Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SABRINA ZUNICH : Aku yang Kau Gelar Anak

Sabrina Zunich

    Pada malam 16 November tahun 2012, seorang remaja perempuan bernama Megan yang berusia 13 tahun terbangun dari tidur setelah terdengar bunyi suara jeritan ibunya. Megan kemudian berasa terkejut selepas mendapati kakak angkatnya iaitu Sabrina sedang mengelar dan menikam ibu mereka dengan pisau secara berulang kali. Tanpa berlengah, Megan yang dalam ketakutan terus menghubungi pihak talian kecemasan bagi memaklumkan tentang tragedi berdarah itu. 

    Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka terus menahan Sabrina yang masih lagi memegang pisau. Sementara itu, ibu angkat Sabrina iaitu Lisa yang menjadi mangsa tikaman tersebut sudah pun mati. Berdasarkan pemeriksaan, dia telah ditikam oleh Sabrina sebanyak hampir dua ratus kali. Pada masa sama, pihak polis juga menemui anak perempuan kandung Lisa berusia tiga tahun bernama Hayley yang sedang bersembunyi di dalam almari bilik tempat kejadian pembunuhan berlaku. 

    Berkenaan dengan Sabrina atau nama sebenarnya Sabrina Zunich, dia dilahirkan pada 27 Oktober 1994 di Cleveland, Ohio. Sejak dari kecil lagi, Sabrina telah ditinggalkan oleh ibu bapanya yang memang bermasalah. Satu ketika, dia pernah dijaga oleh neneknya. Namun disebabkan perangai nakalnya yang semakin menjadi-jadi serta tidak terkawal, maka Sabrina kemudian dihantar ke rumah kebajikan. Sewaktu dia berusia 16 tahun, Sabrina telah dijaga sebagai anak angkat kepada pasangan Kevin dan Lisa Knoefel. 

Gambar atas : Keluarga Knoefel ( Sabrina, Kevin, Hayley, Megan dan Lisa) Gambar bawah : Lisa dan Hayley

    Mengenai pasangan Knoefel, mereka berdua mempunyai dua orang anak perempuan lain. Si sulung yang bernama Megan merupakan anak Lisa hasil perkahwinannya terdahulu. Anak Lisa yang kedua pula adalah Hayley yang lahir tahun 2009. Hayley merupakan anak Lisa bersama Kevin. Tentang Kevin, dia bekerja sebagai seorang pemandu trak manakala Lisa sendiri pula merupakan pekerja sosial yang bertugas di bahagian penderaan seksual.

    Pada mulanya, hubungan Sabrina bersama keluarga Knoefel adalah baik-baik saja. Bagaimanapun lama-kelamaan, Sabrina kerap bertengkar dengan Lisa yang didakwanya sering pilih kasih. Dalam diam-diam juga, Sabrina telah menjalinkan hubungan intim dengan Kevin. Hubungan mereka berdua bermula dengan lawak lucah, diikuti dengan raba-meraba dan berkesudahan melakukan hubungan seks. Lisa yang seakan dapat menghidu tentang hubungan sulit tersebut pernah menyuruh Sabrina untuk keluar dari rumah. 

    Pada pagi 15 November 2012, Kevin yang sedang memandu kereta bersama Sabrina tiba-tiba menangis teresak-esak. Cerita Kevin, dia telah bergaduh besar dengan Lisa pada waktu malam semalamnya. Malah, Kevin mengugut untuk membunuh diri sekiranya Lisa tidak mati. Mendengar perkara itu, Sabrina telah menikam Lisa sampai mati demi membuktikan cintanya kepada Kevin. Berhubung dengan Kevin, dia yang tidak berada di rumah sewaktu kejadian pembunuhan dilaporkan begitu tenang sebaik dimaklumkan oleh pihak polis tentang kematian isterinya. Seperkara yang harus diketahui, Sabrina waktu sebelumnya telah diajar oleh Kevin tentang cara membunuh dengan pisau serta menampakkan kejadian pembunuhan tersebut terjadi seolah-olah akibat rompakan. Kevin juga menyuruh Sabrina menggunakan alasan tidak waras jika menerima pertuduhan. 

Lisa dan Kevin ( Kredit : Oxygen)

    Tahun 2013 iaitu tatkala Sabrina berada dalam penjara, Kevin telah mengeluarkan wang insurans nyawa milik Lisa. Wang tersebut digunakan Kevin bagi membeli kereta dan rumah baru. Menyedari Kevin seakan lepas tangan, Sabrina telah memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa bagi melakukan pendakwaan terhadap bapa angkatnya itu. 

    Pengakhiran kes, Sabrina yang didapati bersalah sebagai dalang pembunuhan Lisa telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur dengan layak diparol hanya selepas 30 tahun. Begitu juga dengan Kevin yang turut menerima hukuman sama. 

Catat Ulasan for "KISAH SABRINA ZUNICH : Aku yang Kau Gelar Anak"