INSIDEN NAYOUNG : Kes Rogol Paling Kejam di Korea Selatan
Cho Doo-soon |
Pada tahun 2008, satu kes rogol paling ganas dan kejam telah berlaku di daerah Danwon-Gu, Ansan-Si, Korea Selatan. Kisah bermula pada bulan Disember 2008 apabila seorang budak perempuan berusia 8 tahun iaitu Kim Na-Young (nama samaran) sedang dalam perjalanan ke sekolahnya dengan berjalan kaki. Sewaktu dalam perjalanan itu, dia tiba-tiba ditegur oleh seorang lelaki pertengahan usia bernama Cho Doo-soon, 57 tahun yang sedang berada dalam keadaan mabuk.
Apa yang berlaku kemudian, Cho telah menekup mulut Nayoung lalu dibawanya ke dalam sebuah tandas di sebuah gereja berhampiran. Di dalam tandas tersebut, Nayoung telah dipaksa untuk membuka bajunya bagi melayan kehendak seksual Cho. Nayoung enggan serta pada masa sama dia menangis teresak-esak kerana terlalu ketakutan. Disebabkan berasa geram, Cho telah menggigit pipi Nayoung. Tak cukup dengan itu, Nayoung turut dibelasah dan dicekik oleh Cho sehingga pengsan. Cho seterusnya telah merogol serta meliwat Nayoung dengan begitu kejam. Harus diketahui, usus Nayoung sampai terkeluar dari badannya. Cukup mengerikan apabila Cho menyumbat kembali usus tersebut ke dalam badan Nayoung menggunakan paip getah. Selepas berasa puas dengan aksi jijiknya, Cho pun kembali pulang ke rumah untuk berehat seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku. Dia yang mempunyai banyak rekod jenayah lampau sempat menghapuskan segala bukti jejaknya sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Sementara itu, Nayoung yang kesakitan sedaya upaya untuk bangun sebelum akhirnya berjaya keluar dari tandas bagi mendapatkan pertolongan. Dia kemudian telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Nayoung terpaksa dibedah berikutan mengalami kecederaan parah pada bahagian organ dalaman. Ada lagi peristiwa menyedihkan di mana Nayoung telah disoal siasat oleh pihak polis di hadapan pesakit-pesakit lain tentang kejadian yang menimpanya. Dia disuruh untuk duduk sedangkan waktu tersebut Nayoung mengalami kesakitan pada tubuh badan serta masih dalam keadaan trauma. Akibat ketidakcekapan pasukan siasatan itu, keluarga Nayoung telah bertindak memfailkan saman dan berjaya memenangis kes tersebut.
Sedutan filem Hope (2013) |
Berkenaan dengan Cho, dia berjaya ditangkap oleh pihak polis pada dua hari selepas kejadian menerusi pengenalpastian tiga cap jari miliknya yang ditemui di pintu tandas. Tentang perbicaraan kes, Cho mendakwa tidak mengingati sebarang butiran kejadian kerana dia berada dalam keadaan mabuk. Cho juga tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan mahupun sebarang reaksi rasa bersalah sepanjang berada dalam mahkamah. Memandangkan akta jenayah di Korea Selatan yang membenarkan hukuman diringankan jika tertuduh melakukan jenayah dalam keadaan lemah fizikal dan mental seperti di bawah pengaruh alkohol, maka Cho telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Tempoh tersebut adalah kurang tiga tahun berbanding hukuman asal yang sepatutnya diterima oleh Cho iaitu 15 tahun penjara. Keputusan hukuman ternyata mencetuskan perdebatan ramai pihak kerana disifatkan sebagai tidak adil untuk Nayoung.
Sementara itu, Nayoung sendiri telah mengalami kemurungan dan tekanan mental akibat insiden rogol tersebut. Dia bahkan turut mengalami beberapa kecacatan kekal termasuklah terpaksa menggunakan alat khas bagi membuang air besar untuk seumur hidupnya. Berdasarkan keterangan bapanya pada tahun 2020, Nayoung yang kini berusia 21 tahun hanya menonton kartun dan tidak menonton siaran berita untuk mengelak daripada menonton sebarang berita tentang serangan seksual. Lagi mencetuskan kebimbangan Nayoung, Cho yang telah dibebaskan dari penjara bulan Disember 2020 dikhuatiri akan kembali menghantuinya.
Sedutan filem Hope (2013) |
Cho Doo-soon sudah bebas? Ya, dia keluar dari penjara pada 12 Disember 2020 dan kini dilaporkan tinggal bersama isterinya di rumah mereka yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah Nayoung. Kaki Cho dipakaikan dengan gelang elektronik untuk kerja-kerja pemantauan oleh pihak berkuasa. Sebanyak 71 buah kamera pengawasan telah pun dipasang di daerah Ansan sebagai keselamatan. Terdahulu, isteri Cho pernah memberitahu bahawa suaminya adalah seorang yang baik dan hanya akan menimbulkan masalah ketika sedang mabuk.
Tahun 2013, kisah Nayoung telah diadaptasi ke sebuah filem drama sedih yang berjudul Hope. Filem ini telah mendapat pujian positif daripada banyak pihak kerana jalan ceritanya yang benar-benar meninggalkan kesan emosi mendalam kepada penonton.
Catat Ulasan for "INSIDEN NAYOUNG : Kes Rogol Paling Kejam di Korea Selatan"