarding disorder (tabiat suka menyimpan barang) mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Michael dan Louis. Michael meninggal dunia pada tahun 2003 iaitu sewaktu 38 tahun, manakala Louis pula telah menghilangkan diri selama 20 tahun.
Pada tahun 2016, adik ipar Rita yang bernama Josette Buchman telah pergi ke rumah Rita untuk membawa kakar iparnya itu pergi ke hospital. Di sebalik rumah Rita yang dipenuhi dengan pakaian dan sampah sarap itu, Josette telah menemui rangka tulang manusia yang masih lengkap memakai baju, seluar jeans dan stokin. Berdasarkan pemeriksaan, rangka tulang tersebut disahkan sebagai Louis Wolfensohn! Berkemungkinan besar punca kematiannya adalah akibat mati mengejut.
Menerusi siasatan yang dibuat oleh pihak polis, Rita memberitahu bahawa pada sebelum ini dia beranggapan si Louis telah pun keluar dari rumah dan berpindah ke kawasan lain. Jadi, Rita memang benar-benar tidak tahu bahawa "Louis" sebenarnya masih tinggal bersamanya selama 20 tahun.
Pada tahun 2017, enam orang banduan Georgia sedang melakukan kerja-kerja pemotongan rumput di sebuah tapak perkuburan di bawah seliaan seorang pegawai Sherif.
Pegawai Sherif itu pada kemudiannya tiba-tiba jatuh pengsan akibat serangan jantung. Tindakan yang dibuat oleh kesemua enam banduan tersebut adalah betul-betul mengejutkan. Mereka tidak mengambil peluang itu untuk melarikan diri, sebaliknya bergegas memberikan bantuan CPR dan menghubungi talian kecemasan. Susulam tindakan pantas tersebut, pegawai sherif tersebut berjaya diselamatkan.
Sebagai ganjaran, tempoh hukuman penjara semua enam orang banduan itu telah dipendekkan.
Nama lelaki ini adalah Wang Enlin iaitu seorang petani miskin yang hanya belajar sampai darjah tiga. Wang Enlin menghabiskan masa selama 16 tahun untuk mempelajari tentang undang-undang supaya dia boleh menyaman sebuah syarikat kimia yang didakwa telah mencemarkan tanahnya.
Berikutan masalah kewangan yang dialaminya, Wang Enlin begitu sukar untuk membeli buku undang-undang. Disebabkan itu, dia terpaksa pergi ke kedai buku setiap hari untuk membaca buku dan mencatat maklumat dengan tangannya. Selesai berbuat sedemikian, dia akan memberi jagung percuma kepada pemilik kedai buku berkenaan sebagai balasan kerana telah membenarkannya belajar di situ. Pengorbanan Wang Enlin selama 16 tahun itu ternyata tidak sia-sia apabila dia telah memenangi kes saman tersebut pada tahun 2017.
Gambar sekadar hiasan |
Pada tahun 2013, seorang lelaki di Texas bernama Rogelo Andavarde telah diculik oleh dua orang lelaki bertopeng yang bersenjata di depan mata isterinya sendiri. Selepas Rogelo dibawa pergi dengan kereta, maka isterinya pun terus menghubungi pihak polis.
Dua hari kemudian, Rogelo kembali ke rumahnya tanpa sebarang kecederaan. Perkara ini sekaligus menimbulkan keraguan terhadap pihak polis. Selepas soal siasat dijalankan, Rogelo akhirnya membuat pengakuan bahawa penculikan itu hanyalah lakonan semata-mata. Dia berbuat sedemikian kerana ingin pergi berparti bersama rakan-rakannya. Alasan Rogelo, dia sangat takutkan isterinya.
Di China, terdapat seorang wanita bernama Zhang Yufeng yang digelar sebagai "The Mistress Killer". Bertenang dan jangan salah anggap. Killer di sini bukan bermaksud pembunuh. Zhang berperanan sebagai "detektif" untuk memburu mana-mana wanita yang bergelar sebagai wanita simpanan. Mana-mana wanita simpanan yang diburunya itu akan dihukum dengan cara yang begitu memalukan di depan orang awam seperti dimaki, dipukul dan ditelanjangkan sebagai tanda pengajaran untuk tidak merosakkan rumah tangga orang.
Zhang menjadi "The Mistress Killer" kerana dia sendiri pernah dicurangi suaminya hingga membawa kepada penceraian. Namun, dia kembali bangkit daripada kesedihan itu untuk membantu kaum wanita yang dikhianati oleh suami mereka. Zhang dilaporkan telah banyak membantu masalah rumah tangga wanita di kawasannya.
Pada tahun 2000, seorang lelaki bernama Cornealious "Mike" Anderson yang didapati bersalah atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun. Namun, entah di mana silapnya pihak berkuasa tempatan Missouri terlupa untuk memenjarakan Anderson. Anderson yang mengambil kesempatan itu dengan mendiamkan diri status sebenarnya sebagai banduan telah menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Jadi sepanjang tempoh 13 tahun tersebut, dia berkahwin serta mempunyai tiga orang anak, memperbaharui lesen memandu, menjalankan bisnes dan membayar cukai. Anderson bagaimanapun berjaya ditangkap semula pada tahun 2013 iaitu tahun pembebasannya.
Meskipun berjaya ditangkap semula, Anderson tetap dibebaskan sepenuhnya. Lagipun, dia berkelakuan baik sepanjang 13 tahun "dipenjarakan."
Apabila cinta ditolak...
Tahun 2011, seorang lelaki bernama Simon Foxley yang berusia 21 tahun bertindak membunuh diri gara-gara cintanya terhadap seorang kenalan wanita di Facebook telah ditolak.
Pada sebelumnya, lelaki dan wanita itu saling kerap berbalas mesej di peti masuk Facebook. Bagaimanapun, mereka berdua yang tidak pernah berjumpa itu bermesej tidak lebih daripada sekadar berkawan.
Mungkin atas rasa cinta sejati, Simon telah meluahkan perasaannya terhadap wanita tersebut. Namun, cinta Simon ditolak mentah-mentah. Lagi malang, dia terus dinyahrakan oleh wanita itu.
Simon yang tidak berputus asa tetap cuba untuk berhubung dengan wanita tersebut. Nasib tetap tidak menyebelahi Simon apabila dia mendapat serangan buli siber daripada kawan lelaki wanita terbabit yang memintanya untuk berhenti menghantar mesej.
Hinggalah akhirnya Simon menerima satu mesej daripada wanita itu yang betul-betul telah melukakan hatinya.
"Pergi mati!"
Simon benar melakukan perkara tersebut dengan menggantung dirinya. Dia sempat meninggalkan sekeping nota bunuh diri yang bertulis,
"Thank you for everything that you have done for me. I hope you all make the most of your lives and cherish the people and the moments you share with them. I can't say sorry enough times for it to be the slightest bit good."
Pada tahun 2011, seorang wanita bernama Jennifer Harris ditahan oleh pihak polis gara-gara tindakannya membakar rumah kawannya selepas dia tidak berpuas hati kerana dinyahrakan dan dinyahsekat di laman Facebook.
Pada sebelum kejadian, Jennifer dikatakan telah bertekak dengan kawan karibnya iaitu Nikki Rasmussen di Facebook. Pergaduhan itu menyebabkan Nikki bertindak balas dengan menekan butang unfriend serta block terhadap Jennifer.
Nikki dan anggota keluarganya yang lain bagaimanapun dilaporkan selamat dalam kejadian kebakaran tersebut.
Pada 6 September 2006, seorang wanita bernama Susan Kuhnhausen yang berusia 51 tahun pulang ke rumah selepas selesai waktu bekerja.
Setibanya di rumah, entah kenapa dia mula berasa tidak sedap hati. Masuk saja di bilik tidur, Susan tiba-tiba diserang oleh seorang penceroboh lelaki dengan tukul. Namun, Susan sempat mengelak. Mereka berdua yang jatuh terbaring di atas lantai kemudian saling bergelut. Susan yang berbadan besar ternyata berjaya menumpaskan penceroboh itu dengan mencekiknya sampai mati.
Susan seterusnya bertindak melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa. Hasil siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis, mereka mengesyaki penceroboh tersebut adalah perompak biasa yang telah melakukan kesilapan besar untuk merompak rumah Susan. Perkara ini bagaimanapun dinafikan oleh Susan kerana tiada percubaan rompakan yang dilakukan oleh si penceroboh. Sebaliknya, Susan yakin bahawa dirinya adalah sasaran sebenar penceroboh tersebut. Selepas siasatan dilakukan, maka benarlah apa yang dikatakan Susan. Identiti penceroboh yang dikenalpasti sebagai Edward Dalton Haffey itu merupakan pembunuh upahan yang telah diupah oleh suami Susan sendiri iaitu Michael Kuhnhausen. Michael dan Susan pada sebelumnya dalam proses penceraian.
Michael yang kemudian ditahan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun atas tuduhan konspirasi pembunuhan. Pada masa sama, Susan bertindak menyaman Michael sebanyak $1 juta bagi memastikan suaminya itu tidak lagi mempunyai wang untuk mengupah pembunuh upahan lain kelak. Takdir bagaimanapun menyebelahi Susan apabila Michael mati dalam penjara pada tahun 2014 akibat penyakit kanser.
Pada 3 Ogos 2017 di utara Perancis, mayat dua orang sekawan iaitu Lucien Perot (69 tahun) dan Olivier Boudin (38 tahun) telah ditemui di meja makan. Hasil siasatan mendapati makanan di tempat kejadian adalah baik sekaligus menolak sangkaan awal bahawa mereka berdua mati akibat keracunan makanan.
Siasatan juga menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah. Bahkan mangsa dikatakan tidak bermasalah apatah lagi mempunyai musuh dalam hidup mereka. Perkara itu sedikit sebanyak telah menimbulkan unsur misteri dalam kes tersebut.
Misteri kes ini bagaimanapun terungkai jua selepas bedah siasat dijalankan. Lucien Perot dilaporkan mati disebabkan tercekik stik daging. Pada masa sama, si Olivier yang terkejut melihat Lucien mati tercekik telah diserang penyakit jantung, lalu mati serta merta di tempat kejadian. Kes selesai.
Catat Ulasan for "SATU HANTARAN, PELBAGAI KISAH"